Oleh Mahhass
Malaysia dilihat masih kekurangan filem-filem berunsur satira khususnya politik. Namun, sedar atau tidak, filem satira sosial (khususnya ditujukan kaum Melayu) sudahpun banyak dibikin pengarah tempatan, contoh terdekat ialah karya provocateur Yasmin Ahmad (lihat Rabun dan Sepet; bagaimana Yasmin dikecam oleh sesetengah pihak, kononnya memalukan orang melayu yang terkenal dengan seribu peradaban). Itupun menjadi topik hangat diperbualkan, sehingga dibincangkan ke parlimen.
U-Wei Haji Shaari juga salah seorang perintis filem sosial yang juga menyatira, mendedahkan sosialisme 'darkside' orang melayu (lazimnya dari sudut seksual). Barangkali pembikin yang paling berani ialah Amir Muhammad yang (mungkin secara halus) menyentuh isu-isu serta kebobrokan politik Malaysia, yang juga bertemakan provokatif. Kesudahannya, filem-filem beliau hanya boleh dipasarkan di luar Negara sahaja, tidak di negeri sendiri. Itu sesuatu yang amat menakutkan lagi memalukan.
Sebenarnya, atas nama demokrasi, tiada apa yang perlu 'mereka' khuatirkan, kerana segala bentuk fiksyen masih dilihat atau dinilai sebagai fiksyen, dan biasanya tidak akan wujud 'kaitan' antara yang hidup atau yang mati dalam sesebuah filem. Lainlah kalau membikin dokumentari (yang mana kita, setidak-tidaknya perlu merujuk kepada sesuatu – tempat, orang, tarikh misalnya, juga bahan rujukan itu mestilah dikreditkan). Justeru jika 'penyakit' ini berterusan, filem tidak akan dapat berperanan sebagai medium pemberi kesedaran, pencetus atau penggerak minda, kalau tidak boleh didefinasikan sebagai 'mendidik' sekalipun.
Kesimpulannya, badan penapisan filem Malaysia (yang sudah tentu dikawal kerajaan) perlukan rawatan terapi. Ya, kesemua mereka yang terlibat bermula dari pucuk pimpinan. Mereka harus membuka minda, lihat dunia luar seluas-luasnya. Tidak perlu gusar dengan pendedahan mahupun sindiran jika kalian fikir kalian benar (siapa yang termakan cili?). Kenapa apabila bercakap tentang (filem) sesuatu badan penguatkuasa (filem kepolisan adalah contoh terbaik) asyik digambarkan sebagai sangat 'putih' wataknya (tidak langsung dikelabukan; rujuk Gerak Khas), tidak jelek dari segala elemen korupsi ataupun jenayah?
(Sila rujuk bagaimana getirnya garapan Training Day lakonan Denzel Washington – kisah polis korup - ironinya, sifat dekonstruktif watak itu masih dilihat dalam konteks individu, tidak pula menjejaskan reputasi polis secara keseluruhannya.)
Juga menjadi satu kesensitivitian apabila bercakap tentang isu moral atau korupsi pemimpin politik. Kisah yang banyak dipaparkan (dalam drama swasta "B-Drama" khususnya) ialah kisah datuk-datuk kaya yang 'gatal', kaki perempuan, cinta serta konflik keluarga, pecah amanah syarikat dan sebagainya. Itu semua eskapisme, klise, stereotaip atau apa sahaja. Lihat bagaimana (parti) demokrat Amerika (yang bencikan peperangan) menghentam pemimpin republikan melalui filem-filem, setelah suatu ketika dahulu, republikan banyak memonopoli filem-filem perang khususnya di era Perang Vietnam (episod Rambo lakonan Sly, Commando lakonan Arnold Shwarzenegger juga Missing In Action lakonan Chuck Norris, Black Hawk Down).
Bagaimana propaganda Amerika tampak sangat berkesan, sehingga aku sewaktu kecil dahulu menyanjung hero-hero Amerika, mengumpul askar-askar serta senjata mainan, melabelkan segala musuh Amerika sebagai musuh-musuh jahat. Tidak mustahil jika idealisme pos-9/11 - "teroris = orang berjubah/berjanggut/berserban/orang arab" itu juga diserapkan ke golongan kanak-kanak tatkala ini.
Tetapi (semua propaganda) dilihat agak sukar kini, berikutan sudah banyak filem (demokrat) yang menepis dakwaan atau idealisme tersebut, setidak-tidaknya beberapa sekuens dalam filem yang dilihat mengutuk dasar peperangan, termasuk situasi pos-9/11 (rujuk filem Inside Man – babak seorang Singh diperlakukan seolah-olah pengganas arab kerana (persepsi) memakai turban seperti yang dipakai orang arab; filem Flightplan di mana 2 penumpang arab dimaki hamun malah dituduh penumpang lain menculik budak yang hilang; filem Kingdom of Heaven; dokufilem Fahrenheit 9/11 yang mengutuk dasar George W. Bush dan banyak lagi). Lantaran mewujudkan kesan politik yang agak seimbang (check & balance).
Itu semua merupakan satu usaha atau barangkali boleh ditakrifkan sebagai 'kempen politik' (secara literal) namun objektif kesedaran itu masih boleh dianggap sukses, kerana filem-filem tersebut bersifat "turning-point", kritis, memberi pendedahan dan menyedarkan. Malangnya, itu semua belum lagi wujud dalam industri filem tempatan malah seperti TIDAK akan wujud sampai bila-bila.
Kredit foto : www.filemkita.com
No comments:
Post a Comment