Oleh Mahhass
Three... Extremes adalah 3 antologi seram pendek, sebuah produk seram Asia hasil gabungan 3 pengarah terkemuka yang 'berentap' dalam satu filem – dimulai dengan segmen Hong Kong (Dumplings arahan Fruit Chan), Korea (Cut arahan Park Chan Wook) dan akhirnya Jepun (Box arahan Takashi Miike). Aku menggunakan kata 'terkemuka', bukannya 'seram' adalah kerana salah seorang dari mereka, Fruit Chan bukan dikenali atas pembikin genre tersebut.
Bertepatan dengan judulnya, ketiga-tiga paparan kisah tersebut amatlah ekstrem, menguja, provokatif, mengganggu, menggegarkan, gelap, satira, "bizarre", surrealistik malah apa saja yang kau fikirkan.
Pertamanya, aku akan menulis mengikut turutan tontonan aku. Keduanya, oleh kerana ini semua kisah pendek, maka aku akan cuba pendekkan bebelan aku.
Dumplings adalah satu-satunya kisah seram 'nyata', tampak lebih mainstream, berbanding Cut dan lebih-lebih lagi Box. Ia adalah satu satira (Fruit Chan memang terkenal dengan kesatiraannya, malah dilabelkan sebagai "Ken Loach Asia"), kisah bertemakan obsesi wanita terhadap kecantikan, awet muda, kegilaan untuk memikat atau 'mengikat' suami, malah satu kutukan sosial terhadap penggunaan botox serta pengguguran yang berleluasa kini. Ruang simplisiti yang terbentuk memudahkan tontonan, secara nyata dan terang walaupun disuntik beberapa elemen surealisme (oh mungkin terlalu sedikit), namun moralnya tetap ada. 2 babak pengguguran merupakan sekuens paling 'kuat' dan mengganggu. (Seingat aku, dulu aku pernah menonton satu filem Melayu tentang pengguguran tapi aku lupa apa judul filemnya, siapa pelakonnya). Sinematografi yang dipertanggungjawabkan kepada Christopher Doyle (pengarah fotografi filem-filem Box Office Asia – punya 8 filem bersama Wong Kar Wai, termasuk Rabbit-Proof Fence), seperti biasa terlalu cantik untuk aku gambarkan juga memberi banyak lapisan-lapisan makna visual.
Di tangan Park Chan Wook, pembukaan Cut adalah yang paling memikat dan menakutkan. Pada mulanya tampak seperti satu lagi kisah hantu tipikal Korea-Jepun, namun akhirnya menjadi satu diversiti ataupun gabungan kisah luarbiasa yang sungguh asli. Paling menarik perhatian aku, ialah teknik fotografinya mengingatkan aku akan filem Panic Room – mainan pergerakan kameranya (biasanya mengundur) dari satu sudut ke satu sudut, melalui celahan objek yang sungguh memberangsangkan. Cut juga sedikit-sebanyak bertemakan feminisme, walaupun protagonisnya adalah lelaki (seorang suami), juga seorang pengarah filem. Seperti ramuan yang aku katakan tadi, Cut barangkali boleh juga digolongkan ke dalam genre slasher, menyaksikan gore, darah yang paling banyak menjadi lauk hidangan aku antara ketiga-tiga filem tersebut. Garapan "twist" yang wujud hampir sepanjang struktur plotnya, tidak lupa juga dengan komedi gelap, menjadikan ia hampir seratus persen sempurna, lantaran yang terbaik di antara ketiga-tiganya.
Yang ketiga dan terakhirnya ialah segmen Jepun – kisah Box yang penuh misterius lagi surrealistik, di tangan pengarah provocateur seram Asia yang paling aku kagumi - Takashi Miike (Visitor Q, Audition). Bagaimanapun, ini bukanlah satu naskhah Miike (sebutan betul namanya agak comel, kerana kau perlu sebut "Mickey") yang paling hebat lagi getir pernah dibikinnya. Tidak ada keganasan seks atau seksual taboo dalam intinya walaupun sekali lagi tema feminisme menjadi sandaran besar. Juga tidak adegan memotong payudara ala Ichi The Killer, juga tidak ada sebarang sumbang mahram seperti Visitor Q, seksaan fizikal nyata serta darah yang membuak-buak, cuma sekadar imaginasi horror, gaya "buried-alive", - klaustrofobik yang diwujudkan. Masih berpegang dengan gaya surrealisme, membawa kita ke satu landasan disorientasi antara logikaliti dan khayalan mimpi. Dengan konklusi yang memelikkan (sudah tentu "trademark" Miike), maka sekali lagi kita jugalah yang diserah bulat-bulat untuk menentukan. Kau tak perlu gundah-gulana, kerana apa yang jua yang kau fikirkan, itulah konklusinya.
Dan pemenangnya adalah... ketiga-tiganya sekali.
No comments:
Post a Comment