Oleh Fadz
Kan aku dah kata, aku pegang janji aku tu, aku akan tonton apa-apa filem Melayu yang keluar tahun ini, berikutnya dan bila-bila. Kawan aku seorang kata, aku bernasib baik kerana aku sempat menonton filem Aziz M. Osman ini. Aku juga bersetuju, bukan kerana apa, filem ini sangat-sangat menghiburkan, tetapi juga sangat menyengat dalam mesej ‘cynical’nya.
Kalau aku mahu kata (seperti yang dikatakan oleh Sultan Muzzafar terhadap Trauma) filem ini telah membawa Aziz M Osman ke satu pelantar yang baru, itu seakan menipu. Kerana Aziz sudah tersedia ‘pandai’ dan ‘tahu’ karyanya, para krunya dan penontonnya. Filem ini ada untuk semua, dari penonton sejati kita yang melayan Yusof Haslam hingga ke seorang pencinta filem; menonton filem ini, Aziz seakan memberi manis-manisan untuk pencernanya, tidak kira bagaimana anda ingin melihat filem ini dari sudut apa.
Aku terpaksa berdiri dan memberi tanda hormat pada Aziz kerana filem ini. Seperti yang kau orang tahu, Aziz senang dalam mengupas isu sosial yang berlaku di sekitar Malaysia, lalu diintepretasi menjadi sesuatu yang kreatif. Untuk filem ini, beliau menggunakan komedi. Komedi adalah genre yang paling menakutkan untuk disentuh. Steven Spielberg sendiri tidak pandai mencipta komedi dan beliau sendiri akur, ia memang pendekatan paling menyusahkan.
Majalah Total Film pernah menulis, pengarah/pelakon lawak yang berjaya membuat penonton tertawa adalah pejuang seni ditahap yang tertinggi dalam kariernya. Lebih-lebih lagi jika isu yang diutarakan itu sangat sensitif, seperti isu ‘gender-bending, gay’ dalam Some Like It Hot dan Tootsie atau ajaran Jesus dan kebobrokan katolik atau agama dunia amnya dalam Mothy Phyton’s Life of Brian. Isu sosial yang diketengahkan oleh Aziz dalam filem ini adalah tentang ‘kahwin koboi’ atau kahwin lari. Ia nampak janggal, tapi tetap berlaku dalam masyarakat kita. Dan bagaimana Aziz menyentuhnya? Sudah tentu dengan cantik sekali.
Konsep yang banyak digunakan dalam filem ini, kau cuba bayangkan majalah Gila-Gila, terutamanya lukisan ‘Kutu’ Jaafar Taib. Warna, watak dan arahan seninya banyak diinspirasikan dari hasil karya kartunis ini. Kemudian bayangkan filem Yusof Haslam dengan seni reka dan latarnya yang serba lengkap, tapi dalam filem ini ia ‘hidup’ dalam warnanya seakan ia memang wujud, watak-watak sebegitu dalam rumah-rumah sebegitu (boleh dibandingkan dengan filem Edward Scissorhand arahan Tim Burton yang membawa satu dunia fairytale dalam lanskap filem itu). Kemudian bayangkan sessi naratif ‘folk song’ dalam There’s Something About Mary (ada satu makna tersirat, kenapa babak jamban diadakan untuk plot cerita filem ini. Adakah ia homage pada Farelli Brothers yang jaguh dalam komedi ‘toilet humor’ mereka?
Tetapi yang jelas, Aziz ingin mengutarakan bahawa destinasi manusia boleh dibawa/dipengaruh oleh tempat-tempat yang tidak disangkakan) yang menonjolkan emosi hati watak utamanya dalam babak babak tertentu. Tetapi kali ini, Aziz membawa teknik ini ke satu tingkat lagi- ke gambaran ego seks watak-wataknya, juga filem ini. Satu babak menceritakan segalanya- sewaktu di kelas sebuah sekolah agama, pelajar-pelajar itu bermain, berseloroh seperti remaja biasa, tenung-merenung antara pasangan lawanan seks, kemudian kugiran di belakang bermain, melodinya laju, ceria dan ‘daring’- itu satu penonjolan jiwa seks remaja-remaja itu, dan dengan tidak sengaja penonjolan jiwa remaja itu sendiri yang cuba ‘menjerit’ dari mengikut superego yang telah ditentukan oleh persekitarannya, antara tema ‘tersorok’ dalam filem ini.
