27 February 2009
Red Victoria (2008) : Sebuah "gem" Horror Indie
Kalau bercakap tentang horror indie, filem ini adalah pemenangnya. Ya, aku cukup positif kerana akhirnya muncul juga sebuah filem bajet kecil yang benar-benar memikat malah aku berani katakan antara yang TERBAIK pernah dibuat (diukur dari sudut bajet peruntukan), setelah sekian lama sudah jenuh aku menonton B-Movie (aku lebih serius menonton filem independent berbanding filem mainstream kalau kau nak tahu). Oh yes, you heard me right – TERBAIK.
Red Victoria punya sentuhan skrip yang original (dan sudah tentu skrip yang solid sebegini biasanya menjadi mangsa plagiarism sebelum produksi gigantik Hollywood mula imitate), membawa lakonan yang sangat efektif (terutamannya dari Tony Brownrigg sendiri yang juga merangkap sutradara, penulis skrip dan juga produser sekaligus), sinematografi yang smart sehinggalah ke elemen komedi melalui acuan dialognya yang classy.
Filem ini tentang seorang penulis skrip (genre romance) bernama Jim, yang seringkali menemui kegagalan dalam hasil karyanya. (Pretty much a ‘loser’ scriptwriter, ringkasnya). Sejak karyanya tidak lagi boleh dijual, produser pula mahu kan sebuah skrip horror (ya, horror ternyata lebih tinggi permintaan), sedangkan horror bukanlah genre beliau. Justeru kisah kecil ini bermula, dan Victoria, sang zombie itu muncul dalam hidupnya tatkala beliau hampir sekali pasrah. Ok, mudah kata, Victoria itu menolongnya (sebagai ‘editor’ skripnya, lebih kurang begitulah). Tetapi, bukan itu sahaja, kerana Victoria juga bertindak ‘menjaga’nya – jadi, barangsiapa messed up dengan Jim kau sendiri mahu faham lah.
Initially, aku skeptikal. Aku fikir filem ini sekadar saduran (atau cuba meniru) Zombie Honeymoon (2004). Tidak, sangkaan aku silap sama sekali, kerana kedua-duanya langsung tiada kaitan dari sisi plot. Red Victoria adalah sebuah kisah segar, tentang densiti mahupun dilema seorang penulis skrip. Pun begitu, garapannya masih tetap upfront, hip dan penuh clever sehingga mencuit hati, dan setentunya di amalgamasi secara unik dengan jittery komedi gelap. Pendeknya, segalanya tampak seimbang. Ia sebuah homage terhadap filem notable (subgenre zombie), termasuk penulis skrip horror sebelum ini, malah lebih menarik lagi apabila watak Carl (yang dipegang Edward Landers) merupakan tribute terhadap horror-fans - Ya, sudah tentu karakter fantastik itu mewakili kita, bukan? Haha.
Rekomendasi tinggi. Jadi, sekarang kau boleh order DVD ini yang sudahpun dirilis lebih kurang dua minggu sudah.
25 February 2009
His Name Was Jason: 30 Years of Friday The 13th (2009)
Aku masih ingat, waktu pertama kali aku menonton series Friday The 13th semasa kecil dahulu, aku sering menyumpah-nyumpah akan karakter pembunuh yang sering tampil berseluar jeans compang camping, berbaju koyak-rabak (kadangkala lebih cool dengan jaket), sebilah pedang (kadang-kadang dengan kapak) dan yang paling penting ialah bertopeng hoki. Serius aku benci, sakit hati ya amat terhadapnya. Kau bayangkan sahaja, sudah ditembak berdas-das, ditetak dengan kapak dikepala, err.. di”mati”kan dan ditenggelamkan di dasar Crystal Camp Lake itu, dan segala macam kaedah lagi dibuat ke atasnya (aku mudah sekali menarik nafas lega seraya bangun dan menjerit Yesssss mampus kau Jason!.) Ironinya, dikonklusi pasti si psikotik ini muncul lagi. Ini buat aku selalu terfikir, spesis manusia apakah mamat ini, mana ada orang dah disahkan mati hidup balik? Aah.. ini semua temberang. Aku benci dipermainkan. Tetapi apabila rilisan filem Jason yang seterusnya muncul, kebencian itu bertukar menjadi keterujaan melampau, lalu aku berikrar untuk menjadi (kononnya) orang pertama yang akan menontonnya. Selepas berjaya menonton, De fucking ja - vu – aku menyumpah lagi di penamatnya.
Itu serba sedikit pengalaman aku terhadap francais ini.
Kini, secara paradoks, aku menyanjung pula si mamat bedebah ini selepas bertan-tan makian aku terhadapnya. Ya, aku dah mulai dewasa sekarang. Malah aku sedar bahawa aku telah menikmati sebuah ultimate hiburan melalui sinema horror. Lebih asyik, apabila aku terselamat dan tidak pernah diapa-apakan melalui menonton sebuah filem horror/slasher. Habis menonton, maka habislah. Kata orang, filem horror adalah satu medium paling selamat untuk merasai ketakutan, tanpa perlu merasai secara zahiriah apa yang berlaku di dalamnya. Mudah bukan? Aku juga turut sedar kini bahawa karakter Jason adalah antara yang paling rock-solid pernah dicipta dan semuanya bermula sejak sekuel dan prekuel Friday The 13th (1982) (Part 3) apabila Steve Miner dan Ron Kurz mula mengenakan Hockey Mask terhadap Jason Voorhees – lalu ia menjadi ikonik selain influential untuk segala macam filem tentang serial-killer yang menyusul keluar selepasnya.
Dokumentari yang dihostkan oleh Tom Savini - godfather efek & make up designer ini merangkumi kesemua dua belas filem Jason, termasuklah versi remake baru-baru ini. Menampilkan wawancara hebat lagi informatif dengan beberapa cameo sutradara, penulis skrip, horror-critics (Bloody Disgusting, Dread Central, Shock Till You Drop), para pelakon yang pernah membintanginya (termasuk sutradara filem horror lain, yang sememangnya huge-fan Jason). Lebih menarik lagi, dokumentari ini diselitkan dengan beberapa klip series, di sebalik tabir, trivia (oh, ada satu babak kurang dari lima minit terpaksa dibikin selama dua hari) dan bagaimana Sean Cunningham dan penulis skrip asal Friday The 13th (1980), Victor Miller langsung tidak pernah terfikir karya kecil mereka disekuelkan (kesemuanya gara-gara idea gila Tom Savini di final sekuens – apabila Jason muncul menarik Alice ke dalam tasik) sehingga mendapat sambutan penuh kegilaan pengikutnya, apatah lagi masih galak diperbikin (francais mahupun remake) sehingga ke hari ini.
DVD 2-Disc “Edisi Splatter” ini direkomendasi setingginya untuk peminat Jason Voorhees dan sudah tentu juga untuk seluruh peminat subgenre slasher seantaro dunia. Tidak ada sebarang alasan lagi kerana ia mesti dimiliki.
20 February 2009
Friday The 13th (2009) : Kau boleh melakukan yang lebih SADIS dari ini, Jason!
Sebetulnya, kebanyakan filem-filem genre horror yang muncul lewat saat ini bukan dibuat sekadar hiburan secara harfiah semata-mata. Sudah banyak remedy dari beberapa horror filmmaker kontemporari (melalui remake mahupun skrip asli) yang dilihat cuba mengubah persepsi obsolete ini. Karyawan ini mula menyuntik elemen satira-sosial, pos-perang malah ada yang memberi sindiran terbuka terhadap pemerintahan politik negara masing-masing. Bagaimanapun, untuk remake Friday The 13th, barangkali dibikin sekadar sebuah “feel good slasher” sahaja. Tidak lebih dari itu (kalau ada sekalipun, tidak ketara sangat dan terlalu ordinari apabila bercakap soal sekumpulan remaja bangang yang horny).
Sebenarnya, kalau dibandingkan kembali filem asal Friday The 13th (1980), aku berani katakan bahawa remake oleh Marcus Nispel ini agak “sukses” (dalam konteks hiburan seperti yang aku sebut tadi). Ini berikutan bajet serta ke”cheesy”an yang terdapat dalam versi 1980, maksud aku tidak ada salah kalau kita recycle atau mengolah semula suatu yang tidaklah terlalu hebat (sepertimana pertama kali Halloween (1978)muncul di sinema), dan untuk menyokong pendapat ini, kau boleh tonton semula versi Part 1 – serius, ia tidak sebagus yang kau fikirkan malah Part 2 baru muncul sang Jason yang sebenar). Lebih menarik lagi, apabila versi remake ini TIDAK hanya terhad kepada versi asal malah lebih “dekat” kepada Part 2 sehingga Part 4. Berita baiknya ialah death scenes masih kekal serupa kebanyakannya (sleeping bag, throat, arrow, hardware tools, body thru window) dan beberapa homage besar terhadap efek master Tom Savini serta efek-efek francais Friday The 13th sebelum ini.
Dua puluh minit pertama, filem ini mengimbau kembali saat-saat terakhir ibu Jason dibunuh (kepalanya terputus) oleh Alice - karakter utama dan satu-satunya yang terselamat dalam fragmen akhir versi 1980. Jason divisualkan muncul, mengambil mayat serta sebuah kalung yang mengandungi foto ibunya. Kemudian kita dibawa terus ke “present day”. Berbeza dengan versi Cunningham, babak awal menyaksikan dua pasangan yang sedang berhubungan seks dibunuh (dan jawapan siapa yang membunuh itu barangkali terjawab di akhir).
Di sini (melalui remake ini), timbul satu persoalan menarik untuk dikupas iaitu, adakah budak yang pernah lemas di Crystal Lake yang bernama Jason itu sebuah realiti (pembunuh bersiri yang memang wujud sebagai “watak nyata” dalam fiksi – maksud aku memang dia tak pernah mati lemas) ATAU supernatural (iaitu roh yang bangkit semata-mata kerana mahu balas dendam atas kematian ibunya)? Maka, (menurut plot awal, Jason sepertinya tidak pernah mati) adakah ini satu percubaan penulisnya Damian Shannon dan Mark Swift (yang juga penulis skrip Freddy vs. Jason (2003)) untuk “membawa” Jason ke realiti disamping menjustifikasikan semula plot supernatural sebelum ini?
Barangkali kedua-dua penulis ini ingin memberitahu kita bahawa Jason bukanlah dongeng supernatural, malah cukup sedar bahawa audiens lebih takut dengan realisme true-horror berbanding supernatural. Justeru memberi harapan bundar penonton, kerana protagonis (ok, ya aku tahu Jared Padalecki memang cool gila dalam filem ini, puas?) masih menentang “manusia” (sedikit luarbiasa barangkali), dan bukanlah suatu makhluk yang tidak boleh tewas di alam nyata sepertimana karakter ikonik Freddy Kruger (yang sudah tentu sukar ditentang dengan “tangan kosong” orang kata). Maka, idea baru ini sebenarnya lebih “realism-friendly” dalam etika slasher kontemporari), tampak memikat walaupun sedikit tempang/tersasar dengan plot asal pembukaan serta versi original 1980, kerana kita mula mempersoalkan “ Your fucking son Jason is still fucking alive out there somewhere, Mrs. Voorhees... Why so serious and killed so many people then?”.
(Ataupun sebenarnya kita boleh mempersalahkan Alice sejak hampir tiga puluh tahun lalu kerana memenggal kepala ibu Jason itu, kalau tidak, tak akan wujud sejumlah dua belas filem fiksi tentang Jason Voorhees sehingga ke hari ini, duh!)
17 February 2009
Gran Torino (2008) : "I'm No Hero"
Kalaulah nama-nama besar seperti sutradara Sergio Leone, Don Siegel termasuk barisan pelakon seperti Charles Bronson, Lee Van Cleef, Jack Palance yang kita kenal dahulu masih lagi hidup di saat ini (untungnya Eli Wallach masih aktif walaupun sudah menjangkau usia 93 tahun), sudah pasti mereka turut sama berbangga dengan seorang makhluk bernama Clint Eastwood (Dalam famili aku, Mak aku adalah peminat No. 1 Clint Eastwood kalau kau nak tahu). Ini kerana beliau barangkali adalah satu-satunya gem Amerika yang berjaya dalam dua karier penting sinema Hollywood yakni sebagai pelakon dan sutradara (ya, aku sedar itu klise, kerana ini telahpun diperkatakan sejak kejayaan Mystic River (2003) sehingga Changeling (2008) baru-baru ini). Malah, filem Gran Torino ini (menurut Eastwood merupakan filem lakonan terakhir baginya) masih menampilkan kehebatan beliau selaku protagonis sekaligus menyutradarainya.
Premis filem ini cukup subtle (sebetulnya sudah menjadi dasar trademark Eastwood sebelum ini). Malah ada suara yang berkata, kalau bukan Eastwood, filem ini tak akan menjadi. Ya, mungkin ada benarnya. Ia seumpama menonton sebuah resureksi Dirty Harry (1971) ke layar sinema (dan sudah tentu maksud aku versi Harry Callahan di saat tua). Sekurang-kurangnya ‘semangat’ karakteristik ikonik “anti-hero” itu masih kuat terasa kalau kau pernah menonton filem itu sebelum ini.
Seperti In Bruges (2008), filem ini membawa gambaran manusiawi, tentang existentialism (karakter manusia sebagai subjek) serta atonement (apabila karakter Walt itu dibayangi dosa silam kesan pos-perang, bersikap rasis serta prejudis terhadap sosial, namun punya pegangan hidup tersendiri). Secara mutual, menyindir permasalahan isu perkauman serta menyindir ibu bapa anak remaja seperti line “...the hell is it with kids nowadays” di Amerika. Kali ini lebih menjurus terhadap orang Asia – sekaligus menampilkan jukstaposisi unik apabila karakter yang dipegang Eastwood digambarkan menetap di daerah kejiranan orang Asia (kaum hmong lebih tepat lagi). Filem ini mungkin parallel ciri-ciri perwatakan sebenar (real life) Eastwood (dalam artikulasi cool, malah kalau wujud satu anugerah orang tua paling cool, sudah tentu tidak ada orang tua lain lagi yang cocok untuk kategori ini. Gran Torino nyata sebuah equilibrium, apabila segala elemen drama, komedi-gelap, dialog-dialog impresif malah emosi diimbangi sempurna, menjadikannya sebuah lagi naskhah masterpiece Clint “I’m No Hero” Eastwood.
16 February 2009
Dark Reel (2008) : Sebuah Slasher Riang & "Delightful"
SCENE 1
INT. BAR (visual stark hitam putih - 1950an)
Situasi tenang di sebuah bar. Musik retro berkumandang. Seorang lelaki melangkah masuk. (Kamera merupakan penglihatannya). Pandangannya tertumpu terhadap seorang wanita cantik sedang meneguk segelas martini sambil menyedut sebatang rokok. Wanita itu dirapati. Mereka saling tidak mengenali. Perbualan bermula. Lelaki itu memperkenalkan diri sebagai seorang sutradara filem. Dialog mereka ringkas. Perbualan pendek itu berakhir apabila si lelaki itu mempelawa wanita tersebut untuk satu screen test. Bukan esok atau lusa, tetapi waktu itu juga. Teruja dan tidak mahu terlepas peluang keemasan, si wanita itu bersetuju mengikut sang sutradara itu ke sebuah studio filem. Tanpa diduga, wanita itu dijerut lelaki itu tatkala screen test bermula. Dalam separa sedar, tangan dan kakinya dipotong dan akhirnya wanita itu disembelih hidup-hidup.
OPENING CREDITS
(Torture masih divisual)
CUT TO :
TITLE CARD : 53 Tahun Kemudian.
SCENE 2
INT. ROOM (Adam Waltz - horror fan sedang menonton sebuah cheesy B-Movie horror)
Aku tak dapat bayangkan betapa penatnya kerja seorang penulis skrip (Lyna, sesungguhnya aku kagum). Apa yang aku tulis di atas itu hanyalah bayangan skrip eksperimental aku semata-mata, tetapi scene itu memang WUJUD di awal pembukaan filem ini. Samada teknik itu betul atau tidak aku tak tahu. Aku bedal sahaja.
Ok, Dark Reel adalah sebuah filem kecil (sememangnya aku lebih suka filem kecil atau B-Movie yang punya ‘sesuatu’ berbanding produksi besar yang hanya “hiburan” secara harfiah – monotonous tanpa ada apa-apa kesan yang boleh difikirkan) membawa mikstur ramuan slasher 80-90an, bertema komedi gelap (menyindir industri filem Hollywood), bersama sedikit komponen supernatural di dalamnya. Ia bukanlah sebuah filem gigantik, hebat atau apa sahaja, cuma premisnya minimalis, edgy atau aku boleh kata “a delightful slasher flick”, dan yang lebih terasa ialah keunikan skripnya, walaupun eksekusi tetap klise kalau dinilai dengan mana-mana slasher konvensi yang pernah wujud sebelum ini.
Ia sebuah film-within-film. Gambaran pembukaan itu (seakan homage filem Flowers of Flesh and Blood (1985)) membawa sebuah subplot lain (yang berkesinambung dengan plot awal), terus ke masa kini. Seorang horror-fan (Edward Furlong) telah berpeluang untuk turut sama berlakon dalam sebuah produksi filem, setelah memenangi sebuah peraduan kecil. Bagaimanapun, beberapa siri pembunuhan telah berlaku ke atas satu demi satu para pelakon filem tersebut. Secara logiknya, sudah tentu dia menjadi suspek utama.
Filem underrated ini sebenarnya tidaklah hebat, tetapi aku suka. Lebih bingung, kerana aku sendiri tidak tahu kenapa aku boleh terima segala yang ada. Ya, twist di akhirnya juga terlalu natural kalau dinilai, tetapi aku terima. Barangkali kerana sentuhan komedi serta dialog ‘bersahaja’ itu sangat efektif, sekaligus membuatkan aku menyukai keseluruhannya.
Dark Reel terpilih dan ditayangkan ke beberapa festival filem horror Amerika 2008 seperti Shriekfest, Fright Night, Chicago Horror Festival dan juga beberapa festival filem horror di England.
14 February 2009
Feast 3 : Happy Finish (2009)
Ini adalah rentetan Feast 2 : Sloppy Seconds (2008) tahun sudah. Bagaimanapun, Feast 3 lebih baik berbanding sekuelnya malah punya kesan velositi sebaik Feast (2005) pertama. Ia lebih seru, lebih tinggi skala gore (berbanding sekuel) malah merupakan kemuncak ketiga-tiganya.
Bagi yang belum tahu, Feast merupakan gambaran kisah “pra-akhirat” olok-olok. Apabila munculnya makhluk (beast) (sebuah metafora Dajjal ‘main-main’) yang muncul membunuh, memakan apa jua makhluk lain di atas muka bumi. Secara satira, bersadurkan komedi splatter tentang bagaimana manusia tidak lagi peduli sama sendiri (oh ada yang bertelanjang sudah) tatkala makhluk super-duper sex freakin maniac itu mengganas, membunuh malah merogol apa sahaja makhluk lain tanpa sebarang belas kasihan. Feast juga ‘menolak’ dasar formulaik protagonis, kerana filem ini hampir sekali tiada protagonis. Biasanya, satu persatu karakter baru yang diperkenalkan (ala Pulp Fiction), muncul tiba (dipertaruhkan audiens) sebagai ‘penyelamat’ (malah, ada satu karakter “Rasul” olok-olok), akhirnya kecundang, malah ada yang tidak sampai seminit pun, sepertimana watak gah, kononnya hero di awal Feast (2005).
Dalam Feast III, juga muncul dua karakter baru, kononnya hero. Nasib mereka sudah tentu sama, ironinya, yang mati tidak mati-mati (masih ingat adegan bayi dicampak? Lelaki itu masih hidup lagi meskipun sebatang besi tertosok di kepala, oh lebih melucukan lagi – dia kesal atas perbuatan membuang bayi itu, jadi bingung, sehinggakan si dawrf itu sering dianggap bayi tersebut – how funny is that?). Oleh sebab itu, kelucuan filem ini menjadi lebih terasa, lagi-lagi apabila “Life Expectancy” dipaparkan kepada setiap karakter, menjadi dasar lampoon, sebuah gaya unik splatter “anti-hollywood” oleh John Gulager.
Ya, benar. Feast 3 barangkali tidak sehebat porsi acuan pertamanya kalau hendak dinilai (kerana sudah tentu gusto finale ini, sedikit sebanyak terjejas teruk dengan nonsensical episod keduanya sebelum ini). Barangkali juga John Gulager sedia maklum berikutan reaksi negatif (significantly) diterimanya berbanding dua tahun sebelum itu. Biarpun tidak hebat, namun segalanya masih kekal ekstrim, penuh keseronokan dan segala macam kegilaan, atau orang sering kata “So Bad It’s Good”. Sebuah gambaran jenaka apokaliptik dengan pesta gore, yang (walaupun “Happy Finish”) sebetulnya masih tak punya sebarang konklusi.
12 February 2009
Otto; or, Up With Dead People (2008) : Alkisah Zombie Gay
Awal filem ini kita diperkenalkan dengan seorang watak zombie (kita tahu beliau adalah zombie apabila melihatnya bangkit keluar dari sebuah kubur). Dalam keadaan bingung (persis orang baru sedar dari lena yang panjang, hilang ingatan dan sebagainya) sang zombie yang bernama Otto ini memulakan perjalanan, melangkah tanpa arah tujuan. Dalam perjalanan penuh onak liku itu beliau dicerca, dimaki malah dipukul oleh sebilangan manusia. Akhirnya, bertemu dengan seorang wanita yang kebetulan sedang buat shooting filem gay porno berkonsep zombie, berjudul “Up With Dead People”. Menyedari bahawa Otto sangat cocok untuk dimuatkan sebagai watak dalam filem tersebut, lalu wanita itu membawanya pulang menemui para pelakon lain. Itu gambaran kisah filem ini.
Sebenarnya, filem ini membawa sebuah falsafah mudah dari tangan seorang sutradara gay (walaupun aku bukan gay, tetapi aku boleh faham) yakni golongan gay ibarat 'zombie' (simbolik mayat hidup) yang ditindas. Istilah “Dead people” itu, secara satira, merupakan satu sindiran ke atas sosial. Flesh dan Meat yang sinonim dengan zombie itu merupakan simbolik “seks” dan “naluri” harfiah, yang barangkali membawa pengertian secara kontroversi, bahawa golongan ini juga punyai hak, walaupun seringkali berada dalam krisis identiti (gambaran karakter Otto).
Ok, nanti dulu, jangan salah pengertian kerana itu sekadar falsafah yang cuba diungkap Bruce LaBruce dalam filem ini. Aku sekadar cuba membacanya sahaja (aku terima kalau ada khilaf di situ). Juga tidak bermakna aku memberi sokongan moral. Cuma, aku menyukai cara bagaimana filem ini secara bebas mendekonstruk malah meluahkan dasar thematik ini. Ia tampak berkesan (secara optimis aku katakan), khususnya menggunakan metafora zombie dalam menyampaikan mesej “hak” terhadap golongan ini. Falsafah ini, walaupun agak berbeza sama sekali dengan apa yang dibawa secara tradisi oleh George A. Romero sejak Night of The Living Dead (1968) sehinggalah ke Diary of The Dead (2007), namun berkongsi persamaan : karakter rebellious Bud dalam Day of The Dead (1985) serta Big Daddy dalam Land of The Dead (2006) (oh tidak lupa juga si Fido, sang zombie yang cukup disayangi lagi humble dalam Fido (2006)).
Oleh kerana Bruce LaBruce merupakan sutradara porno gay sebelum ini, maka aku tidak hairan (malah ‘terpaksa’ bersedia) menyaksikan segala macam paparan eksplisit lagi grafik seks dan genital, serta ultimate zombie orgy yang ekstrim di fragmen terakhir filem ini. Serius, aku tak pandang ke kaca skrin TV, aku tutup mata, sampailah scene itu selesai sudah (pheww..).
09 February 2009
Susuk (2008)
Ada satu jurang besar di antara istilah “Rip off” dengan “pengaruh” (influence/reference) apabila kita bercakap tentang filem. Rip-off, secara literal, merupakan ‘duplikasi’ langsung daripada sebuah karya, lalu diterbitkan semula (dengan intensi serta harapan audiens tidak akan tahu). Biasanya, kita akan sedar perkara ini walaupun beberapa pertukaran atau modifikasi diperbuat (biasanya karakter) tetapi mengekalkan jalan cerita yang persis dengan karya asal.
Nanti dulu. Aku tidak lemparkan tuduhan bahawa Susuk merupakan Ripoff. Karya Amir Muhammad bersama Naeim Ghalili masih asli. Cuma pendekatan tema satira terhadap artis (actress/singer ‘wannabe’, character-twist) itu sudahpun aku tonton dalam Mulholland Drive (2001) sebuah karya David Lynch. Bagaimanapun, tidak seperti Mulholland Drive Susuk tampil membawakan sebuah tema supernatural, malah plot filem itu agak jauh kalau nak kita bandingkan, lebih-lebih lagi David Lynch merupakan surrealist. Amir/Naeim pula adalah neo-realis (kalau kita ukur dari naskhah beliau sebelum ini). Tetapi semangat itu barangkali terasa kuat. Atau mungkin aku sahaja yang merasakannya. Maka, persoalan samada Susuk itu karya asli atau tidak, mungkin “pengaruh” adalah jawapannya. Dan adalah sebaiknya, Amir Muhammad perlu menyebut perkara ini (dan ia tidak ada salah sebenarnya). Sebelum itu, versi DVD yang aku peroleh semalam langsung tidak memuatkan wawancara (sekurang-kurangnya penulis skrip, kalau bukan saudara Amir atau Naeim sendiri) di segmen “Extras” yang aku harapkan. Komentar, walaupun sering di “overlook” oleh produser tempatan, sebenarnya amat penting, malah dengan adanya ini apresiasi tontonan barangkali lebih tinggi tercapai.
Ok, mungkin Amir/Naeim lebih suka menyerahkan komentar itu bermain-main di kalangan khalayak sendiri (dan ini merupakan satu kegilaan pembikin filem, apabila ‘mendengar’ bermacam jenis keluhan mahupun interpretasi audiens terhadap tontonan mereka). Ini ibarat satu ‘perjudian’, sudah tentu mereka ekstatik mendengar respon tipikal audiens termasuk pengulas/pengkritik (oh sudah pasti ada yang ‘bias’, ada yang jujur), maksudnya mudah – kau ‘dapat’, dapatlah. Kalau tak, (lantaklah kau) kau boleh tonton semula (kalau kau neurotik). Cari alasan klise - lihat lapisan kedua, ketiga, keempat dan seterusnya. Ini biasa dalam filem surrealisme - Mullholand Drive aku tonton tiga kali (dan ini tak ada kena mengena dengan lesbian-scene ok?) dua kali secara konsekutif dan sekali lagi dalam tempoh waktu lama selepas itu untuk faham keseluruhannya. Begitu juga dengan Lost Highway (1997) dan yang terbaru Inland Empire (2006) (juga tentang aktres) oleh Lynch. Untuk Susuk, sekali sudah memadai.
Percubaan Amir/Naeim menyuntik elemen surrealisme ke dalam Susuk agak exaggerate atau mudahnya terlebih-lebih. Ia lebih molek kalau digarap secara subtle. Dalam filem surreal, subtle adalah kunci. Amplifikasi keterlaluan boleh membunuh. Dan ini yang terjadi dalam Susuk. Ya, barangkali karakter Dewa Dewangga (ironinya persis karakter “Cowboy” dalam Mulholland Dr.) yang paling memberi perhatian dalam konteks surrealisme yang hendak dibangkitkan Amir/Naeim, namun ia jauh dari kesederhanaan (aku merujuk kepada ritual di finale). Segalanya masih up-front apabila kita sedar akan jukstaposisi watak Dewa itu memberi ‘hukuman’ terhadap dosa si pemakai susuk. Itu sebuah moral tradisi. Justifikasi sosial ini walaupun digarap dengan penuh stailistik, sebenarnya sudah lama established dalam filem Melayu (rujuk Sumpah Orang Minyak). Maka Susuk masih tidak nampak ‘segar’ (selain kedaringan Aleeza Kasim dan Sofea Jane).
Dari aspek horror, walaupun ada “pengaruh” giallo Dario Argento – rujuk Tenebre (1982), serta seram-ekspresionisme dalam Suspiria (1977) – di sini, percubaan Amir menggunakan teknik sinematografi membangkitkan ekspresionisme aku rasa tidak cukup berjaya, meskipun aku bangga akan endeavor ini, kerana hampir tidak pernah ada filmmaker tempatan memberi homej besar terhadap pengarah horor paling influential ini. Ini membuatkan Susuk gagal dalam keseluruhan terma horror/seram.
Itu sahaja yang boleh aku sentuh. Tentang lakonan dan yang lain-lain itu sudah banyak orang bercerita. Ya, aku tahu, aku sudah terlewat setahun untuk menontonnya.
08 February 2009
Grudge 3 (2009) : Si Putih Itu Merangkak Datang Kembali
Pertamanya, aku memberi perhatian besar terhadap filem ini ialah kerana nama Toby Wilkins, yang sebelum ini merupakan sutradara Splinter (2008) – sebuah filem antara 10 kesukaan (horror) aku tahun 2008. (Ini tidak termasuk nama Sam Raimi dikredit sebagai produser).
Keduanya, aku harus akui di sini bahawa versi remake Grudge 1 (2004) dan Grudge 2 (2006) langsung tidak pernah aku tonton sebelum ini (kenapa aku harus sedangkan ia masih di tangan Takeshi Shimizu, dan masih mengekalkan plot asal?). Ya, sudah tentu versi original Ju-On (2003) dan sekuelnya adalah antara filem horor “breakthrough” Asia, malahan, selain Ringu (1998), Ju-On menjadi filem paling influential untuk genre seram Asia Tenggara. Banyak filem seram Malaysia yang cuba meraih populariti, manipulasi keseraman karakter Kayako untuk filem mereka tanpa sebarang substansi.
Menerusi Ju-On (2003), barangkali kita sudahpun kenal akan karakter Kayako Saeki ini – yang dibunuh setelah dipatah-patahkan tulangnya (satu signifikan kenapa beliau tidak boleh berdiri lurus, merangkak dengan gaya unik, tangan meliuk-lentuk, seraya bunyi simbolik orang dicekik – turut dipatahkan leher - sambil sering diperhatikan spirit anaknya Toshio) lalu disumbat ke dalam karung plastik – terbiar di atas siling rumahnya selama bertahun-tahun lamanya. Hantu wanita bertubuh putih melepak ini (simbol budaya mourning orang Jepun) sememangnya sebuah ikonik supernatural, bukan sahaja di Asia malah serantau dunia. Bukan setakat teman kita Eddvedder di’sial’kan dengan filem ini selama TIGA hari berturut-turut setelah menontonnya, malah penulis SAW - Leigh Whannell sering dihantui wanita ini dalam fikirannya (haha!).
Ok, berbalik kepada Grudge 3, sebuah versi DTV, aku sedar tidak ada sebab kukuh kenapa spirit Kayako harus berhijrah ke kota Chicago, Amerika. Dalam Ju-On, kita sedar akan tema apokaliptik yang tercetus gara-gara spirit hitam Kayako (rujuk sekuens akhir Ju-On, kota Tokyo digambarkan kosong tanpa kelibat manusia lagi). Untuk itu, plot Grudge 3 barangkali tidak masuk akal (dalam konteks kesinambungan rentetan cerita). Bagaimanapun, Toby Wilkins dilihat mencuba sedaya upaya memberi imbangan kisah itu, dengan mewujudkan sebuah lagi karakter iaitu kakak kepada Kayako. Ada sedikit sejarah hitam dua-beradik ini diimbau dalam skripnya, di samping kegilaan Takeo Saeki (suami yang juga pembunuh Kayako). Maka dari sisi plot, pada aku filem ini barangkali gagal (walaupun idea resureksi Takeo Saeki itu tampak berkesan).
Walau bagaimanapun, aku harus akui, filem ini masih dianggap berjaya dalam aspek horror. Toby Wilkins bijak dalam menggarap beberapa sekuens ngeri (oh ini adalah versi paling gore Kayako kalau kau nak tahu). Serius, ada beberapa babak jump-scares yang sangat efektif di dekonstruk. Filem ini masih minimal kesan bunyi (sepertimana stail Takeshi Shimizu), malah cuma hanya sekali-sekala kedengaran musik latar yang cuba mengiringi keseraman. Ringkasnya, Toby Wilkins sedar kepentingan silence-horror dalam Ju-On.
Sebenarnya, Grudge 3 membuatkan aku rasa berbelah-bagi, dilema antara positif atau negatif, harus atau tidak aku suka berikutan level horrornya agak tinggi, mahupun membenci kerana tema "Asian-Americanization" tersebut.
07 February 2009
Gutterballs (2008) : Fiesta Gore
Kali terakhir aku menonton filem nasty over-the-top brutal, ‘splat’stick dan sadistik sebegini ialah filem Poultrygeist : Night of The Chicken Dead (2006) dan juga Tokyo Gore Police (2008) baru-baru ini. Bagaimanapun, Ryan Nicholson (Live Feed) barangkali lebih hebat dari Lloyd Kaufman dari aspek gore serta special effects. Ini kerana memandangkan beliau sebelum ini terlibat secara langsung dengan Make-Up department untuk beberapa filem notable (pereka prostetik, creatures dan sebagainya). Ini sepertimana juga peralihan karier oleh Yoshihiro Nishimura dari Special Effects Designer ke bidang sutradara, khusus untuk filem Tokyo Gore Police. Maka dengan pengalaman itu, sudah tentu memberi ruang advantej besar terhadap apa sahaja (gaya paparan) yang dia mahukan.
Gutterballs merupakan “B-Movie”, sebuah “gomedy” homage atau sebenarnya mengembalikan kegemilangan filem-filem eksploitasi, seksploitasi era 70an, melalui campuran gaya slasher “anti-hollywood” 80an. Filem ini (versi uncut) sebenarnya boleh diklasifikasi hardcore (apabila tiada terdapat sebarang potongan ke atas sekuens seks – ianya eksplisit serta grafik).
Secara dasarnya, Gutterballs (sepertimana produksi Troma Entertainment) dibuat hanya untuk peminat filem gore & violent semata-mata. Filem ultra-violent sebegini ada sasaran peminatnya, (malah tidak semua penggemar horror boleh terima) walaupun ada plot yang memikat, tetapi kau mungkin tak akan ambil kisah itu semua. Ada satu sekuens gang-rape (referens filem The Accused) yang walaupun pada peringkat awalnya tidaklah ketara timbul rasa seru mahupun ngeri (maksud aku kau barangkali akan ketawa), namun, shockingly, ia menjadi getir dan efektif sekali. Efek gore yang realistik menambahkan kegilaannya. Ada babak genitals dipotong, head-bashing, kepala ditembak dengan shot-gun, mata ditusuk pengaruh gaya Lucio Fulci, dan segala macam keganasan ekstravaganza ada terhidang. Twist kecil di konklusi memberi sedikit ruang buat kita sekurang-kurangnya ‘mengingati’ keseluruhan ceritanya.
Ringkasnya, “mesti tonton” untuk semua gorehounds. Sebuah fiesta sex & gore!
06 February 2009
Red Sands (2009) : Horor Hollywood Yang Sudah Lapuk
Teknologi fast-forward yang direka khas pada pemain DVD, telah dipergunakan sewajarnya aku untuk filem ini. Serius, ini semua kerana masalah kelembapan pacing, walaupun ada intensi membawa mesej bundar tentang moral, sebuah filem pos-911, anti-republikan membawa tema anti-perang (khususnya terhadap penjajahan Amerika di bumi Afghanistan), initially, tampak meyakinkan, bagaimanapun lama kelamaan menjadi siksaan harfiah terhadap segala pancaindera aku (di sini, maksud aku mata yang makin lama mengantuk, telinga sudah berdesing dengan runut bunyi klise (kununnya menakutkan sangat), termasuk pinggang sudah mula naik lenguh dek kerana lama menunggu apa benda yang menguja dalam filem ini). Filem Outpost (2008) produksi British baru-baru ini lebih meyakinkan berbanding supernatural versi DTV berjudul Red Sands ini, di tangan Alex Turner yang barangkali kau kenal melalui Dead Birds (2004) sebelum ini.
Sebenarnya, Hollywood tidak lagi mampu membikin filem tentang hantu (ghost/spirit/haunting story). Filem ini adalah contoh terbaik apabila pendekatan tema supernatural yang cuba dibangkitkan, malangnya ia menjadi kacau (atau kita bilang annoying). Lebih memalukan lagi ialah ia tidak berjaya mewujudkan atmosfera ‘ngeri’ sejati (pure adrenalin) walaupun beberapa kali percubaan menyuntik elemen jump-scares dibuat ,namun sangat tidak efektif. Malah, sebaliknya filem ini menjadi bosan-sebosannya. Maka benar sesetengah pendapat mengatakan bahawa filem seram pasca-moden Asia ternyata lebih efisi dalam konteks hantu atau supernatural. Ini barangkali berlaku sejak J-Horror mula rancak di persada global, yang menyaksikan Hollywood (selagi boleh) recycle apa yang ada. Thailand juga rapat mengekori di belakang buat masa ini (rujuk bagaimana tingginya level keseraman yang dicapai See Prang (2008) baru-baru ini, yang kabarnya bakal di remake Hollywood tidak lama lagi).
Ok, secara ringkas, kisaran ceritanya tentang sepasukan tentera Amerika yang bertugas di Afghanistan dalam misi mereka mencari dan menghapus teroris (Al-Qaeda). Paling best, tidak ada sebarang teroris yang muncul, tetapi seorang perempuan. Burka? Tidak pula. Dia tidak berbahasa inggeris (ok, itu logik), namun apa signifikan karakter perempuan itu aku pun tak tahu. Ok, sebelum itu, tentera ini ada menemui sebuah patung di awal plot, dan salah seorang dari mereka menembak pecah patung itu (konon sebuah simbolik Jin padang pasir – how funny is that?). Jadi?
Sekali lagi, aku simpulkan bahawa Hollywood tidak lagi boleh/mampu membuat filem subgenre supernatural lagi. Jelek sekali jadinya. Mereka seharusnya ‘kembali’ ke medan realisme (atau kekal) dengan konsep true-horror (ini biasa kita jumpa dalam subgenre slasher) mahupun “gorror” (gabungan istilah gore & horror) atau horror yang disadur elemen komedi menjadi “gormedy” haha!. Serius, itu lebih meyakinkan lagi menghiburkan.
03 February 2009
Changeling (2008) : "The Curious Case of Walter Collins"
Sedikit nota awal.
*Rebiu ini lebih efektif kalau kau sudahpun menonton The Curious Case of Benjamin Button (CCOBB) (sekalipun kau belum tonton lagi Changeling). Tetapi, tak apa, kerana kau tidak perlu susah payah buang masa dua jam setengah menonton CCOBB, semata-mata nak tengok Brad Pitt kembali remaja, serius.
**Angelina Jolie dan Brad Pitt adalah pasangan suami-isteri. Pak Imam kampung kau orang pun tahu pasal ini, aku percaya.
Ada beberapa keironikan tentang Changeling dan CCOBB. Pertamanya, kedua-dua buah filem ini berlatarkan konsep 1920an. Keduanya, berkisahkan tentang ‘anak’. Dan ketiganya, ialah ada babak (kedua-dua) karakter utamanya tertinggal tren. Tetapi, untuk Changeling, babak ketinggalan tren itu merupakan signifikan plotnya. Untuk CCOBB pula, babak itu tidak penting, walaupun si Benjamin terpaksa berhempas pulas berjalan kaki berbatu jauhnya balik ke rumah (gara-gara nak sangat kenal dunia luar).
Ok, itu tentang ironik. Perlu diingat, tidak ada sebarang unsur fantasi dalam Changeling. Angelina Jolie, yang membawa watak ibu tunggal tidak mengalami evolusi songsang. Begitu juga dengan anaknya. Mereka berdua normal. (**Malah, Angelina boleh sahaja mengejek Brad seraya berkata : “Kau jangan mimpi nak jadi muda remaja, realitinya kita ini semakin tua bang”.) Kisah penculikan juga satu perkara normal, baik dalam fiksi mahupun realiti. Yang tidak normalnya ialah badan kepolisan, kakitangan hospital sakit jiwa termasuk doktor psikatri, si budak yang mengaku anaknya, dan termasuklah penculik (Gordon Northcutt) anaknya itu. John Malkovich juga normal (dengan accent ikonik beliau sudah pasti).
Filem ini tentang konspirasi, korupsi dan menyentuh isu hak asasi manusia (di samping intensi pembikin untuk membuka kembali sebuah sejarah gelap Amerika). Tema itu klise, namun digarap sempurna, secara crafty di tangan sutradara auteur Clint Eastwood. Sesungguhnya (sejak Mystic River, Million Dollar Baby) beliau adalah pembikin yang tahu di mana, dan bagaimana emosi (di sini, Eastwood boleh mencipta sebuah atmosfera pilu dan sayu, secara idiosyncratic, membuatkan kita turut sama menangis bersama protagonisnya). Perkara ini dikontras baik dengan ketegangan (provokatif) melalui struktur melodramanya. Bagaimanapun, melodrama itu tidaklah meleret-leret sepertimana sebilangan besar yang ada.
Changeling juga sebenarnya menyimpan satu cita-cita tinggi menjadi sebuah filem archetypical epic (dalam subgenre kriminal) sepertimana Godfather (1972), Once Upon A Time In America (1984) dan yang terbaru American Gangster (2007) . Bagaimanapun, ia tampak tidak kesampaian walaupun segala bentuk elemen thriller masih digarap sempurna, lebih-lebih lagi di tangan Jolie (seperti aku, kau orang harus setuju, bahawa hanya Jolie yang cocok untuk wataknya). Sebelum aku lupa, Eastwood tidak lupa akan homage terhadap filem eksperimental awal dunia oleh adik beradik Lumierre – Arrival of Train at La Ciotat (1895). Ya, ada satu shot persis filem itu, yakni sewaktu Christine dipertemukan semula dengan (kononnya) anaknya, yang sudah lama hilang itu. Keseluruhan, filem ini masih aku anggap baik (malah menggunung tingginya lebih baik berbanding CCOBB yang tidak berimpak) tetapi bukanlah antara yang terbaik bikinan Eastwood.
Sebagai nota akhir, khusus buat ibu kepada adik Sharlinie yang masih hilang (jika puan terbaca tulisan ini), tiada kata lain lagi dari aku selain bersabar dan tidak ada salahnya jika “harapan” itu masih tersimpan di lubuk hati, sepertimana line akhir dalam filem ini.
01 February 2009
Hit and Run (2009) : I Dont Have to Wait for Next Summer (to Kill You), bitch!
Satu perkara positif tentang Hit and Run, ialah seolah memberi lebih kesan horror serta klaustrofobik sebenar yang kurang dalam Stuart Gordon’s Stuck (2007) disamping memberi sebuah mesej “Fuck You” besar terhadap I Know What You Did Last Summer (1997) (apabila bercakap tentang aspek true-horror, gore dan brutaliti, apatah lagi ini hanyalah sebuah filem versi DTV).
DTV (direct to video) rilis sememangnya banyak melahirkan debut pembikin baru. Dari sudut teknikal, kesan sinematografi - filem ini banyak menggunakan shot angle yang baik, hasil kerajinan editing serta penggunaan bilangan kamera yang banyak selain membangkitkan edge tontonan. Mudah kata, pembikinnya sedar akan semua kepentingan ini. Tapi mungkin itu sahaja yang baik tentangnya.
Ya, filem ini punya ide persis Stuck (tetapi hanya konsep sahaja yang diceduk), membawa sebuah gambaran moral tentang bagaimana singkatnya akal seorang (pemandu) wanita apabila berada dalam situasi kecemasan (maaf, aku bukan sexist, tetapi ada beberapa perkara yang benar-benar mencerminkan sikap wanita, tetapi bukan semua – dan kalau kau seorang wanita sekalipun, kau tidak harus merasa offended), dan yang lebih penting ialah kenapa larangan pengaruh alkohol sewaktu memandu itu patut dipatuhi. Ok, itu dari sisi moral.
Sekarang kita bicara tentang plot pula. Barangkali, kita boleh ketawa besar apabila memikirkan bagaimana seorang manusia normal (di sini, kita bukan bercerita tentang kesaktian Jason Voorhees mahupun Benjamin Willis, nelayan ‘kebal’ dalam I Know What You Did Last Summer (1997)) yang telahpun dilanggar, terlekat di bumper kereta dengan berlumuran darah (maksud aku cedera parah), seterusnya ditanam hidup-hidup, akhirnya boleh bangkit menuntut bela. Benar, secara fizikalnya, beliau masih tidak sempurna – itu suatu yang baik, tetapi, oh.. come on man, are you serious?
Sebetulnya aku menjangkakan sebuah twist besar akan berlaku dalam struktur ceritanya (sekurang-kurangnya di penutupnya). Tetapi malangnya tidak pula ada (spoiler? maaf, aku tidak tahu bagaimana cara terbaik untuk bangkitkan perkara ini). Malah, filem ini sebenarnya MAMPU menjadi antara filem horror yang sangat baik lagi efektif jika wujud akan putaran plot tersebut. Ketiadaan ini mengakibatkan ianya ‘tercampak’ jauh dari jangkauan logikal minda. Ya, aku benci bila orang mengeluh akan ketidaklogikan elemen dalam filem horror. Tetapi untuk filem ini, aku terpaksa angguk seraya bersetuju, walaupun rata-rata pasti membicarakan tentang sekuens penutupnya, yang sudah pasti original, yang juga barangkali sedikit-sebanyak menutup segala flaws dalam skripnya
Ya, aku tahu, kau tak perlu tanya. Sutradara veteran Stuart Gordon sudah tentu lebih hebat, malah Stuck lebih baik kalau dibandingkan. Tetapi, seperti yang aku katakan awal tadi, ada beberapa perkara cantik di dalam Hit and Run, yang tidak ada dalam Stuck, lebih-lebih lagi ini filem debut sutradara baru Enda McCallion. Jadi, mahu atau tak, aku maafkan juga, kerana aku percaya naskhah beliau seterusnya pasti jauh lebih baik dari yang ini.
Subscribe to:
Posts (Atom)