16 November 2008

Lagi Tiga Filem

Okay, aku baru lepas habis marathon sembilan (9) buah filem berturut-turut tadi. Ya, sudah tentu aku penat. Tambah penat lagi bila aku tak tahu apa dan macamana nak aku tulis. Mana yang patut aku tulis dulu, mana yang boleh ditangguhkan atau barangkali yang boleh aku lupakan saja.

TAK, sebenarnya aku MAIN-MAIN. Sesekali-dua berseloroh. Aku belum hilang akal lagi untuk marathon filem sampai banyak itu sekaligus. Maksimum kederat aku barangkali 3 buah filem sahaja. Tapi aku tahu kau orang percaya jugak kalau aku sungguh-sungguh sekalipun.

Ok, kita lupakan semua karutan itu. Aku mulakan dengan filem pertama yang lebih mainstream sifatnya.

Untraceable (2008)



Dengan berbekalkan sedikit informasi dari imdb, aku menonton filem ini. Semuanya gara-gara Diane Lane. Aku suka wanita ini sejak aku tonton Unfaithful. Dia cemerlang dalam filem itu. Hangat, lebih-lebih lagi menjadi isteri curang. Untuk filem ini, tidak. Dia biasa saja. Mungkin kerana status janda FBI yang dibawanya – tiada intimasi atau seksual tense dalam wataknya.

Tema pembunuh bersiri di alam siber ini bukanlah yang pertama kali pernah aku tonton. Jadi ia bukanlah suatu yang baru sebetulnya untuk aku. Ini kerana sebelum ini, aku sudahpun diteruja melalui filem Feed (2006) serta Rhotenburg a.k.a Grimm Love (2006) (Fear Dot Com terlalu bodoh dan tak kena untuk aku beri contoh di sini). Ia sebuah hipotesis serupa, cuma kisah yang digarap berbeza. Masih formulaik.

Killwithme.com itu kalau digelintar sekalipun di internet, tidak membawa erti apa-apa walaupun hakikatnya ia wujud (laman itu diwujudkan Sony Pictures khusus untuk filem ini - ya, ada moral yang cuba disampaikan di laman itu).

Jadi, filem ini tidaklah segah mana kalau dibandingkan kedua-duanya. Tetapi ada satu atau dua sekuens yang sangat baik dibikin – lihat bagaimana futej suicide (yang sungguh ngeri) itu dipertontonkan umum oleh media – sangat signifikan untuk filem ini, kerana jika futej shocking itu tidak ada (ditunjukkan), maka lubang besar plotnya pasti tidak dapat dilitupi lagi. Seperkara lagi ialah formula gaya SAW yang dibuat, agak decent, cuma tidak cukup rempah-ratusnya. Lalu filem ini bisa kita lupakan begitu saja.

Otis (2008)



Ini adalah filem bertema "captivity" (biasanya melibatkan ‘drama’ penculik dengan mangsanya) seperti filem Cellar Door (2007), Captivity (2007) serta P2 (2007) yang aku tonton sebelum ini. Biasanya, tema sebegini lebih serius pembawakannya, tetapi filem ini ‘keluar’ dari keseriusan itu, lalu ‘masuk’ menjadi sebuah versi humor yang gelap tetapi, ironinya ia tetap masih serius. Ya, aku serius.

Struktur plotnya senang – Si ‘jahat’ menculik gadis – Detensi – Gadis terlepas – Lari – Famili gadis berang – Famili gadis balas dendam – Torture (brutalifikasi/gorifikasi di sini hebat) – Rupa-rupanya tersalah Orang – Fucked up. Tetapi macam aku cakap, walaupun splatstik, tetapi ‘ketegangan’ tetap timbul kerana ia distruktur dengan baik, terutamanya sewaktu episod revenge itu.

Kelakar, bangang, agak ofensif tetapi masih gelap satira-sosialnya (satu sindiran apabila ibu bapa menjadi medium contoh terbaik anak-anak dalam menggunakan kata ganti “fuck”).

Apapun, aku suka lagu di kredit penutupnya. Sebuah komedi 'cult' yang lebih baik dari filem komedi konformis.

Vikaren (The Substitute) (2008)



Untuk komedi-horror yang paling gelap lucunya tanpa perlu ‘memaksa-maksa’, inilah tontonan terbaik aku untuk tahun ini. (ironinya yang terbaik masih filem luar dari kepompong hollywood).

Dari pembikin Ole Bornedal, Nightwatch (1994), produksi Denmark ini sangat memikat. Walaupun konsepnya lebih ke arah fiksi sains, namun feel serta kesan atmosferik horror itu sangat segar, berjaya membentuk sepenuhnya witty dan keseronokan di segenap ruang legar ceritanya.

Tentang sekumpulan kanak-kanak sekolah (mengambil referens Faculty) yang mendapat guru wanita gantian baru yang misterius, celupar, ganas dan apa saja. Lebih parah, apabila mereka mendapat tahu ‘siapa’ sebenar guru itu. Lalu, secara sinikalnya filem ini menyindir sifat mak bapak yang selalu tak ambil peduli tuduhan, protes anak-anak mereka (oh zaman persekolahan memang penuh fantasi, delusi lagi absurdisme, bukan?).

Ia sebuah filem seronok. Rekomendasi tinggi untuk tontonan buat kau orang yang belum atau ragu-ragu (oh jangan peduli cover DVDnya yang jelek, kerana tiada sebarang hantu atau elemen supernatural dalam filem ini). Pesan aku pada yang belum, sila tonton versi (audio) Denmark yang asal, bukan yang sudah dialihsuara (English). Versi original lebih feel, penuh 'semangat', terutama kehebatan karakter pro dan antagonisnya.

Oh, dan lagu di kredit penutupnya lebih hebat dari filem di atas.

No comments: