Oleh Mahhass
Ada seorang pembikin filem baru dari New Zealand, yang satu hari nanti, pada firasat aku bakal mengikuti jejak Peter Jackson ke arena antarabangsa, kalau kau banding atau nilaikan dari filem pertamanya ini, The Locals dengan Bad Taste - filem "cult" pertama Peter Jackson. Maksud aku, debut Greg Page untuk The Locals, (tanpa aku ambil kira filem pendek pertamanya berjudul Decaff kerana Peter Jackson juga, sebelum Bad Taste ada membikin filem pendek tahun 1976 berjudul The Valley) walaupun The Locals, agak tidak layak untuk dilabelkan "cult", oleh sebab pinjaman beberapa formula dari sebilangan filem, namun ia sangat-sangat boleh dibanggakan.
Aku sedar, akan kemelimpahan filem-filem (horror-slasher khususnya) yang dimulai dengan klise dua atau sekumpulan remaja ber 'road-trip' – lalu tersalah arah, sesat dalam keseronokan, akhirnya menuju ke 'neraka' secara literalnya, seperti Texas Chainsaw Massacre, House of 1000 Corpses, Rest Stop (akan ditulis nanti), House of Wax, bla.. bla.. bla.. blaaaaaaaaarggh takkan habis kalau aku senaraikan semuanya, maka ketipikalan filem ini tidaklah terkecuali. Bezanya cuma, apakah bentuk 'neraka' yang bakal menjadi seksaan mereka. Menjadi satu kelaziman dalam genre sebegini, apabila wujudnya watak-watak nakal, sombong, celupar atau yang selalu cakap besar, (meminjam kata Fadz - siapa yang berzina!) - satu keutamaan kerana ia satu simbolis dosa, maka mereka-mereka itulah akan menjadi mangsa pertama dihukum – dihantar ke 'neraka'.
Tetapi persepsi awal aku terhadap filem ini agak merosot, kerana ia agak berlainan (walaupun neraka itu tetap wujud di situ). Itulah orang kata, menonton filem jangan terlalu skeptikal. Tonton dulu, cakap banyak tak guna.
Filem ini (bagi yang nak tahu sinopsisnya) adalah tentang dua sahabat, dalam perjalanan menuju ke syurga dunia, bertemu dua gadis di sebuah jambatan usang (secara literalnya - 'sempadan') sebuah kampung. Dalam keterujaan serta keseronokan kejar-mengejar, akhirnya mereka terbabas lalu terkandas di sana. Dalam usaha mencari bantuan, akhirnya celaka menimpa, kerana mereka kini diburu sekumpulan orang kampung tersebut. Persoalan mengapa, barangkali kau akan tahu di penghujung 10 minit konklusinya.
Sebenarnya, agak sukar untuk menulis (mengulas) genre filem-filem sebegini (apatah lagi cubaan untuk menggodah falsafahnya), kerana faktor-faktor SPOILER, kerana aku tahu sebilangan besar kau orang masih belum menontonnya (seperti kau tonton filem 'pra-kematian' Reeker, Jacob’s Ladder, Sixth Sense, Room 6) di mana struktur plotnya di"twist", sehinggakan aku sendiri tak tahu bagaimana untuk menulisnya di sini, sehinggakan kalau aku memberitahu apa temanya, boleh sahaja mendedahkan intipatinya.
Satu sekuen twist - dialog antara Paul dan Grant yang sungguh baik lagi original : (aku bicarakan kembali mengikut suka aku lebih kurang begini bunyinya)
Paul : Kenapa? Apa tu?
Grant : Err... tak ada apa-apa.
Paul : Apa yang kau suluh tadi? Suluh balik aku nak tengok...!!
(Grant dengan 'berat hati' pun menyuluh objek itu, lalu Paul tersungkur dengan penuh emosi...)
Barangkali lebih molek kalau aku katakan, filem ini adalah sebuah homej Sam Raimi untuk Evil Dead (khususnya watak Grant kerana mengingatkan aku akan Bruce Campbell – perhatikan raut wajah yang penuh darah!, termasuk juga entiti 'jambatan' itu yang menjadi penghubung dua dunia), serta homej Stephen King, juga Night Shamalayan (untuk The Village & Sixth Sense), malah filem ini sangat berkait rapat sekali dengan mitos orang Melayu err.. seperti kisah "Jalan Berpuaka" atau "Bunian" misalnya?
Filem keluaran New Zealand ini aku sarankan untuk tontonan bagi semua peminat genre seram. Kalau tak jumpa DVDnya, kau cari sampai jumpa.
No comments:
Post a Comment