05 October 2004

Ulasan Filem : CARANDIRU (2003)

Oleh Mahhass

Carandiru adalah nama sebuah penjara yang menempatkan penjenayah-penjenayah di Sao Paolo, Brazil, khususnya bagi kesalahan berat seperti membunuh. Namun, penjara ini agak luarbiasa keadaannya.

Kawalannya tidaklah terlalu ketat kerana para penghuninya masih lagi dilihat bebas ke sana ke mari, bersosial seolah mereka hidup dalam sebuah sub-komuniti bebas, biarpun masih dihadkan dalam lingkungan kawasannya. Para penghuninya juga boleh melakukan apa jua tugas seperti memasak, dengan hanya diawasi oleh pengawal yang bertugas.

Selain itu, mereka juga dibenarkan membawa bahan hiburan berbentuk televisyen atau radio dan sebagainya ke kurungan masing-masing

Malah wujud juga satu polisi, yang mempermitkan ahli keluarga melawat pada hari yang ditetapkan iaitu "Visitor's Day". Ahli keluarga seperti anak bini misalnya boleh berjumpa dan beramah-mesra sambil melepaskan kerinduan, malah mereka bebas untuk melepaskan nafsu asmara di kamar penjara masing-masing, tanpa menghiraukan ancaman penjenayah lain yang mungkin mereka hadapi.

Suasana yang digambarkan agak harmoni, kerana mereka sedar bahawa itulah satu-satunya peluang atau keistimewaan yang diberikan pihak berkuasa terhadap penghuninya.

Bagaimanapun, itu semua bukanlah fokus utama filem ini. Apa yang dilayarkan oleh Hector Bebenco ialah kisah Dr. Varella, iaitu seorang doktor yang baru sahaja tiba untuk menjalankan rawatan serta pemeriksaan kesihatan penghuni penjara tersebut.

Satu-persatu beliau memeriksa penghuni yang datang untuk mendapatkan rawatan. Hampir sebahagian besar daripada mereka dipercayai telahpun dijangkiti HIV akibat perilaku seks-anal yang berleluasa di kalangan mereka. Dan oleh kerana amalan tersebut hampir tidak boleh dibendung lagi, maka Dr. Varella hanya mampu menasihati mereka agar menggunakan kondom sebagai satu method alternatif.

Apa yang lebih menarik ialah sejarah latar belakang pesakit-pesakitnya dilayarkan kepada kita tentang bagaimana titik asal penglibatan mereka dalam kancah jenayah, dan akhirnya dipenjarakan di Carandiru. Secara tidak langsung, di sinilah kesan emosi bakal wujud yang boleh kita rasai terhadap watak-watak gelapnya, biarpun mereka sebenarnya masih bergelar penjenayah.

Pun begitu, filem ini juga masih memberi fokus secara berselang-seli terhadap keadaan sosial penjara tersebut, yang membuatkan kita tidak berganjak menontonnya. Perhatikan watak seorang "nyah" iaitu Lady Di yang mengaku telah meniduri seramai 2000 orang, akhirnya melangsungkan perkahwinan dengan buah hatinya, No Way atas dasar saling mencintai. Lihat juga watak Dagger, penjenayah kejam yang akhirnya menangis menginsafi dosa-dosa lalunya. Ia digambarkan penuh poignant dalam suasana penuh subtle.

Filem ini amat berkesan apabila tiada kontras watak hitam dan putih yang wujud secara terus menerus dalamnya, kerana segala-galanya menjadi seakan kelabu. Dan filem ini juga berpegang pada watak-wataknya, bukan sekadar plot yang hebat.

Seperti juga mana-mana filem lain yang bertemakan penjara, konflik, dendam dan pergaduhan juga menjadi titik tolak filem ini, yang mana di kemuncaknya kita dapat saksikan satu rusuhan besar tercetus di bahagian akhirnya. Bunyinya seakan stereotaip, namun, ia digambarkan dengan penuh tragis lagi provokatif. Maka ia menjadikannya antara filem penjara paling "depressing" sekaligus paling cemerlang pernah saya tonton.



Nota : CARANDIRU telah dinominasikan di Cannes Film Festival 2003 kategori Golden Palm (Filem Terbaik). Bagaimanapun, filem yang memenangi anugerah tersebut ialah Elephant.

No comments: