Oleh Walids
Kisah epik seorang lelaki yang berjaya menakluk Asia dan Eropah dalam usia yang sebegitu muda memang merupakan satu kisah yang patut dicontohi. Sebagai contoh semangat dan kecekalan yang dimiliki oleh seorang lelaki. Alexander dikatakan menjadi sepertimana ada dirinya akibat dari ingin membuktikan kepada rakyat Macedonia bahawa dia lebih hebat dari bapanya, Philips. Itu merupakan cita - cita Alexander. Untuk jadi yang lebih hebat dan lebih baik dari semua orang. Cuma ada seorang lelaki yang boleh mengalahkan Alexander. Hephaistion.
Siapa Hephaistion? Teman sejak kecil Alexander. Mereka berguru bersama Aristotle. Tempat Alexander meluahkan perasaan marah, sedih dan takutnya. Sejauh mana persahabatan ini diantara Alexander dan Hephaistion? Kekasihnya? Yang boleh dikatakan ialah mereka adalah 'satu'. Pernah berlaku insiden apabila Puteri Persia melutut kepada Hephaistion kerana menyangka beliau ialah Alexander, dan Alexander cuma tergelak dan berkata "Tidak mengapa, dia juga Alexander". Penyelidikan telah dibuat dan tiada bukti di dalam catatan sejarah Alexander dan Hephaistion merupakan pasangan kekasih. Tiada rekod mengatakan mereka pernah melakukan hubungan yang lebih dari sekadar kawan. Tapi itu apa yang mereka nampak dan mereka catat, selebihnya? Kenapa Alexander berkahwin dengan seorang wanita yang tidak mempunyai kedudukan? Apa motif disebalik perkahwinan tersebut? Sekadar untuk mendapatkan zuriat dah pewaris?
Dari apa yang dilihat di dalam Discovery Channel, Alexander dan semua lelaki di Macedonia pada zamannya merupakan golongan biseksual. Mereka mempunyai isteri dan juga kekasih lelaki. Mungkin ini menyebabkan mereka mengatakan bahawa Alexander merupakan kekasih Hephaistion. Cara Alexander dibunuh juga dikatakan bukan merupakan satu cara Macedonia yang sebenar. Dia diracun atau meracun dirinya sendiri. Tidak seperti Philips, yang mati dibunuh. Seperti yang diperkatakan bahawa jika Alexander tidak mati sewaktu kempennya ke Tanah Arab, dunia mungkin bukan seperti yang ada sekarang.
Oliver Stone sekali lagi menimbulkan kontroversi setelah filem "JFK" dan "Natural Born Killers". Stone yang mengarahkan filem epik bernilai USD 150 juta ini lebih memaparkan Alexander (Collin Farrell) dan lelaki di zaman tersebut sebagai lelaki gay. Dari lakonan Alexander dan Hephaistion (Jared Leto) sudah cukup untuk memberikan gambaran kehidupan lelaki pada zaman mereka. Alexander cuma berkahwin setelah hujung pisau berada dilehernya. Dan perkahwinan tersebut mendapat tentangan dari rakan - rakannya. Pelakon kanak - kanak yang melakonkan watak Alexander sewaktu kecil berjaya melakonkan 'semangat' Alexander yang ingin dilihat hebat dimata bapanya Philips (Val Kilmer).
Alexander yang sebelum ini dijaga dan dibesarkan oleh Olympias (Angelina Jolie) tidak mahu Alexander mengikut jejak langkah ayahnya. Malah Olympias sendiri tidak mengaku bahawa Philips merupakan ayah kepada Alexander. Olympias mahu membesarkan Alexander mengikut acuannya sendiri. Alexander berjaya mengambil perhatian ayahnya, sewaktu Alexander menjinakkan seekor kuda, Bucephalos. Kuda yang menjadi tunggangan beliau sewaktu menakluk sebahagian besar jajahannya sehingga ke India apabila kuda tersebut mati sewaktu mempertahankan Alexander. Dan Alexander berjaya mendapat tahkta ayahnya hanya kerana dia disokong oleh teman - teman ayahnya.
Collin Farrell telah dipersediakan untuk watak Alexander lebih lama sebelum Stone memulakan pengambaran. Farrell di latih untuk menunggang kuda tanpa pelana, berlatih taktik peperangan untuk memimpin pasukan, penggunaan pedang dan seni mempertahankan diri. Farrell dipersediakan dari segi fizikal dan mental. Untuk dia menjadi Alexander. Cuma mungkin satu kesilapan Stone. Dia tidak cuba untuk menukar slanga Farrell. Atau memang orang - orang di Macedonia berbahasa Irish?
Dua pertempuran besar yang berlaku di Gaugemala dan India merupakan 'highlight' dalam filem ini. Pertempuran di Gaugemala lebih merupakan sebagai satu pertempuran untuk membalas dendam terhadap kematian ayahnya, Philips. Di katakan bahawa pembunuh Philips merupakan pembunuh upahan yang diupah oleh Raja Darius. Dan Alexander telah nekad untuk membunuh sendiri Darius. Walaupun jika dibandingkan bilangan tentera, Alexander cuma membawa lebih kurang 30,000 tentera dan Darius 250,000 orang. Jelas dari segi kuantiti Darius mempunyai kelebihan. Tetapi disebakan taktik peperangan yang bijak Alexander berjaya mengalahkan Darius. Formasi 'phalanx' yang masih menjadi ikutan tentera adalah merupakan ciptaan Alexander. Formasi yang dikatakan amat teguh dan sukar untuk dicerobohi.
Stone tidak mengupas bagaimana Alexander menghembuskan nafasnya yang terakhir. Mungkin bagi yang tidak tahu sejarah Alexander perkara ini perlu diperjelaskan agar tidak menyebabkan sejarah yang direka sendiri tertulis. Mengikut sejarah mengatakan Alexander diracun. Diracun setelah Alexander berada dalam keadaan yang paling lemah. Alexander berada di dalam keadaan yang paling lemah setelah Hephaistion mati akibat malaria. Alexander seperti kehilangan sesuatu yang paling penting dalam hidupnya. Namun, ada juga yang mengatakan bahawa Alexander sendiri yang meracun dirinya. Dalam erti kata lain memaksa dirinya untuk meneruskan kempen penaklukannya. Tanpa menghiraukan kesihatannya sendiri.
Duduk di panggung selama 3 jam untuk menonton filem yang tidak kita ketahui sejarahnya mungkin berbaloi. Tapi bagi yang sudah mengetahui sejarah (dari pembacaan atau dokumentari) filem ini mungkin mengecewakan sedikit. Banyak fakta yang tidak diceritakan. Namun, sebagai sebuah filem epik yang difilemkan, usaha Stone perlu diberi kredit.
Rating walids : 8.0/10
No comments:
Post a Comment