
Ramai yang mengatakan bahawa filem – filem ‘sequel’ kebanyakannya menghampakan. Saya juga mempunyai tanggapan yang begitu tetapi seperti mana pepatah melayu ‘jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga’. Dan percayalah bahawa filem Ocean Twelve pastinya tidak menghampakan peminat filem ini. Tidak cukup dengan barisan pelakon yang cukup ternama, ditambah idea kreatif pengarah, Ocean Twelve mempunyai identitinya sendiri.
Adegan dimulakan dengan babak tiga bulan selepas rompakan di Las Vegas. Babak memperkenalkan watak baru dalam filem ini, Isabel Lahiri (Catherine Zeta-Jones) sebagai kekasih Rusty Ryan (Brad Pitt). Isabel merupakan seorang detektif yang ditugaskan untuk menyelesaikan masalah rompakan yang dilakukan oleh Rusty dan Frank di Amsterdam. Dan seperti biasa Rusty menghilangkan diri apabila Isabel mula mendapat klu mengenai identity perompak tersebut.
Babak seterusnya memfokuskan kepada setiap ahli Ocean Eleven didatangi Terry Benedict (Andy Garcia) yang menyimpan dendam terhadap mereka. Benedict mahu mereka membayar semula jumlah wang rompakan yang mereka lakukan dengan memberikan mereka ultimatum – bayar wang dengan bunga selama tiga tahun – dalam masa dua minggu. Ini merupakan diantara babak – babak penting di dalam filem ini dimana setiap sudut dan editing yang dibuat merupakan trademark bagi Steven Soderbergh, freeze – frame pada reaksi setiap ahli Ocean Eleven terhadap ugutan Benedict.
Ahli Ocean Eleven akhirnya bertemu untuk membincangkan jalan penyelesaian yang boleh mereka ambil. Danny Ocean (George Clooney) mencadangkan agar mereka melakukan satu lagi rompakan untuk menampung baki wang yang perlu mereka kumpulkan untuk dibayar semula kepada Benedict. Mereka akhirnya bersetuju untuk ke Amsterdam untuk satu misi. Namun, di Amsterdam, misi yang dirancang dan dilakukan dengan baik akhirnya menjadi sia – sia apabila ‘The Night Fox’ telah mendahului mereka. ‘The Night Fox’ a.k.a Francois Toulour (Vincent Cassel) merupakan pencuri yang telah mendedahkan identiti ahli Ocean Eleven kepada Andy dan dimana di dalam komuniti perompak ini merupakan satu kesalahan yang besar. ‘The Night Fox’ merupakan anak didik Caspar LeMarc (Albert Finney), merupakan seorang perompak lagenda yang sehingga hari ini menjadi buruan pihak polis antarabangsa.

Filem sinambungan ini tidak menghampakan pada pandangan saya. Bagi saya ianya lebih hebat dari filem sebelumnya. Dengan pemandangan yang indah sekitar Amsterdam dan Rome, teknik Soderbergh juga kena dengan kaedah penceritaan filem ini. Lebih banyak putar – belit cerita yang menarik. Ditambah juga dengan lakonan bersahaja perompak yang kadang kala seolah – seolah merupakan pelawak. Filem ini tidak semata – mata bergantung kepada barisan pelakon hebat yang juga tampak hebat dengan pemilihan pakaian oleh pemenang Oscar, Milena Canonero tetapi dengan satu plot cerita yang menarik.

Filem ini memaparkan diantara teknologi terbaru didalam bidang rompakan yang teratur. Bukankah ini satu faktor kenapa masalah rompakan semakin maju? Seperti mana pendapat saya mengenai iklan atau berita mengenai teknologi terbaru dalam membanteras jenayah yang disiarkan di televisyen. Ianya hanya akan memberikan idea kepada sang pencuri untuk mengatasi alat atau teknologi yang dicipta untuk menghalang mereka. ‘Perompak termaju’ bukan sahaja licik tetapi kini mempunyai ijazah sarjana untuk menampung hidup mereka dalam bidang kejuruteraan ‘perompakan’. Jadi bagaimana kita boleh mengatasi langkah perompak – perompak ini jika kita memberikan ‘the first step ahead’ kepada mereka?
Rating walids : 8.3/10
No comments:
Post a Comment