Oleh Mahhass
Hard Candy membawa pendekatan yang berbeza (jika diperlihat dari konteks filem konvensional), apabila kesemua watak dalam filem ini di'kelabu'kan bermula dari fragmen awal, pertengahan hinggalah ke konklusi. Tiada kontras antara watak hitam dengan watak putih. Tidak wujud akan keadilan sosial dalam tema anti-heronya. Ia meletakkan sepenuh-penuhnya dibahu khalayak tentang siapa (atau tindakan siapa) yang benar mahupun salah. Maka ia menjadi sebuah filem gelap atau 'Noir'.
Kebanyakan filem sesudah 10 minit kita tonton, sebenarnya sudah terdapat kesudahannya. Sekurang-kurangnya kau tahu segalanya akan kembali normal, si jahat akan dihukum, si baik pula akan dijulang selepas seribu ranjau diharungi. Bagaimana ia dibikin, itu soal lain. Kata orang itu lumrah, eskapisme atau janji filem terhadap penontonnya sepertimana kau tonton filem-filem (mainstream) Melayu serta Bollywood sejak awal dulu hinggalah ke sekarang ini. Ia tidak berubah (malah tidak pernah), seolah-olah tidak mahu keluar dari kempompong eskapisme itu lalu menafikan realiti sosial.
Kau barangkali tidak gemarkan filem Noir pertama Malaysia karya seniman agung Malaysia P. Ramlee berjudul Dr. Rushdie, apabila watak kelabunya tidak dijustifikasikan di konklusi filem tersebut. Dalam filem itu kau sedar watak Dr. Rushdie sememangnya putih, cuma tidak dibersihkan melalui struktur plotnya. Maka sekali lagi kita disedarkan (sejak dulu lagi) melalui filem, watak putih tidak harus dizalimi dengan watak hitam. Seperti juga tema filem–filem neo-noir Malaysia karya U-Wei Haji Shaari seperti Perempuan, Isteri dan Jalang apabila watak Zaleha awal-awal lagi menjadi kelabu apabila kita tahu dia melarikan diri pada hari pernikahannya lalu kesemua watak-watak lain turut menjadi kelabu termasuk orang-orang kampong - tema provokatif yang sama wujud dalam Buai Laju-Laju.
Biasanya, filem-filem Noir berkait rapat dengan falsafah feminisme, seksualiti, karakteristik, moralistik, paranoia, pembunuhan serta kematian. Juga ia berkait rapat dengan teknik visual dalam mengeksperisikan plot cerita 'gelap'nya. Sememangnya ia agak kompleks untuk difahami. Barangkali lebih mudah apabila dilayarkan sahaja maka ia akan mewujudkan satu hybridisasi atau segala ramuan falsafah itu disatukan bagi mewujudkan interpretasi yang berbeza.
Sama keadaannya dalam filem Hard Candy, ruang romantisme yang dibentuk pada mulanya agak simplisiti, akhirnya menjadi 'segar' lantas membawa ke satu dunia paranoid keganasan, satu igauan ngeri lelaki kerana 'zakar' itu adalah simbol kekuasaan atau kejantanan lelaki, lalu menujukkan bahawa wanita (walaupun remaja) itu juga punya kuasa untuk menguasai lelaki (walaupun tanpa sebarang keranjangan) yang secara lumrahnya dalam filem menjadi pelindung wanita. Lantaran menguatkan lagi status wanita sebagai 'ibu' dan yang paling penting ialah moraliti filem ini, menyimbolkan bahawa sifat lelaki sebenarnya sangat rapuh malah lebih mudah diperdaya lalu tunduk pada wanita.
Hard Candy boleh sahaja aku golongkan dalam filem cult-noir masterpiece, malah David Slade bakal menjadi (si surrealis gila) David Lynch versi baru yang lebih realis.
No comments:
Post a Comment