03 January 2007

The Plague (2006)

Oleh Mahhass

Pada satu ketika, pada hari, jam serta saat yang sama, semua kanak-kanak yang berumur 9 tahun ke bawah di seluruh pelusuk dunia secara tiba-tiba lagi serentak menjadi koma tanpa diketahui sebab-musabab.

Bagaimanapun, 10 tahun kemudian, (juga secara serentak dalam waktu yang sama) mereka semua telah sedar dan bangkit lantas membunuh – lalu chaos!)

Babak pembukaan The Plague sungguh berkesan – si bapa panik lagi kebingungan berkejaran membawa anaknya ke hospital, lantas mendapati ratusan (mak-bapak) menghadapi situasi yang sama. Lalu kita dibawa ke 10 tahun kemudian (masakini), menyaksikan ironinya, si anak (selepas sedar) pula membunuh si bapa yang bersusah-payah menjaganya yang terlantar selama 10 tahun.

The Plague boleh aku umpamakan satu versi gabungan filem Village of the Damned dan juga Dawn of The Dead (2004) serta filem pos-apokalips lain . Idea dan konsep itu amat menarik malah aku selalu teruja untuk menonton genre sebegini. Dunia jadi huru-hara, protes dan tunjuk perasaan atas pengharaman kelahiran (pengguguran diwajibkan) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, ekonomi dunia mengalami era depresi malah semua sekolah terpaksa ditutup malah ada yang dijadikan pusat penjagaan.

Filem ini punya segala teknik serta formula yang kita mahukan, saspens, ganas serta darah dan gore yang seimbang lagi simplisiti, itupun kalau kau golongkannya ke dalam versi zombie-flick. Sesetengah babak mampu membuatkan kau tak senang duduk, terloncat, lantaran mendetakkan jantung.

Namun malang sekali filem ini dibikin atas dasar ataupun interpretasi keagamaan. Maka aku kira, cacat-celanya filem ini barangkali di 20 minit sejurus konklusinya.

Pun begitu, aku bukanlah seorang penonton yang mahukan segala (isi kandung filem) itu diterangkan. Aku bukan jenis orang yang akan bertanya semula pada si pencerita, tetapi sesetengah aspek, si penyampai cerita harus memberi ruang yang lebih jelas kepada si pendengar. Tetapi untuk filem ini, tidak langsung aku diberi ruang itu untuk aku telaah.

Maka cerita itu bakal kita lupakan lalu menjadi sia-sia.

No comments: