09 February 2009

Susuk (2008)




Ada satu jurang besar di antara istilah “Rip off” dengan “pengaruh” (influence/reference) apabila kita bercakap tentang filem. Rip-off, secara literal, merupakan ‘duplikasi’ langsung daripada sebuah karya, lalu diterbitkan semula (dengan intensi serta harapan audiens tidak akan tahu). Biasanya, kita akan sedar perkara ini walaupun beberapa pertukaran atau modifikasi diperbuat (biasanya karakter) tetapi mengekalkan jalan cerita yang persis dengan karya asal.

Nanti dulu. Aku tidak lemparkan tuduhan bahawa Susuk merupakan Ripoff. Karya Amir Muhammad bersama Naeim Ghalili masih asli. Cuma pendekatan tema satira terhadap artis (actress/singer ‘wannabe’, character-twist) itu sudahpun aku tonton dalam Mulholland Drive (2001) sebuah karya David Lynch. Bagaimanapun, tidak seperti Mulholland Drive Susuk tampil membawakan sebuah tema supernatural, malah plot filem itu agak jauh kalau nak kita bandingkan, lebih-lebih lagi David Lynch merupakan surrealist. Amir/Naeim pula adalah neo-realis (kalau kita ukur dari naskhah beliau sebelum ini). Tetapi semangat itu barangkali terasa kuat. Atau mungkin aku sahaja yang merasakannya. Maka, persoalan samada Susuk itu karya asli atau tidak, mungkin “pengaruh” adalah jawapannya. Dan adalah sebaiknya, Amir Muhammad perlu menyebut perkara ini (dan ia tidak ada salah sebenarnya). Sebelum itu, versi DVD yang aku peroleh semalam langsung tidak memuatkan wawancara (sekurang-kurangnya penulis skrip, kalau bukan saudara Amir atau Naeim sendiri) di segmen “Extras” yang aku harapkan. Komentar, walaupun sering di “overlook” oleh produser tempatan, sebenarnya amat penting, malah dengan adanya ini apresiasi tontonan barangkali lebih tinggi tercapai.

Ok, mungkin Amir/Naeim lebih suka menyerahkan komentar itu bermain-main di kalangan khalayak sendiri (dan ini merupakan satu kegilaan pembikin filem, apabila ‘mendengar’ bermacam jenis keluhan mahupun interpretasi audiens terhadap tontonan mereka). Ini ibarat satu ‘perjudian’, sudah tentu mereka ekstatik mendengar respon tipikal audiens termasuk pengulas/pengkritik (oh sudah pasti ada yang ‘bias’, ada yang jujur), maksudnya mudah – kau ‘dapat’, dapatlah. Kalau tak, (lantaklah kau) kau boleh tonton semula (kalau kau neurotik). Cari alasan klise - lihat lapisan kedua, ketiga, keempat dan seterusnya. Ini biasa dalam filem surrealisme - Mullholand Drive aku tonton tiga kali (dan ini tak ada kena mengena dengan lesbian-scene ok?) dua kali secara konsekutif dan sekali lagi dalam tempoh waktu lama selepas itu untuk faham keseluruhannya. Begitu juga dengan Lost Highway (1997) dan yang terbaru Inland Empire (2006) (juga tentang aktres) oleh Lynch. Untuk Susuk, sekali sudah memadai.

Percubaan Amir/Naeim menyuntik elemen surrealisme ke dalam Susuk agak exaggerate atau mudahnya terlebih-lebih. Ia lebih molek kalau digarap secara subtle. Dalam filem surreal, subtle adalah kunci. Amplifikasi keterlaluan boleh membunuh. Dan ini yang terjadi dalam Susuk. Ya, barangkali karakter Dewa Dewangga (ironinya persis karakter “Cowboy” dalam Mulholland Dr.) yang paling memberi perhatian dalam konteks surrealisme yang hendak dibangkitkan Amir/Naeim, namun ia jauh dari kesederhanaan (aku merujuk kepada ritual di finale). Segalanya masih up-front apabila kita sedar akan jukstaposisi watak Dewa itu memberi ‘hukuman’ terhadap dosa si pemakai susuk. Itu sebuah moral tradisi. Justifikasi sosial ini walaupun digarap dengan penuh stailistik, sebenarnya sudah lama established dalam filem Melayu (rujuk Sumpah Orang Minyak). Maka Susuk masih tidak nampak ‘segar’ (selain kedaringan Aleeza Kasim dan Sofea Jane).

Dari aspek horror, walaupun ada “pengaruh” giallo Dario Argento – rujuk Tenebre (1982), serta seram-ekspresionisme dalam Suspiria (1977) – di sini, percubaan Amir menggunakan teknik sinematografi membangkitkan ekspresionisme aku rasa tidak cukup berjaya, meskipun aku bangga akan endeavor ini, kerana hampir tidak pernah ada filmmaker tempatan memberi homej besar terhadap pengarah horor paling influential ini. Ini membuatkan Susuk gagal dalam keseluruhan terma horror/seram.

Itu sahaja yang boleh aku sentuh. Tentang lakonan dan yang lain-lain itu sudah banyak orang bercerita. Ya, aku tahu, aku sudah terlewat setahun untuk menontonnya.

No comments: