Oleh Mahhass
Aku bukan pengikut atau penggemar (filem-filem) David Lynch, walaupun aku tahu dia tidak ada kena mengena dengan filem ini. Tetapi tema filem ini adalah seram-surreal-fantasi. Tambahan lagi, para pembikin asal Silent Hill (versi game) sebenarnya dipengaruhi oleh filem-filem Lynch (antaranya Lost Highway dan Blue Velvet). Memang aku selalu ber'masalah' dengan filem-filem Lynch. Kadang-kadang aku sampai ke tahap benci. Benci dalam percubaan aku untuk merobek falsafah atau idealisme gilanya.
Bagaimanapun, Silent Hill langsung tidak memberi masalah itu pada aku (di tangan Christophe Gans yang pernah menulis lakonlayar Necronomicon : Book Of The Dead yang diinspirasi dari H.P Lovecraft). Malah ia dibikin dengan baik dari sudut teknikalnya, tetapi plotnya – hambar – tambahan lagi, kau dah tahu kau akan bikin plot yang sangat tipikal (si ibu tipikal nak cari anak hilang yang juga secara tipikal), kenapa sampai 2 jam lebih dengan dialog-dialog menceceh, membebel panjang-panjang yang tak sepatutnya ada? Oh lagi satu si ibu ajar anak "don’t talk to stranger", (tanpa di'possessed' atau dirasuk) yang kau 'rally'kan 4wd dengan anak kau kat dalam boleh pulak. Anak aku siap cakap – "Kenapa mommy dia bawak laju sangat, kenapa dia tak stop? Kan polis suruh stopkan tu?"...
Barangkali filem ini terikat dengan plot asli yang terkandung dalam versi game walaupun tidaklah 100 persen. Belum ada lagi filem adaptasi video-game mampu mencedok kesemua watak-watak, plot mahupun sub-plot dan sebagainya – contoh terdekat seperti Resident Evil, House of The Dead, LaraCroft – Tomb Raider, Doom dan yang terbaru D.O.A - Dead or Alive. Biasanya, akan wujud beberapa watak-watak baru bertujuan mewujudkan kesinambungan plotnya (yang barangkali baru). Maka bagi pengikut video-game fanatik, apajua adaptasi bukanlah satu kerja mudah.
Kisah kanak-kanak menjadi 'medium' si mati sebenarnya telah di bikin oleh pembikin lakonlayar lama dahulu. Maka ia sangat-sangat tipikal. Jepun membikinnya dengan formula baru dalam Ringu lalu digunapakai semula (barangkali kepasrahan idea) oleh Hollywood untuk The Ring. Formula pos-apokalips seram Ju-On juga dibikin semula dalam The Grudge kononnya atas alasan 'apresiasi barat' lalu hilang garapan, atmosfera, jiwa serta "Asian-Cult" aslinya. Itu Hollywood – ada wang semua boleh bikin.
Ada beberapa sekuens yang aku anggap sungguh baik, antaranya sewaktu proses evolusi pantas Pyramid Head dengan pedang gigantiknya (merupakan antagonis yang paling menggegarkan, 'kuat' dan memikat – kau bayangkan tanpanya, Silent Hill tidak memberi sebarang makna bagi aku). Teknik atau formula itu juga barangkali satu rip-off dari watak Witch King dalam Trilogi Lord of The Rings. (Kau bayangkan jika Pyramid Head bertemu Witch King – siapa menang? Yang pasti, Witch King kalau kalah boleh lari dulu naik garudanya. Haha. )
Satu lagi sekuens yang baik ialah tatkala Rose cuba melepasi "Para Jururawat Neraka" (aku tak pasti samada watak ini diadaptasi secara terus dari video atau tidak) – jururawat dianggap satu simbolisme seks atau mungkin aku boleh katakan sebagai bahan seks di bandar/bukit sunyi itu. Maka mereka juga tergolong antara manusia-manusia yang berdosa yang awal-awal lagi menerima akibatnya.
Babak konklusi merupakan satu lagi klise (aku maksudkan baik dari segi konsep dan originaliti) mengingatkan aku pada amarah serta amukan si kecil dalam filem adaptasi novel Stephen King berjudul Firestarter. Malah sewaktu Rose pulang ke rumah di saat-saat akhir, mungkin dipengaruhi (atau kalau kau suka, kau boleh sahaja katakan homej) filem Sixth Sense, maka ia tidaklah terlalu menyentap emosi aku.
No comments:
Post a Comment