Oleh Mahhass
Sudah aku bilang dari dulu lagi bahawa produksi seram (khususnya mainstream) Hollywood sudah kehabisan idea. Sudah banyak idea itu di'cedok' dari beberapa filem cult-horror lalu diubah, distruktur kembali, namun idea dan konsep itu sebenarnya masih ketara dilihat. (Oh aku dengar filem A Tale of Two Sisters akan dibikin semula berversi inggeris, dan juga filem seram Thai – Shutter). Tiada yang baru lagi membaharukan.
Maka sebab itu apabila terbit lagi filem seram mainstream baru, tidaklah aku teruja sangat untuk menonton. Sekadar aku belek depan belakang cover DVDnya, dan aku letak balik. Tapi entah kenapa tergerak hati aku untuk sewa DVD ni. Aku rasa mungkin sebab aku tertonton trailernya sebelum ini.
Menonton trailernya sahaja cukup aku faham intipati ceritanya. Mengingatkan aku akan filem Carrie karya Stephen King, yang dilayar penuh berkesan oleh Brian De Palma, dan juga The Craft (kau masih ingat kisah 4 antagonis remaja sihir tu?). Maka filem ini adalah cedokan dari kedua-dua tersebut, cuma disuntik beberapa elemen baru, lalu sebahagiannya menjadi baik, sebahagian lagi pula ketara sekali kebodohannya.
Awal sekuens sungguh meleret-leret, namun filem ini (tak kusangka) menjadi menarik bila tiba sekuens "kesumat". Apabila misi balas dendam Tamara itu dibikin dengan gaya yang lebih unik lagi efektif – formula (ala Final Destination) 'bunuh diri', juga berbunuhan sesama mereka dan yang paling mendapat reaksi aku ialah si bapa disfungsi yang melahap sampai mati botol-botol birnya.
Aku sungguh mengharapkan agar wujudnya 'twist' di konklusi filem ini, tetapi sungguh malang sekali apabila ia diakhiri dengan gaya tipikal filem-filem witch yang sungguh lemah, dilihat seolah-olah ketandusan idea, seperti juga tandusnya idea aku untuk menulis lagi tentang filem ini. (Lantaran membuatkan aku menjadi lebih malas lagi nak tonton produksi mainstream Hollywood.)
No comments:
Post a Comment