Filem-filem yang dibikin berdasarkan dari kisah benar sememangnya punya semacam ‘aura’, yang menguja lalu menjadi tarikan khalayak untuk ditonton, sepertimana kau tonton kisah pembunuh bersiri wanita pertama Amerika - Aileen Wurnous, dilayarkan ke dalam filem Monster, juga kisah pembunuh terkenal Henry Lee Lucas dalam Henry : Potrait of Serial Killer, filem Citizen X yang menggarap kisah nyata pembunuh bersiri Rusia.
Lain-lainnya termasuklah kisah penuh misteri lagi pelik Ronald DeFeo yang membunuh kesemua ahli keluarganya dalam satu malam dapat kita tonton dalam Amityville Horror, termasuk kisah pembunuh Ed Gein yang mengoyakkan kulit mangsanya lalu menjadi inspirasi Tobe Hooper untuk membikin Texas Chainsaw Massacre (juga gaya yang sama dibikin dalam Silence of The Lambs).
Filem ini juga tidak ketinggalan ‘aura’nya jika kau baca sinopsisnya. Berbaristagkan "Ken and Barbie of Murder and Mayhem", merupakan kisah benar yang menggegarkan seluruh rakyat Canada tentang pasangan suami isteri notorius lagi psikotik, Paul Bernardo dan Karla Homolka yang menculik, menyiksa, merogol dan membunuh 3 remaja sekitar tahun 1990 -1992. Kedua-duanya telahpun ditahan dan dihadapkan atas segala kriminal yang dilakukan.
Ironinya, Paul Benardo pada asalnya ditahan atas kesalahan mendera Karla, sehinggalah pihak polis Canada berjaya memadankan DNAnya dengan mangsa-mangsa bunuhnya. Sehinggalah tiba giliran Karla ditahan atas kesalahan bersubahat. Menurut biografinya, dia melakukannya atas dasar cinta terhadap suaminya.
Bagaimanapun filem ini dibikin hanya selepas pembebasan (bersyarat) Karla pada tahun 2005 (suaminya dipenjara seumur hidup), itupun pra-produksinya ditentang malah diboikot majoriti rakyat serta media Canada atas alasan menjaga sensitiviti keluarga mangsa. Ada juga sesetengah negeri di Canada mengharamkan terus tayangannya. Pendek kata tidak ada kerjasama diberikan oleh mereka menyebabkan keseluruhan produksi filem ini (termasuk pelakonnya) dibuat di Amerika.
Filem Karla fikir aku sungguh ambisius. Barangkali dibikin terlalu tergesa-gesa lagi membabi-buta. Seakan terlalu berusaha, ghairah mengejar publisiti kisah Aileen Wurnous (oleh sebab antagonisnya berwatak 'kelabu'). Skripnya baik tetapi olahannya lemah – plotnya berlubang sini sana, malahan struktur naratifnya terlalu mendatar malah sungguh banyak sekali dialog-dialog (yang teramat-amat membosankan) berbanding paparan visual kisahnya itu sendiri.
Walaupun ada beberapa sekuens 'shocking-disturbing' (mungkin faktor aku pernah menonton paparan grafik yang lebih dahsyat dan eksplisit), namun tidaklah terlalu getir lagi 'mengganggu' atau mengejutkan bagi aku. Watak Karla juga tiada justifikasi, samada ia hitam ataupun kelabu, walaupun jukstaposisi cinta dalam dalam seribu keganasan itu satu yang menarik. Pun begitu tiada kesan emosi ditinggalkan.
Seharusnya filem-filem modern-crime sebegini disuntik dengan garapan yang lebih cemas lagi provokatif dalam mewujudkan suatu situasi atau reaksi 'mendesak' penontonnya (sepertimana kau tonton Monster). Malangnya ia dipersia-siakan.
No comments:
Post a Comment