Oleh Mahhass
Hanya selepas habis menonton, barulah saya tahu bahawa filem ini sebenarnya adalah sebuah remake tahun 1978 di bawah arahan Dennis Donelly. Saya langsung tidak pernah tahu kewujudannya sebelum ini. Filem orginal 1978 ini khabarnya menemui seribu kegagalan. Maka usaha Tobe Hooper memberi nafas baru kepada filem ini dikira amat baik.
Sebenarnya filem remake ini sudahpun dikeluar dan ditayangkan pada akhir tahun lepas di barat, cuma ia (entah kenapa) baru sahaja memasuki panggung kita. Hasilnya, remake ini seolah-olah menjadi ketinggalan dari segala sudut klise ceritanya kerana sudah tentu kita akan membandingkannya dengan genre horror/slasher lain seperti Texas Chainsaw 2003, Freddy vs. Jason, House of 1000 Corpses, Wrong Turn dan sebagainya walhal ia dibikin serentak pada tahun yang sama. Maka untuk itu, Toolbox Murders saya boleh maafkan.
Hampir keseluruhan plot Toolbox Murders diimiginasikan semula oleh Tobe Hooper sambil mengekalkan homage terhadap watak seorang pembunuh menggunakan alatan pertukangan. Pun begitu, beliau cuma dilihat menggunakan watak pembunuh tersebut, sebuah apartmen dan sudah tentu ada mangsanya - yang terlalu berusaha untuk menyiasat misteri kehilangan seorang demi seorang di dalam bangunan tersebut.
Seperkara yang mencacatkan filem ini (selain klise), iaitu penggunaan subplot "supernatural". Elemen ini sepatutnya tidak diwujudkan langsung oleh Hooper. Memanglah ia bertujuan untuk menyelesaikan misteri bangunan tersebut, namun secara peribadinya, ia langsung tidak memikat. Saya kira, filem ini lebih efektif jika bertunjangkan realiti. Perhatikan juga watak Nell, yang menjadi sungguh berani menyiasat tempat persembunyian pembunuh tersebut berseorangan diri, sedangkan sebelum itu kita sama-sama berkongsi ketakukan dengannya.
Apa yang dilihat menarik tentang filem ini ialah pembentukan retro 70an yang dibangkitkan semula oleh Hooper, dicerna dengan baik biarpun segala asasnya berunsur kontemporari. Seolah-olah kita dapat merasai semula kepulangan watak Leatherface (Texas Chainsaw Massacre) ke layar perak dalam versi baru.
Tema "body count", gaya serta teknik membunuh adalah saling tak tumpah malah benar-benar homage terhadap filem-filem beliau era 70an. Perhatikan juga watak seorang maintenance hotel yang penuh misteri, jelas mengingatkan saya kepada filem Eaten Alive serta filem-filem karya Dario Argento seperti Phenomena, Suspiria dan juga Trauma.
Setidak-tidaknya, filem ini berupaya membangkitkan nostalgia bagi peminat slasher 70an, dan bagi mereka yang tidak, maka filem ini boleh sahaja meyakinkan mereka untuk mula membuka mata, mengenal (mencari semula untuk koleksi - di mana lagi kalau bukan di "sekolah filem") seterusnya menghargainya.
Saya sendiri pun akan mencari DVD The Toolbox Murders versi 1978. Maka tidakkah itu tujuan homage?
Nota : Mutu penapisan filem ini di sinema kita sungguh mengecewakan. Adegan yang sepatutnya menjadi bloody, gore, gruesome, ganas dan getir tampak bodoh sekali akibat di'cincang 16' oleh 'mereka-mereka' yang kononnya menjalankan 'tugas'nya.
Tidakkah kalian sedar bahawa filem hanyalah sekadar rekaan bagi tujuan apresiasi? Sedih apabila mengenangkan masih ada lagi yang buta akan definisi F.I.L.E.M. Saranan saya agar mereka belajar membezakan antara filem dan realiti, apa yang asli dan apa yang palsu.
Maka ini akan menguatkan lagi sebab kenapa saya lebih cenderung memilih DVD cetak-rompak (yakni "sekolah filem" kami) berbanding menonton di panggung, kerana paparannya lebih bundar serta jujur.
No comments:
Post a Comment