Segalanya yang dibuat dalam filem ini adalah dalam ‘top class’nya. Lakonan Afdlin Shauki sungguh cemerlang. Sungguh unik. Sungguh ‘timing’ dalam gerak fizikalnya dalam penghasilan lawak (selalu diguna oleh para pelawak lama seperti Harold, Keaton dan Chaplin. Di sinilah teknik slapstik bermula, dari pergerakan pelakonnya dalam filem-filem ‘silent’). Dia seakan seorang ‘spoof runner’ dalam filem ini. Wataknya juga ada sedikit yang mengena filem arahannya sendiri, Buli. Ada satu babak, dia berbicara, “Kau bercakap dengan aku?”, kau akan teringat akan Robert De Niro dalam Taxi Driver.
Ada beberaoa mimik Al Pacino juga menyelinap dalam lakonannya. Badul seperti biasa, bersahaja dalam mengutarakan ‘line’nya. Wataknya dimainkan untuk berkelakar tapi beliau membawa filem ini seakan dalam sebuah drama realiti, membuatkan humor yang diketengahkan menjadi lebih berkesan. Aku agak terkejut juga, Juliana Banos sangat ‘kena’ dalam wataknya. Dia digandingkan dengan Afdlin, cocok sungguh dalam kejanggalannya (seperti biasa dalam semua screwball comedy), seakan yin dan yang bercantum elok. Zaidi sebagai anak orang kaya juga sungguh berjaya membawa watak ‘sesuatu dari filem Yusof Haslam’. Para pelakon tambahannya juga bagus, terutamanya pelawak veteran yang menjadi kadi di babak ‘kahwin’ filem ini.
Tapi yang paling menggembirakan aku adalah dua pelakon mudanya yang menjadi aspek filem ini (aku sudah lupa nama mereka). Si gadis itu pandai bermain dengan mimik mukanya, dan bagaimana dia menenggelamkan ‘seksual’nya dalam lakonannya. Si jejaka pula memainkan wataknya ‘straight face’ hingga ke akhir dengan sungguh berkesan, menonjolkan jiwa sebenar seorang remaja yang ingin hidup dan berdiri dan sedar tentang sekitarnya, dikelilingi orang dewasa dan kelemahan mereka.
Maka filem ini, bukan sahaja melihat perpecahan pemikiran lelaki dan wanita (ada satu babak mimpi yang seronok, menonjolkan wanita diibaratkan sebagai homemaker gaya Inggeris zaman 50-an, sangat tepat dengan kehendak dan naluri lelaki yang sekaligus mempengaruhi pemikiran wanita di Malaysia), ia juga melihat perpecahan semangat remaja dan dewasa, impian, kemahuan, cinta, seks dan penyedaran mereka terhadap dunia yang saling berbeza.
Ada dua sahaja ‘complain’ aku terhadap filem ini. Satu, lagu latarnya, walaupun ‘ochestratic’, ia dicedok dari filem Finding Nemo! Ini kerja biasa filem Yusof Haslam dan aku masih menunggu untuk ia berevolusi. Kedua, babak si jejaka menyanyi sayu lagu ‘happy birthday’ di mana, persoalannya, di mana dia tahu si anak kaya itu akan menangis bila mendengarnya?
Ada satu lagi lapisan yang aku agak ia tidak disengajakan oleh Aziz. Filem ini banyak bermain dengan ‘unconscious’ imej yang mengutarakan ‘apa itu industri filem Melayu’. Pertama, kita sedar, filem Melayu suka ‘mencedok’, dari penonjolan slanga Indonesianya (di sini, ia digambarkan, atas dasar ingin mencari keuntungan) hingga ke teknik penggambarannya. Kemudian ada seorang mamat ‘Chindian’ lakonan apek yang berkesan (“Cina+India+Melayu jadi Cindianu”) yang meminati wayang. Adakah ini kemahuan Aziz supaya penonton filem Melayu masa depannya menjadi berbilang kaum? Kemudian van (“kotak buruk”) yang sentiasa rosak bila pemandunya takbur, ada pelekat RTM di cerminnya. Adakah ini sindiran halus Aziz pada RTM kita, bagaimana ‘si tua yang tidak sedar diri ini’ harus berubah haluannya sebelum ia betul-betul ‘mati’ di tengah jalan? Banyak lagi perkara dan imej yang ingin aku kupas dari filem unik dan berani ini.
Apa-apapun, aku gembira, filem kita sudah mula menjadi ‘seronok’, juga ‘berisi’ semula.
No comments:
Post a Comment