Pertamanya, aku memberi perhatian besar terhadap filem ini ialah kerana nama Toby Wilkins, yang sebelum ini merupakan sutradara Splinter (2008) – sebuah filem antara 10 kesukaan (horror) aku tahun 2008. (Ini tidak termasuk nama Sam Raimi dikredit sebagai produser).
Keduanya, aku harus akui di sini bahawa versi remake Grudge 1 (2004) dan Grudge 2 (2006) langsung tidak pernah aku tonton sebelum ini (kenapa aku harus sedangkan ia masih di tangan Takeshi Shimizu, dan masih mengekalkan plot asal?). Ya, sudah tentu versi original Ju-On (2003) dan sekuelnya adalah antara filem horor “breakthrough” Asia, malahan, selain Ringu (1998), Ju-On menjadi filem paling influential untuk genre seram Asia Tenggara. Banyak filem seram Malaysia yang cuba meraih populariti, manipulasi keseraman karakter Kayako untuk filem mereka tanpa sebarang substansi.
Menerusi Ju-On (2003), barangkali kita sudahpun kenal akan karakter Kayako Saeki ini – yang dibunuh setelah dipatah-patahkan tulangnya (satu signifikan kenapa beliau tidak boleh berdiri lurus, merangkak dengan gaya unik, tangan meliuk-lentuk, seraya bunyi simbolik orang dicekik – turut dipatahkan leher - sambil sering diperhatikan spirit anaknya Toshio) lalu disumbat ke dalam karung plastik – terbiar di atas siling rumahnya selama bertahun-tahun lamanya. Hantu wanita bertubuh putih melepak ini (simbol budaya mourning orang Jepun) sememangnya sebuah ikonik supernatural, bukan sahaja di Asia malah serantau dunia. Bukan setakat teman kita Eddvedder di’sial’kan dengan filem ini selama TIGA hari berturut-turut setelah menontonnya, malah penulis SAW - Leigh Whannell sering dihantui wanita ini dalam fikirannya (haha!).
Ok, berbalik kepada Grudge 3, sebuah versi DTV, aku sedar tidak ada sebab kukuh kenapa spirit Kayako harus berhijrah ke kota Chicago, Amerika. Dalam Ju-On, kita sedar akan tema apokaliptik yang tercetus gara-gara spirit hitam Kayako (rujuk sekuens akhir Ju-On, kota Tokyo digambarkan kosong tanpa kelibat manusia lagi). Untuk itu, plot Grudge 3 barangkali tidak masuk akal (dalam konteks kesinambungan rentetan cerita). Bagaimanapun, Toby Wilkins dilihat mencuba sedaya upaya memberi imbangan kisah itu, dengan mewujudkan sebuah lagi karakter iaitu kakak kepada Kayako. Ada sedikit sejarah hitam dua-beradik ini diimbau dalam skripnya, di samping kegilaan Takeo Saeki (suami yang juga pembunuh Kayako). Maka dari sisi plot, pada aku filem ini barangkali gagal (walaupun idea resureksi Takeo Saeki itu tampak berkesan).
Walau bagaimanapun, aku harus akui, filem ini masih dianggap berjaya dalam aspek horror. Toby Wilkins bijak dalam menggarap beberapa sekuens ngeri (oh ini adalah versi paling gore Kayako kalau kau nak tahu). Serius, ada beberapa babak jump-scares yang sangat efektif di dekonstruk. Filem ini masih minimal kesan bunyi (sepertimana stail Takeshi Shimizu), malah cuma hanya sekali-sekala kedengaran musik latar yang cuba mengiringi keseraman. Ringkasnya, Toby Wilkins sedar kepentingan silence-horror dalam Ju-On.
Sebenarnya, Grudge 3 membuatkan aku rasa berbelah-bagi, dilema antara positif atau negatif, harus atau tidak aku suka berikutan level horrornya agak tinggi, mahupun membenci kerana tema "Asian-Americanization" tersebut.
No comments:
Post a Comment