
DVD ini dipilih oleh isteri aku. Barangkali kerana pengaruh nama Monica Belluci yang agak kuat baginya. Juga mungkin kerana filem tontonannya seperti Irreversible (juga lakonan Belluci) adalah antara 'lauk' kegemarannya. Tidak ketinggalan filem-filem realisme getir, horror slasher (beliau agak 'pos-modenis', maka lebih memilih versi Texas Chainsaw Massacre remake 2003 berbanding klasik), termasuk filem-filem slasher moden (Devil’s Rejects paling digemarinya). Genre Serial-killer, filem-filem 'depressing' serta zombie-flicks adalah 'ulam'nya (namun ironinya beliau lebih memilih Dawn of The Dead versi Romero 1978 berbanding versi Snyder 2004). Tidak dilupakan filem-filem surrealisme David Lynch (Mullholland Drive misalnya) itu 'pencuci-mulut'nya.
Walaubagaimanapun, filem-filem fiksyen sains, dokufilem/mokumentari termasuk filem bajet (B-Movie termasuk C-Movie – dia bilang 'crap movie') bukanlah antara citarasanya. Itu hanya bisa meng'ulit' tidurnya sahaja.
Itu antara sedikit sebanyak yang aku boleh ceritakan, bagaimana istimewanya beliau bagi aku...

Pada (sekuens) awalnya filem ini tampak berat, namun sedikit demi sedikit ia keluar dari suasana realiti, kadang-kadang tampak surreal-fantasi, melodrama, walaupun watak-watak manusia di dalamnya masih kekal berperwatakan manusia 'sebenar' (sifat cinta, kasih sayang, cemburu serta iri hati terhadap kecantikan). Ia sarat dengan komedi seks yang menghibur dan mencuit hati, paling kelakar – perbalahan Daniela dangan jirannya tentang "fake orgasm" yang 'membising' dan mengganggu! Disamping itu, filem ini juga mengupas baik persoalan secara 'subtle', lagi kritis tentang feminisme (walaupun aku tidak dapat sebarang konklusi di fragmen akhirnya), bagaimana lelaki lebih mudah jatuh cinta dengan kecantikan dan seks.
Memetik kata isteri aku, ia seperti menonton Pretty Woman yang lebih eksplisit, lebih kelakar, jujur lagi 'terbuka'.

No comments:
Post a Comment