30 December 2006

Zombie Honeymoon (2005)

Oleh Mahhass

Apabila sesebuah filem seram itu cukup segala ramuannya, iaitu berdasarkan originaliti serta punya intensiti jiwa lantaran membangkitkan emosi, maka ia akan menjadi sebuah filem seram yang baik.

Zombie Honeymoon adalah sebuah "filem romantik zombie" yang pertama (selepas elemen cinta dan hubungan pernah disuntik dalam Return Of The Living Dead 3 kalau kau masih ingat).

Ditulis dan diarahkan oleh Dave Gebroe, walaupun namanya aku kira terlalu asing dalam subgenre ini, namun filem ini antara homej zombie yang terbaik untuk Lucio Fulci (lihat babak seorang pelanggan video memakai t-shirt Zombie 2), George A. Romero serta Brian Yuzna.

Filem ini sebenarnya 'menyahut' persoalan yang barangkali pernah timbul (dalam filem-filem zombie sebelum ini), iaitu "bagaimana agaknya jika orang yang anda sayangi (pasangan) bertukar menjadi zombie?". Bunyinya barangkali senang, kau bunuh saja, tapi persoalan itu aku kira berjaya dikupas dalam filem ini.

Berkisahkan pasangan muda, yang sedang dalam berbulan madu. Didatangi satu zombie sewaktu mereka di pantai, dengan tidak semena-mena zombie itu memuntahkan isi perutnya ke mulut si suami. Si suami disahkan mati oleh doktor, tapi ironinya telah hidup kembali. Namun sedikit demi sedikit proses evolusi ke zombie itu berlaku, tambahan dia hanya berkehendakkan daging dan darah manusia.

Secara teknikalnya, banyak yang baik dalam filem ini walaupun terdapat lubang di sana-sini khususnya dalam plotnya. Jukstaposisi bulan madu, kasih sayang, cincin perkahwinan dan zombie (kanibalisme) itu sungguh cantik sekali diciptakan lantaran memberi impak kuat dalam filem ini.

Pengimbangan elemen-elemen itu tampak begitu sempurna, malah penuh subtle lagi poignan, bermaksud, kau akan merasai suasana keseraman dalam kesedihan (maka tidak hairanlah filem ini terpilih ke Slamdance Film Festival, San Francisco Film Festival dan juga USA Film Festival).

Ini adalah satu-satunya filem zombie yang bisa membuatkan kau (atau sebenarnya aku) menangis hiba di babak konklusinya, menjadikan is sebuah lagi cult-masterpiece.



Layari laman rasmi : www.zombiehoneymoon.com

No comments: