
Oleh Mahhass
Sebenarnya aku sendiri tak tahu bagaimana untuk mulakan. Boleh sahaja aku cerita tentang pengarahnya terlebih dahulu, tentang struktur plotnya, tentang fairy-tales serta magiknya, tentang realisme, tentang melodramanya, tentang ketahyulannya, tentang horror serta keganasan ekstremnya, tentang politiknya, tentang fasisme, tentang kepercayaannya, tentang keunikannya, tentang emosinya, tentang kasih sayang, tentang sinematografinya, tentang jukstaposisinya, tentang moralnya, tentang interpretasi serta falsafahnya, tentang pencalonannya di Oscar 2007, pendek kata macam-macam boleh aku mulakan.
Baiklah, oleh sebab persepsi utama aku ialah horror, menonton filem ini dari sudut horror juga sebagai peminat horror, maka aku mulakan sedikit sebanyak tentang horror.
'Horror-expectation' barangkali terlalu tinggi aku pertaruhkan, kerana aku sedar filem ini diklasifikasikan "R" (atau MA15++ di Australia - versi tontonan aku). Di Malaysia pula ia berstatus "Banned". Khabarnya, diberi alasan mudah - terlalu "violence".

Sememangnya, seperti yang diakui Guillermo Del Toro sendiri, ia sebuah "kisah pari-pari" untuk tontonan dewasa sahaja, berikutan subtemanya ialah politik (fasisme serta Perang Sivil), serta beberapa elemen keganasan yang diserapkan. Beliau juga berpesan agar tidak membawa anak-anak sekali untuk menonton filemnya, kerana khuatir, ibu bapa akan jenuhlah untuk menerangkan satu persatu. Tambahan lagi, filem ini berbahasa Spanish. Dikhuatiri mengganggu audiens. Lagipun, tiada sebarang fantasi yang indah-indah, kerana yang ada cuma kegelapan (darkness), - mungkin makhluk-makhluk atau monster itu semua bisa memberikan keseronokan kanak-kanak. Tetapi ia dibikin bukan untuk golongan itu, tidak seperti Wizard of Oz, malah jauh sekali Narnia, Big Fish, Peter Pan serta episod Harry Potter.

Perjalanan plotnya terbahagi dua, iaitu naratif kisah magis fantasi Efolia bersama Pan, makhluk gothic bertanduk berupa kambing yang fasih bertutur, dan kisah realiti getir Perang Sivil di Madrid sekitar 1944. Kedua-duanya bergerak seiringan, berselang-seli, walaupun agak mendatar pada setengah jam pertama, namun atas nama pembentukan watak, aku relakan walaupun kebosanan, kegelisahan amat ketara aku rasai. Aku cuba bertahan dan ironinya aku berjaya.

Akhir sekali yang aku boleh ceritakan (aku gali trivia dari sumber imdb), sewaktu di Festival Filem Cannes, sejurus selepas tayangannya, filem ini mendapat tepukan gemuruh serta “standing ovation” selama 22 minit. Hampir setengah jam lamanya - kalau akulah pembikin filem ini dan turut sama disaat itu, sudah pastinya aku menangis keterharuan. Dan mungkin akan menangis lagi apabila terkenangkannya.
No comments:
Post a Comment