04 November 2008

Let The Right One In (2008) - Filem Vampir tentang Kasih



Ini adalah versi 30 Days of Night yang lebih poignan serta moving. Dan ia adalah tontonan horror terbaik aku setakat tahun ini.

Filem ini bergerak dalam struktur linear (gaya naratif klasik yang TAK berlapis-lapis dan berulang-alik, yang menjadi trend pembikin sekarang). Kisahnya mudah, merangkum 3 karakter, iaitu tentang pengorbanan seorang bapa yang terpaksa menjadi pembunuh, oleh kerana tabiat luarbiasa anaknya yang masih kecil - Eli yang melankoli, solitari dan misteri kerana sukakan darah – (ya, beliau makhluk Vampir (vampire) – dari mana usulnya tidak penting), serta kisah hubungan Eli itu sendiri dengan Oskar, boy-next-door yang ironisnya, juga melankoli kerana sering dibuli di sekolah.

Ketiga-tiga karakter ini didekonstruk Tomas Alfredson (dari adaptasi novel John Ajvide Lindqvist), dengan begitu sempurna sekali. Ia berjaya membentuk segala apa yang aku mahukan dalam sebuah tema horror-bittersweet, kasih sayang, dijukstaposisikan dengan darah, keganasan (gorifikasi filem ini agak tinggi) dan imortaliti (mengingatkan langsung aku akan filem Cronos suatu masa dahulu garapan Guillermo Del Toro).

Filem produksi negara Sweden (yang terbaik bagi aku setakat ini) juga menyentuh dengan terbuka tentang cinta pertama (first love), mengimbau zaman cinta monyet para audiens, bagaimana ruang sentimental itu sangat hidup, dan pembikinnya amat menitikberatkan simmetri serta ekuilibrium (memberi imbangan baik terhadap jukstaposisi yang aku sebutkan tadi) menjadikan sebuah filem vampire yang ‘segar’ (refreshing), beremosi lantas menyilau kembali ‘cahaya’ kesuraman subgenre ini semenjak garapan Francis Ford Copolla dalam Dracula (1992) termasuk Pan's Labyrinth (2006) dua tahun sudah.

Serius, ia sebuah filem horror bertaraf Oscar. Dan aku sama sekali tidak hairan (jika ianya tercalon) kerana filem ini sudahpun menggondol hampir kesemua anugerah dari pencalonan beberapa Festival Filem (besar) antarabangsa tahun ini.

Untuk peminat horror yang sentimental, ini adalah juadah (darah) kau orang.

No comments: