12 February 2009

Otto; or, Up With Dead People (2008) : Alkisah Zombie Gay




Awal filem ini kita diperkenalkan dengan seorang watak zombie (kita tahu beliau adalah zombie apabila melihatnya bangkit keluar dari sebuah kubur). Dalam keadaan bingung (persis orang baru sedar dari lena yang panjang, hilang ingatan dan sebagainya) sang zombie yang bernama Otto ini memulakan perjalanan, melangkah tanpa arah tujuan. Dalam perjalanan penuh onak liku itu beliau dicerca, dimaki malah dipukul oleh sebilangan manusia. Akhirnya, bertemu dengan seorang wanita yang kebetulan sedang buat shooting filem gay porno berkonsep zombie, berjudul “Up With Dead People”. Menyedari bahawa Otto sangat cocok untuk dimuatkan sebagai watak dalam filem tersebut, lalu wanita itu membawanya pulang menemui para pelakon lain. Itu gambaran kisah filem ini.

Sebenarnya, filem ini membawa sebuah falsafah mudah dari tangan seorang sutradara gay (walaupun aku bukan gay, tetapi aku boleh faham) yakni golongan gay ibarat 'zombie' (simbolik mayat hidup) yang ditindas. Istilah “Dead people” itu, secara satira, merupakan satu sindiran ke atas sosial. Flesh dan Meat yang sinonim dengan zombie itu merupakan simbolik “seks” dan “naluri” harfiah, yang barangkali membawa pengertian secara kontroversi, bahawa golongan ini juga punyai hak, walaupun seringkali berada dalam krisis identiti (gambaran karakter Otto).

Ok, nanti dulu, jangan salah pengertian kerana itu sekadar falsafah yang cuba diungkap Bruce LaBruce dalam filem ini. Aku sekadar cuba membacanya sahaja (aku terima kalau ada khilaf di situ). Juga tidak bermakna aku memberi sokongan moral. Cuma, aku menyukai cara bagaimana filem ini secara bebas mendekonstruk malah meluahkan dasar thematik ini. Ia tampak berkesan (secara optimis aku katakan), khususnya menggunakan metafora zombie dalam menyampaikan mesej “hak” terhadap golongan ini. Falsafah ini, walaupun agak berbeza sama sekali dengan apa yang dibawa secara tradisi oleh George A. Romero sejak Night of The Living Dead (1968) sehinggalah ke Diary of The Dead (2007), namun berkongsi persamaan : karakter rebellious Bud dalam Day of The Dead (1985) serta Big Daddy dalam Land of The Dead (2006) (oh tidak lupa juga si Fido, sang zombie yang cukup disayangi lagi humble dalam Fido (2006)).

Oleh kerana Bruce LaBruce merupakan sutradara porno gay sebelum ini, maka aku tidak hairan (malah ‘terpaksa’ bersedia) menyaksikan segala macam paparan eksplisit lagi grafik seks dan genital, serta ultimate zombie orgy yang ekstrim di fragmen terakhir filem ini. Serius, aku tak pandang ke kaca skrin TV, aku tutup mata, sampailah scene itu selesai sudah (pheww..).

No comments: