21 June 2004

Ulasan Filem : The Butterfly Effect (2004)

Oleh Mahhass

Sebelum anda membaca ulasan ini, cuba anda bayangkan sejenak. Bayangkan apa yang anda telah lakukan sebelum anda duduk di hadapan komputer anda. Katakanlah sejam yang lepas anda sedang memandu ke pejabat.

Perjalananan anda lancar tanpa sebarang gangguan. Sesampainya anda ke pejabat, seperti biasa anda memberi salam kepada rakan setugas seterusnya berjalan ke tempat duduk yang menjadi tempat anda bertugas seharian.

Lantas anda menghidupkan komputer dan menunggu beberapa ketika. Proses itu berjalan seadanya dan akhirnya anda sampai ke laman ini dan seterusnya membaca (atau 'terbaca') ulasan ini.

Apa yang saya cuba utarakan di sini ialah adakah anda akan membaca ulasan ini andai kata perjalanan anda sebentar tadi terdapat gangguan... anda terlibat dalam kemalangan misalnya?

Mungkin jawapannya tidak bukan? Maka, bolehlah saya katakan yang sudah 'takdir' anda akan membaca penulisan saya ini kerana salah satunya 'berpunca' dari ketiadaan gangguan dalam perjalanan anda tadi. (anggapkan ia satu contoh sahaja). Maka plot atau perjalanan cerita tadi sudah pastinya akan berubah.

Maka filem The Butterfly Effect ini seakan memberi paparan terhadap apa yang sudah ataupun yang akan berlaku jika suatu benda atau suatu situasi itu telah berubah ataupun berubah-ubah. Ia bukan soal mengubah takdir, tapi paparan yang cuba digarap untuk filem ini begitu unik malah tidak terjangkau minda saya.

Filem ini bermula baik disamping mengundang seribu persoalan untuk babak pertamanya. Evan (lakonan Ashton Kutcher paling cemerlang pernah saya tonton) terkocoh-kocoh menyelamatkan diri dari sesuatu. Lantas kita dikembalikan semula 13 tahun sebelumnya iaitu di saat beliau masih di alam kanak-kanak. Di sini kita dapat menghayati kisah hidupnya sewaktu kecil sehinggalah 6 tahun selepasnya (alam remaja).

Evan menghidap satu penyakit misteri yang menyebabkan beliau hilang ingatan (black out) pada sesatu ketika yang agak getir atau dalam situasi yang tegang. Maka beliau tidak dapat mengingati apa yang berlaku.

Melangkah ke alam remaja, beliau dan rakan-rakan menjadi remaja liar. Sehinggalah suatu perkara buruk telah berlaku, dan seperti biasa beliau tidak dapat mengingati apa yang berlaku. Ironisnya, segalanya ada dicatatkan di dalam jurnalnya (beliau menulis jurnal sejak berumur 7 tahun) tetapi kebanyakan catatannya hanya separuh jalan berikutan fenomena aneh 'black-out' tersebut.

Di kolej (6 tahun selepasnya), barulah beliau teringat akan apa yang berlaku itu pun setelah jurnal-jurnal dibacanya semula. Evan cuba menjejaki semula teman wanitanya Kayliegh (lakonan Amy Smart) yang kini berkerja sebagai pelayan di sebuah restoran. Beliau berjaya menemuinya namun kedatangannya tidak disenangi berikutan satu soalan yang diajukannya kepada Kayleigh tentang 'apa sebenarnya yang terjadi pada masa itu'. Kayleigh meninggalkannya pada malam tersebut.

Akhirnya Evan dikejutkan dengan berita kematian Kayleigh (bunuh diri). Maka bermulalah sesuatu yang agak pelik dan rumit untuk saya huraikan di sini. Ia seakan mainan psikologi.

Teori Butterfly Effect mungkin dapat menjelaskan tentang filem ini. Walaupun bunyinya seakan fiksyen namun ada yang menarik tentang filem ini. Ia sekadar filem tapi bukan sebenarnya bertujuan untuk menyesatkan.

Ia terpulang pada interpretasi masing-masing kerana saya memandangnya sebagai sebuah cerita yang menerangkan apa yang terjadi disebalik apa yang tidak berlaku. Situasinya sama seperti apa yang saya minta anda bayangkan tadi.

Mesej serta temanya jelas iaitu jika sesuatu perkara itu berlaku maka ia akan berlaku seperti yang telah ditakdirkanNya (walaupun apa saja perubahan yang berlaku). Maksudnya jika anda berhajat untuk makan nanti maka "cerita anda akan makan" itu akan bermula dari saat ini, sebaliknya jika tidak, "cerita anda makan" itu tidak akan bermula dan bakal menjadi cerita lain pula (cerita pasal shopping misalnya?).

Kesimpulannya, kedua-dua "cerita makan" dan "cerita tidak makan" itu kita boleh tonton dalam filem ini.

(Untuk lebih memahami ulasan ini, saya sarankan anda menontonnya dahulu)

SKRIN Rating : B+ (3.5/5)

No comments: