Oleh Walids
Setiap gambar yang diambil menceritakan kisah yang tersendiri. Banyak yang boleh diceritakan. Ianya juga boleh ditafsirkan mengikut fahaman penilai sendiri. Dan ianya mungkin berbeza. Masalah 'impose picture' adalah masalah yang biasa di dalam bidang ini. Mungkin mata kasar seperti kita tidak dapat membezakan kesahihannya. Tapi dengan teknologi masa kini, masalah seperti itu dapat dikesan dengan mudah. Kebiasaannya, foto yang diambil oleh seorang jurugambar professional memang cukup mengasyikkan.
Tapi apa yang berlaku jika terdapat detail atau gambaran yang tidak dapat diterangkan oleh jurugambar sendiri. Dan ianya bukan melibatkan masalah kamera itu sendiri. Ini yang cuba dibentangkan oleh Pakpoom Wongpoom dalam filem 'Shutter'. Beliau menggunakan medium ini untuk menceritakan sebuah kisah seram yang amat menarik. 'Shutter' bermula dengan adegan kemalangan yang melibatkan seorang jurugambar, Thun (Ananda Everingham) dan kekasihnya Jane (Natthaweeranuch Thongmee) yang melanggar 'seorang perempuan'. Dan mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan perempuan itu ditempat kejadian. Jane mengalami mimpi - mimpi ngeri sejak peristiwa tersebut.
Manakala Thun pula pelik melihat gambar - gambar yang diambil sewaktu majlis graduasi Jane. Ada yang tidak kena dengan gambar - gambar tersebut. Jane mula rasa bersalah dan telah cuba mencari perempuan tersebut. Namun, tiada pesakit yang dimasukkan ke mana - mana hospital pada hari kejadian tersebut. Jane dan Thun mula dihantui dengan imej - imej yang muncul dalam hidup mereka.
Jane mula mencari pertolongan dengan berjumpa dengan seorang jurugambar yang telah menerbitkan majalah - majalah yang berkaitan foto yang mengandungi imej - imej roh. Dan seperti biasa jurugambar tersebut menerangkan bahawa kebanyakan gambar - gambar yang beliau terbitkan merupakan gambar yang diubah semula. Semuanya untuk melariskan majalah beliau.
Pembaca inginkan sesuatu yang seram dan ngeri. Namun, jurugambar tersebut menunjukkan koleksi beliau sendiri. Foto imej ibunya yang telah meninggal dunia dan ada di dalam gambar beliau dan anaknya. Dan menurut jurugambar tersebut itu merupakan gambar yang asli. Tapi bagaimana ianya dapat dibuktikan? Salah satu cara untuk tidak memastikan gambar yang diambil ialah gambar yang asli ialah dengan menggunakan kamera poleriod. Di mana bila ianya ditekan, gambar akan keluar secara otomatik dan tiada proses lain. Tanpa pengetahuan Thun, dua orang rakannya telah pun mati akibat terjun dari bangunan. Thun cuma mengetahui perkara ini setelah salah seorang rakannya datang ke rumah meminta gambar darinya. Dalam keadaan yang tergesa - gesa meminta gambar. Dan apabila Thun pergi ke rumahnya untuk bertanyakan mengenai gambar yang diminta, Thun melihat sendiri rakannya membunuh diri.
Setelah peristiwa itu, Thun baru menyedari, perempuan yang menghantui Thun dan Jane bukan disebabkan oleh pelanggaran tersebut tetapi disebabkan apa yang dilakukan oleh Thun dan tiga orang rakannya. Perempuan tersebut merupakan teman sekolej Thun dan rakan - rakannya yang telah diperkosa dan dimalukan oleh mereka. Perempuan tersebut telah membunuh diri dan kini menuntut dendam di atas kematiannya.
Thun dan Jane telah mencari rumah perempuan tersebut dan mendapati mayat perempuan itu masih wujud diawet oleh ibunya. Thun dan Jane mendesak ibu perempuan tersebut untuk membakar mayatnya agar rohnya tenang namun setelah proses pembakaran dilakukan, Thun masih dihantui roh perempuan tersebut. Terlalu banyak adegan - adegan seram yang cukup untuk mengejutkan penonton.
Pada saya, garapan terakhir untuk filem ini cukup simbolik. Akhirnya Thun tahu mengapa beliau mengalami sakit - sakit leher yang teruk. Dan bagaimana hidup Thun akhirnya. "Orang yang disayang akan tinggal dengan orang yang disayangi tak kira di mana anda berada". Amaran Kerajaan Malaysia: Pastikan anda tidak mengalami atau mempunyai sejarah sakit jantung. Pastikan anda menonton filem ini dengan seseorang yang telah lulus untuk prosedur CPR yang betul.
Rating walids : 7.9/10
No comments:
Post a Comment