12 November 2008

Eden Lake (2008) - Bukan Kisah Buaya ataupun Raksasa



Kalau tak kerana rebiu positif Fangoria, filem ini aku tak ambil peduli langsung berikutan sangsi yang menyelubungi kerana kejelekkan judulnya "Eden Lake" – bunyinya seakan rip-off "Crystal Lake" dalam Friday The 13th bukan? (tambahan lagi rasa kesal aku kerana kebodohan filem Return to Sleepaway Camp yang aku tonton baru-baru ini).

Tidak. Aku salah. Filem (produksi British) ini agak mengejutkan sekaligus tidak menghampakan langsung buat aku, dan aku percaya buat kau orang juga sebagai penggila (sebetulnya tidak gila) subgenre torture slasher-porno di luar sana. Serius, ia bagus dari sudut intensiti, brutalifikasi, sinematografi yang beremosi, skrip yang solid serta struktur perjalanan plotnya (pacing) yang edgy dan paling gempak ialah di konklusinya yang tidak pernah sama sekali kau tonton gaya sebegitu di’sudah’kan (walaupun tidak 'mudah') dalam filem slasher – serius, ia buat aku tergamam seketika.

Justeru tak hairanlah kenapa Fangoria menjulangnya tinggi-tinggi. Cuma barangkali ada beberapa idea yang dicedok lalu dikitar semula James Watkins (mamat ini dalam pos-produksi The Descent 2) dari beberapa filem sebelum ini (rujuk Wilderness, Broken, paling ketara ialah Frontiers) tapi tetap aku tidak ada masalah dengan itu semua asal filem ini tidak mencedok membabi-buta atau suka-suka dia.

Mesej sosial itu ada apabila filem ini menyindir secara terbuka akan kelalaian ibu bapa dalam mendidik anak serta membangkitkan isu bagaimana justifikasi sosial ditangani terhadap remaja bermasalah. Watkins tampak sedar akan batasan itu dan malahan menggunakan sebaiknya segala elemen yang ada secara semulajadi (maka ia berhasil dalam membentuk ketegangan asli untuk edge-on-the-seat survival-horror).

Untuk konklusi, aku tak mahu sentuh banyak kerana petikan quote dari Fangoria itu sudah cukup sesuai sebagai gestikulasi aku untuk kau orang mencubanya. Oh dan jangan harapkan apa-apa kerana ia ‘keluar’ dari hukum-hakam filem-filem konvensi slasher. (Maksudnya konklusi ‘buruk’ sekaligus menjadikan ia bagus... dapat?)

No comments: