04 June 2004

Ulasan Filem : Spartan (2004)

... SpartanOleh Mahhass

Seawal 20 minit pertama filem ini berlangsung, saya masih tidak dapat meneka apa sebenarnya kisah yang hendak dipaparkan. Mulanya kita akan lihat paparan latihan anggota tentera di sebuah kem. Mereka melakukan latihan bercorak 'kejar-mengejar'. Seterusnya, Robert Scott (lakonan Val Kilmer) muncul dengan gaya lakonan yang belum pernah saya lihat dalam mana-mana filem beliau sebelum ini. Seorang tentera yang zahirnya kelihatan tenang tetapi baran dan sinis. Ada seorang yang cukup misteri yang beliau cari. Rupa-rupanya, anak gadis presiden yang hilang atau diculik yang sebenarnya dicari.

Spartan merupakan sebuah lagi filem 'twist' yang cukup lazim Hollywood. Apabila disebut 'twist' maka struktur plot filem ini tidak akan berjalan seperti yang kita duga. Ada sahaja jalan ceritanya ditukar dan biasanya di saat akhir atau klimaksnya. Jadinya saya tidak terlalu 'terkejut' dengan penukaran plot sebegini.

Lakonan Val Kilmer saya boleh katakan antara yang terbaik dalam filem ini. Berperanan sebagai 'Government Killing Machine', corak keganasan yang dipamerkan begitu 'menjadi'. Beliau bertindak dengan tanpa belas kasihan asalkan misi menyelamatkan Laura Newton iaitu anak gadis presiden tersebut berjaya dilaksanakan. Lakonan penuh sadistik beliau ini barangkali setaraf John Travolta dalam filem Basic.

Usaha menyelamatkan gadis tersebut dibantu oleh Curtis (lakonan Derek Luke). Akhirnya mereka dikejutkan dengan berita penemuan mayat Laura yang dipercayai mati lemas. Bagaimanapun, ada beberapa tanda yang mendorong Curtis untuk meneruskan siasatan yang pada mulanya tidak diendahkan Scott. Namun akhirnya jelas bahawa Laura sebenarnya masih lagi hidup.

Perancangan telah dibuat oleh penculik untuk menyeludup gadis-gadis ke Dubai untuk dilacurkan. Dalam pada itu, Scott berjaya menangkap beberapa suspek bagi membantu siasatan namun satu persatu telah terbunuh. Akhirnya, segala yang berlaku merupakan konspirasi pihak kerajaan amerika sendiri dan sudah pastinya ada dalang disebalik apa yang berlaku. Persoalannya siapakah dalang itu?

Filem ini mungkin boleh memberi kesan yang lebih baik jika tidak berkonsepkan politikal. Ia menjanjikan sebuah garapan cemas (thriller) bagaimanapun perasaan cemas itu seakan tidak dirasakan. Tambahan lagi tiada apa yang baru lagi ‘membaharukan’ dalam genre ini. Atau barangkali saya sudah bosan dengan filem tentang konspirasi.

Filem yang ditulis dan diarahkan oleh David Mamet ini bukanlah antara yang terbaik kerana sebelum ini hasil kerja beliau pernah dicalonkan dua kali di Oscar menerusi filem The Verdict (1982) dan Wag The Dog (1998).

Oleh sebab filem ini bukan untuk semua orang (maksudnya bukan santai), maka saya tidak mengesyorkannya untuk ditonton. Pilih filem yang lebih ringan dan menghiburkan daripada memikirkan masalah konspirasi Amerika. Biarlah mereka dengan masalah mereka.

Sutradara & lakon layar : David Mamet
Genre: Aksi/Cemas/Politikal
Tagline: She's missing
Tahun : 2004 (Mac)
Barisan Pelakon : Val Kilmer, Derek Luke, Tia Texada, William H. Macy, Ed O'Neill, Kristen Bell
Durasi : 1 jam 47 minit
SKRIN Rating : B- (2.5/5)


Nota : Nantikan ulasan filem Harry Potter & The Prisoner of Azkaban di skrin

No comments: