11 January 2007
Feed (2006)
Oleh Mahhass
Pada aku, filem ini barangkali adalah satu satira terhadap konsumerisme (seperti filem dokumentari Supersize Me). Juga satu kondemnasi terhadap fetishisme seksual malah mungkin juga satu kritikan segar lagi bundar terhadap obesiti.
Feed merupakan satu filem produksi Australia, berkisarkan tentang dua lelaki, satu protagonis – satu antagonis, , 2 sifat – seorang melankolik – seorang lagi neurotik dalam dua plot (sub-plot), tetapi dipergabungkan dalam satu situasi.
Si melankolik merupakan seorang detektif (punya masalah dalam perhubungan intimasi) , manakala si neurotik pula merupakan webmaster laman ekstrem online ("Feeders & Gainers") yang memaparkan wanita-wanita obese (oh aku maksudkan sungguh gemuk yang hanya mampu berbaring sahaja) memberi makan secara paksa sampai mati malah turut menjadi bahan eksplorasi simbiosis seks si neurotik tersebut.
Filem ini menguja dari awal pembukaan lantas memberikan momentum yang aku mahukan dari sesebuah filem bergenre psiko-thriller. Maka setiap minit itu kau takkan berasa mahu berganjak tambahan lagi faktor "gross-out" yang menghilangkan selera aku untuk membancuh secawan kopi (apatah lagi melantak makanan lain sambil menonton).
Kelemahan paling ketara ialah skripnya yang longgar serta dialog-dialog 'ambigous'nya. "Konsumsi adalah evolusi" – itu satu tagline yang cukup berkesan, penuh falsafah, maka tak perlu kau dialogkan! Ini filem fast-paced-thriller, maka jangan lembabkan dengan bebelan serta sekuens-sekuens kejar-mengejar yang agak merepek serta apa jua situasi yang akan keluar dari batas logikal minda. Itu akan mencacatkan sedikit-sebanyak 'kuasa' skrip.
Feed diakhiri dengan satu twist yang baik (ala Hitchcock yang agak mengejutkan) lalu berjaya membaik-pulih segala lelubang yang ada. (Oh lelubang itu juga di'tampal' dengan muntah-muntahan, lemak manusia dan juga darah!)
Menonton filem ini, kau akan sedar akan wujudnya sifat-sifat dekonstruktif manusiawi (bukankah filem punya 'kuasa' mendidik dan mendedahkan?). Malah, walaupun filem ini bukan berdasarkan kisah benar, namun kata penulis filem ini, sub-budaya songsang fetishisme ini sememangnya diakui kewujudannya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment