08 November 2008

Splinter (2008) – Homej filem-filem "creature" 80an



Nota awal (yang agak panjang) : Minggu sudah, di laman Facebook, aku ada buka satu Group : Saya Suka Filem Seram. Terima kasih aku ucapkan kepada semua yang (sudi) masuk serta, walaupun aku percaya masih ramai yang tak faham sepenuhnya akan takrif "Filem Seram" itu. Serius, ramai yang selalu melabel (atau sebenarnya menghukum) filem seram itu sebagai filem hantu, mistik dan sebagainya. Itu takrif sempit.

Dalam kata sifat bahasa Melayu, seram itu sinonim kepada dahsyat, fobia, gerun, ngeri, remang, takut. Manakala "Filem Seram" atau genre seram itu (yang dipetik dari Wikipedia) membawa maksud "...filem/fiksi yang dicipta khas untuk mencungkil perasaan seram, jijik atau ketakutan daripada penonton. Dalam plot filem seram, semangat-semangat jahat, kejadian ngeri, ataupun wataknya sendiri yang bersifat jahat, merupakan elemen kebiasaan dalam dunianya".

Jadi, jangan anggap judul grup Saya Suka Filem Seram itu hanya terhad kepada filem hantu yang seram. Percayalah, sekalipun kalau kucing kesayangan anda dibunuh kejam oleh anjing gila dibelakang rumah, lalu anda mengambil kamera dan merakamkan berapa shot, sambil mendekonstruk sedikit runut bunyi (seram atau melankolik), maka anda sudahpun membikin sebuah filem (video) seram (yang beremosi barangkali). Ia semudah itu tanpa perlu memasukkan satu babak kucing anda hidup kembali.

(Sebenarnya aku juga tak gemar dengan nama "filem seram" itu, sebab tak dapat aku bayangkan kalau aku tiba-tiba bertanya pada kawan aku : “Kau tengok filem seram tak?” Betul skema dan hodoh sekali bunyinya. Aku lebih senang menggunakan "Horror", secara vivid mahupun figuratif).

Ok, berbalik kepada topik asal : Untuk kategori filem "creature" paling horror & kool tahun ini, Splinter adalah pemenangnya.

Sebenarnya, filem ini memberi sebuah makna atau terma baru subgenre "horror-creature". Walaupun premis filem ini agak kecil, kadang-kadang feel B-Movie itu ada, tapi serius, kau tak akan terasa itu semua. Sedikit ketara (oleh sebab minimal bajetnya), tetapi plot filem ini sangat bagus, segar & original dan punya pace yang pantas kerana pembikinnya tak mahu buang masa dengan apa jua leretan, cecehan yang tak perlu dalam filem horror sebegini.

Toby Wilkins tahu bagaimana membentuk tension audiens tanpa eksagerasi. Maka segalanya tampak menjadi, realistik oleh kerana fokus karakter melalui interaksi humanisme dalam watak-watak patetik di dalamnya.

Seronok, apabila filem ini memberi homej besar terhadap John Carpenter filem The Thing (1982), seekor binatang membunuh manusia (kebarangkalian besar anjing) dipembukaannya. Juga homej Oliver Stone untuk filem The Hand (1981) (genre horror merupakan penglibatan awal Oliver Stone dalam dunia filem, seperti juga Sam Raimi, Peter Jackson, James Cameron (Piranha 2 : Flying Killers (1981)) dan lain-lain), juga referens filem The Mist (2007) (sekumpulan manusia terperangkap di kedai) sambil meneruskan tema filem creature yang dibawa Slither (2006), lalu diadun menjadi sebuah subgenre monster/creature villain baru yang paling getir, (memetik kembali definisi filem seram di atas) : "jijik dan mencungkil perasaan seram", untuk tahun 2008 ini. (Oh dan tanpa sebarang hantu).

No comments: