21 June 2004

Antara Hiburan dan Realiti TV

Akademi Fantasia 2Oleh Mahhass

Konsert AF2 untuk minggu kedua saya kira berjaya mencapai objektif yang dimahukan – "Hiburan" (walaupun masih kekurangan jiwa keseluruhannya). Tatkala berakhirnya konsert kedua tersebut, saya kira satu kesan baru mulai timbul pada penontonnya dan kini mulai dirasakan perubahan yang bakal berlaku terhadap program realiti tv paling diminati tanahair. Emosi, kejutan serta 'twist' seperti yang diramalkan sudah mula menunjukkan kesan. Yang masih belum 'reti-bahasa' ialah pengkritiknya.

Rata-rata masih menolak mentah-mentah program hiburan yang lain seperti Audition dan Who Will Win (The Malaysian Topstar) di NTV7 serta Malaysian Idol di 8TV malah kegemerlapan Bintang RTM juga kini seakan pudar dan lesu 'ditelan' rancangan-rancangan yang saya sebutkan tadi. Barangkali konsep baru Bintang RTM yang cuba berjinak-jinak bermain SMS memakan diri-sendiri. Peserta yang terkeluar diberikan peluang kedua walaupun mereka tahu segelintir penonton sudah naik jelak dengan konsep SMS sebegini. Persetankan sahaja konsep realiti tv itu semua yang (orang Malaysia) lebih cenderung memilih rupa (imejlistikal) berbanding bakat. Janganlah pula Bintang RTM diadili oleh penonton Malaysia yang masih lagi buta terhadap seni.

Berbalik tentang konsert AF II, kesemua 12 pelajar turun memberikan persembahan masing-masing dalam pelbagai suasana. Apa yang mendorong hati saya untuk menulis sebenarnya cuma ada dua perkara, iaitu pelajar dan pengkritik. Saya tidak mahu sentuh hal lain.

Paling ketara ialah tentang juri/pengkritik konsert yang makin menjelekkan. Kudsia Kahar sepatutnya lebih berhati-hati agar tidak menampakkan kebodohannya dalam membuat sesuatu penilaian. 'Standing ovation' terhadap ZARINA membusukkan lagi imejnya. Terus terang saya katakan, tiada apa yang istimewanya dengan vokal ZARINA yang dilihat 'terlalu berusaha'. Tidak terdengar pula saya kelunakan dalam lenggok suaranya. Yang lebih menghairankan saya ialah kenapa BOB tidak dipujinya (standing ovation juga misalnya). Terus terang saya katakan jika BOB tidak di AF, maka Malaysian Idol adalah tempat paling sesuai untuknya. Saya berani bertaruh yang BOB tidak akan jadi juara di AF2 (berikutan faktor 'imejlistikal'). Jika di Malaysian Idol, peluangnya saya boleh letakkan 90%.

KAER – Bernasib baik lagi. Masalah utama beliau sebenarnya bukan lirik tetapi tempo. (Beliau nampak panik lirik apa di bahagian mana - tidak fokus). Konsep 'World-Song' sebenarnya bukan susah dibawa jika kita sendiri 'menyusahkan' nyanyiannya. Ad-lib melampau-lampau nyaris tak memakan diri. Sepatutnya beliau belajar dahulu 'feel' - bagaimana tenangnya Zainal Abidin membawakannya.

ZAHID – Penurunan key jelas menghilangkan seni lagu Rahim Maarof. Pastinya Rahim Maarof kecewa atau mungin ketawa mendengar nyanyian beliau. Saya sendiri terkejut begitu senang Ramli M.S bersetuju untuk menurunkan key lagu ini. Kenapa? Terlalu takut vokal Zahid tidak sampai pada bahagian tinggi korusnya? Tak percaya? Cuba anda dengar semula versi originalnya dan bandingkan versi konsert. Hasilnya lagu Istana Menanti ini kehilangan jiwa malah saya berani katakan ianya telah rosak teruk sama sekali walaupun nyanyian Zahid masih dikira baik.

MAS – Sebuah emosi 'sulung' AF musim kedua. Realiti TV ialah Mas – Mas ialah Realiti TV. Mas ialah Akademi Fantasi 2 – Akademi Fantasia 2 ialah Mas. – Ini baru Realiti sebenar di kaca TV anda. Ada apa lagi?

En. Farihin (seorang bekas Al-Arqam) juga masih berlapik dalam menyuarakan komen-komennya walaupun respon 'simple'nya terhadap FARAH dengan mengatakan "lagu ini (Tua Mengejar Kita) saya rasa dicipta untuk awak" - saya sokong 110%. (suatu sinikal terhadap Fauziah Latif atau Malaysian Idol?).

Langkah penganjur mengambil Yusof Haslam sebagai juri konsert (yang sememangnya kita tahu tiada sebarang slot lakonan) tidak menampakkan objektif sebenar pemilihannya. Yang kedengaran, semua respon yang diberikan ialah "awak bagus...bla bla" "awak berbakat...bla bla me me bla bla..". Barangkali beliau hanya memerhatikan bakat-bakat baru untuk menggantikan 'bintang tua' Erra Fazira dan Yusry dalam filem terbitan akan datangnya.

"Nak cari pelakon, bukan kat AF, tuk. Datuk cuba intai kat Audition NTV7. Kat sana MUNGKIN ada bakat-bakat baru yang datuk nak. Budak-budak AF2 ni semua dahpun kena ikat tiga tahun dengan Maestro, lepas tiga tahun nanti datuk boleh datang ambik sebab depa dah takmoh dah".

No comments: