Oleh Mahhass
Melihatkan pada tajuknya sahaja, pastinya kita dapat membayangkan apa yang berkisar tentang filem ini. Saya percaya mungkin sebilangan besar dari kita merasa jelek dengan tajuknya, namun perasaan ingin tahu pastinya tercetus dikalangan penggemar filem. Benar, kerana ini adalah di antara filem paling kontroversi pernah dihasilkan oleh pengarah berbangsa Italy, Pasolini atau nama penuhnya Pier Paolo Pasolini.
Filem ini bukan setakat diharamkan hampir di seluruh dunia, malah riwayat sutradara ini juga berakhir disebabkan filem ini. Beliau dibunuh pada tahun yang sama ia dikeluarkan.
Begitu ekstremnya imej yang terkandung sehingga mencetuskan perdebatan hangat di parlimen Australia, sehinggalah filem ini akhirnya dilepaskan dalam bentuk video hanya pada tahun 1993 (itupun setelah hampir 20 tahun ianya difilemkan).
SALO diambil bersempena dengan pemerintahan facist Mussolini di Republic of Salo, Italy pada tahun 1944-1945. Ia diadaptasi dari novel hasil penulisan Marquis de Sade bertajuk The 120 Days of Sodom.
Segala-galanya tentang filem ini adalah tentang penyiksaan seksual. Terus-terang saya katakan bahawa sesetengah paparan visualnya begitu memeranjatkan. Belum pernah lagi saya menonton filem yang sekotor ini.
Struktur naratifnya dibahagikan kepada 4 bahagian. Ia memaparkan penculikan terhadap 9 remaja lelaki dan 9 remaja perempuan yang kesemuanya akan disiksa oleh 4 'aritocrats', yang digelar The Bishop, The President, The Duke dan The Magistrate. Perilaku luarbiasa yang dilakukan oleh kempat-empat protagonis ini membayangkan saya akan erti kekejaman dan kecelakaan fascism terhadap manusiawi.
Paparannya begitu menjijikkan sehingga saya sendiri merasa mual lebih-lebih lagi dalam bab yang ketiganya : Circle of Shit. Anda bukan sahaja boleh menyaksikan remaja-remaja malang itu disiksa secara seksual, malah mereka juga dipaksa memakan najis manusia. Tidak cukup dengan itu, mereka memasaknya untuk dijadikan santapan malam. Menurut Pasolini dalam temuramahnya tentang adegan jijik itu, beliau menjawab, "Itu adalah satu serangan ke atas junk food, kesemua 'makanan industri' itu merupakan sampah yang tidak ada nilai".
Keempat-empat karakter sial dalam filem ini seolah-olah ingin 'bereksperimen' atau 'mencari' suatu kepuasan maksima dalam melakukan apa sahaja bentuk penyiksaan. Gambarannya begitu hidup dengan berlatarbelakangkan alunan muzik yang dianggap Pasolini sebagai 'muzik tipikal fascist'.
Mereka dijadikan suatu bahan hiburan, ditelanjangkan, diperlakukan seperti anjing, diliwat beramai-ramai akhirnya disiksa dan disula sampai mati.
Saya harus tekankan di sini bahawa filem ini bukan untuk semua golongan boleh menontonnya – penonton mainstream awas!. Barangkali filem ini hanya sesuai bagi penggemar filem (film buffs) dan juga bagi mereka yang tahu menilai seni yang terdapat dalam filem walaupun realitinya begitu jijik sekali sehingga nyawa pengarahnya (Pasolini) sendiri menjadi korban.
Sutradara : Pier Paolo Pasolini (1922-1975)
Adaptasi novel : 120 Days of Sodom oleh Marquis de Sade
Genre : Drama, Seram, Politikal, Jenayah Seksual
Bahasa : Italy
Durasi : 1 jam 33 minit
Keseluruhan kualiti DVD : 4.5/5 – Visual skrin lebar 1:85, Color, Dolby Digital Mono, Sarikata (English) dan Special Features
Nota : Fadz, terima kasih!
Artikel tentang Salo-Passolini @ pemikir.blogspot.com
No comments:
Post a Comment