02 June 2004

Rosemary's Baby (1968)

... Pray for Rosemary's BabyOleh Mahhass

Sepanjang minggu lepas, saya penuhkan masa terluang saya dengan menonton beberapa keping DVD seram klasik (fadz - terima kasih). Antara yang menarik perhatian saya untuk menulisnya ialah filem 'cult' seram tahun 1968 berjudul Rosemary's Baby.

Filem ini ditulis dan diarahkan oleh Roman Polanski, hasil adaptasi dari novelis Ira Levin. Ia mengisahkan pasangan muda Guy (John Cassavets) dan Rosemary Woodhouse (lakonan cemerlang Mia Farrow) yang baru berpindah ke sebuah apartmen. Mereka seterusnya mula mengenali jiran mereka iaitu pasangan warga tua, Minnie dan suaminya Roman Castevet. Kehidupan mereka terjalin seperti biasa sehinggalah Rosemary telah disahkan mengandung. Pasangan ini begitu ceria mendengar berita gembira tersebut.

Bunyinya seperti filem-filem biasa, bukan? Tunggu... filem ini bukan seceria yang anda sangkakan.

Segalanya terletak kepada kepakaran sutradara dan penulis lakon layarnya iaitu Roman Polanski dalam memberikan sebuah paparan seram yang begitu unik dan merengsa. Beliau bijak menggarap plot filem ini, bagi menghasilkan sebuah genre seram yang saya boleh kategorikan sebagai antara yang terbaik pernah dihasilkan.

Berbalik kepada Rosemary, kehidupan isteri malang ini mula berubah sedikit demi sedikit. Suaminya juga seolah-olah berubah, walaupun kasih sayang serta belaian mesranya (seperti pada awal-awal filem) masih ditonjolkan. Beliau seakan dikuasai oleh sesuatu. Jirannya pula seolah-olah mengambil alih segala keputusan yang perlu dibuat oleh pasangan muda ini. Baik dari segi pemilihan doktor untuk pemeriksaan mahupun pemakanan seharian Rosemary. Suaminya hanya mengiyakan "nasihat-nasihat" yang diberikan. Namun, Rosemary seringkali mengadu kesakitan yang amat sangat pada kandungannya.

Apa yang menarik dalam filem ini ialah penguasaan plotnya. Polanski bijak dalam mewujudkan pelbagai andaian penontonnya. Kita tidak pasti apa yang sebenarnya dialami oleh Rosemary. Polanski berjaya "menarik" penontonnya ke akhir babak dalam filem ini.

Adakah itu sekadar halusinasi atau konflik dalaman seorang wanita yang sedang mengandung? Atau beliau sememangnya telah dikuasai oleh suatu kuasa kejahatan misteri? Persoalan ini hanya akan terjawab di kemuncaknya.

Filem ini sebenarnya lebih merujuk kepada soal psikologikal malah ia tidak menampilkan sebarang visual 'gore', 'bloody' atau keganasan. Tetapi cukup menggetirkan sanubari kerana ia melibatkan unsur cemas, suspen, kecurigaan serta ketidakpuasanhati yang memberikan rasa tekanan terhadap penontonnya. Apatah lagi jika filem ini ditonton oleh wanita yang sedang mengandung (termasuk juga suaminya). (Amat tidak sesuai untuk tontonan mereka).

Maka, sebab itu filem ini saya lihat begitu berkesan. Dengan paparan DVD Widescreen dan setelah diadun semula dengan Dolby Digital, anda masih boleh menikmati filem klasik ini walaupun sudah hampir empat dekad diterbitkan. Jika anda peminat horror dan belum lagi menonton, anda perlu tontoninya kerana Rosemary’s Baby adalah salah sebuah filem "mesti-tonton" klasik seram terbaik sepanjang zaman.



Judul : Rosemary's Baby
Genre : Seram/Cemas/Drama/Psiko
Tagline : Pray for Rosemary's Baby
Sutradara & lakon layar : Roman Polanski (adaptasi novel oleh Ira Levin)
Barisan Pelakon : Mia Farrow, John Cassavets, Ruth Gordon, Sidney Blackmer, Maurice Evans
Durasi : 2 jam 16 minit
Format DVD : Anamorphic Widescreen/Color dengan sarikata English

No comments: