Oleh Mahhass
Saya baru pulang bercuti bersama keluarga dan rakan sepejabat di Langkawi.... - kepenatan tak terkata. Apa tidaknya, kebanyakannya saya penuhkan dengan aktiviti dengan bermain bolasepak, ping-pong, berbasikal dan macam-macam lagi – bukan 'berehat'pun. Lagipun apa salahnya sesekali lepaskan gian bersukan. Tempat paling menarik yang saya lawati ialah Underwater World – Terpegun saya melihat spesis ikan air tawar terbesar – Arapaima (dan bermacam-macam jenis lagi). Pendek kata – macam-macam ada! (Saya memang seorang penggila ikan).
Hampir seminggu tidak menyentuh papan kekunci, terasa janggal pula rasanya memikirkan apa yang harus saya coret/ulaskan kali ini...
Malam sebelum bertolak ke sana, saya sempat menonton filem ketiga Harry Potter pada hari jumaat lepas (4 Jun). Walaupun perasaan saya tidaklah melonjak-lonjak seperti mana menunggu trilogi terakhir Lord of The Rings, namun filem Harry Potter and The Prisoner of Azkaban (HPATPOA) bagi saya amat berbaloi ditonton.
Jika filem pertama dan keduanya saya boleh anggap bagus, maka untuk filem ketiganya ini (di tangan pengarah Alfonso Cuarón) saya kira lebih bagus dan menarik. Segala-galanya bermula seawal babak pertama lagi dan sentuhan penulis lakon layarnya, Steve Kloves berjaya memberi suatu kelainan berbanding dua filem sebelumnya.
Antara ketiga-tiganya, novel HPATPOA karya J.K. Rowling merupakan yang terpanjang sekali. Pun begitu, apabila difilemkan, ia menjadi yang terpendek berbanding dua sebelumnya. Ini satu pembaharuan yang saya kira bagus oleh penulis lakon layarnya kerana berjaya mengadaptasi serta memadatkan dengan sempurna karya tersebut (walaupun filem ini mendapat kritikan oleh sebahagian pembaca novelnya berikutan beberapa perubahan yang dibuat terhadap plot terutama corak 'ending'nya).
Bagi saya pula, ianya tidaklah begitu mengecewakan kerana mengadaptasi sesebuah novel ke filem bukan suatu kerja mudah. Lihat sahaja bagaimana Peter Jackson bertungkus lumus mengadaptasi karya trilogi Tolkien, walaupun tidaklah 100% adaptasi namun masih mampu menggondol beberapa anugerah. HPATPOA juga masih berada di tahap membanggakan.
Filem ketiga Harry Potter ini saya lihat lebih ke arah 'motion picture' lantaran bukan semata-mata filem untuk kanak-kanak (seperti yang diperkatakan ramai untuk kedua-dua filem sebelumnya). Harry Potter (sekali lagi lakonan Daniel Radcliffe) dan dua lagi rakan karibnya iaitu Hermione (Emma Watson) dan Ron Weasley (Rupert Grint) kini semakin dewasa dan matang malah sejajar dengan karakter yang diperlukan dalam filem ini.
Kali ini, Harry Potter dikejutkan dengan berita seorang banduan yang bernama Sirius Black (lakonan Gary Oldman) yang berjaya melarikan diri dari penjara Azkaban. Apa yang lebih menakutkan ialah beliau harus membunuh Harry Potter kerana dipercayai hanya Harry lah yang boleh menghalang segala bentuk kejahatannya.
Maka, berkeliaranlah pengawal-pengawal penjara Azkaban tersebut dalam usaha menangkap kembali Sirius Black. Zahirnya, pengawal tersebut agak mirip dengan Nazgul atau digelar Ringwraiths iaitu pengikut Sauron dalam LOTR namun mereka tidaklah berkuda sebaliknya melayang dan berterbangan. Ini merupakan sebuah elemen 'dark' yang berjaya dipaparkan dengan baik dan saya kira ia amat berhasil dalam membentuk suatu keterujaan baru Harry Potter. Tambahan lagi unsur jenaka yang banyak diselitkan saya kira paling menghiburkan.
Filem ini tidak lupa dengan elemen 'twist' seperti mana dalam dua filem sebelumnya. Watak 'gelap' yang disangkakan 'jahat' akhirnya menjadi sebaliknya. Penggunaan efek CGI masih ditahap sama seperti sebelumnya, cuma kali ini unsur 'kegelapan' lebih banyak dipaparkan. Barangkali, ia bagi menyesuaikan lagi tema filemnya.
Bagaimanapun, kesemua ini amat menarik dipersembahkan dan yang pastinya, filem ini bukan sekadar untuk peminat Harry Potter semata-mata. Ia adalah sebuah filem yang saya kira sebagai 'turning point' yang boleh menarik semua golongan penonton sebagai 'langkah pertama' untuk mula meminati karya hebat J.K. Rowling ini.
Sekurang-kurangnya mereka akan menantikan filem keempat iaitu Harry Potter and The Goblet of Fire yang telahpun dalam proses penggambaran yang dijangka dikeluarkan tahun depan. Apa yang lebih menarik lagi, ketiga-tiga trio Daniel – Emma – Rupert masih lagi dikekalkan.
Barangkali, pengeluar tidak mahu mengambil risiko atau berlengah lagi sehinggakan mereka bertiga ini kelihatan terlalu 'dewasa' untuk meneruskan watak-watak dalam filem Harry Potter yang seterusnya!
Sutradara : Alfonso Cuarón
Lakon layar : Steve Kloves, adaptasi dari novel J.K. Rowling
Barisan Pelakon : Daniel Radcliffe, Rupert Grint, Emma Watson, Gary Oldman
Durasi : 2 jam 20 minit
Tahun keluaran : 2004 (3hb Jun)
Distributor: Warner Brothers
SKRIN Rating : A- (4/5)
http://www.hogwartsgang.com
No comments:
Post a Comment