23 November 2008

Zibahkhana (Hell's Ground) (2007) - Filem Gore Pertama Pakistan



Filem ini direkomendasi oleh aeklektix - seorang pembaca 'misteri' blog aku. Terima kasih untuk informasi ini. Oh ya, beliau masih punya nama (maksud aku bukanlah ‘Tanpa Nama’) untuk dipanggil.

Sebenarnya, aku beruntung mempunyai beberapa pembaca yang baik, memberikan feedback yang sangat aku hargai (oh sekarang aku tidak lagi menitikberatkan kuantiti – iaini hits, kualiti - ya). Aku sedar, hits SKRIN taklah tinggi seperti dulu. Serius, blog ‘gelap’, *jahat dan *kotor ini (suatu masa dahulu agak ‘terang’ dan ber’arus perdana’) ini pernah mencecah 1715 hits (sehari) tertinggi pada tanggal 6 September 2004, iaitu selepas ulasan filem Puteri Gunung Ledang (2004) diupload aku sehari selepas tayangan perdananya.

Namun sejak aku mula menumpu penuh akan genre Horror (dan meninggalkan filem arus perdana), Skrin aku mulai 'berdarah', hanyir, membusuk, lalu peratusan hits aku mulai menurun. Mulanya aku agak kesal, tetapi bila aku fikirkan balik, wtf, hits tinggi berpuluh ribu sekalipun, apa ganjaran yang aku dapat, bukan? Lagipun, aku sendiri tak ada masalah sebab Horror adalah genre kesukaan aku. Jadi biarlah atentif aku pada satu genre.

Aku juga sedar malah tumpang berbangga apabila kini wujudnya sebilangan penulis blog (filem) tempatan (terlalu ramai untuk aku senaraikan di sini), yang juga satu masa dahulu seperti juga aku, Nizam Zakaria, Sultanmuzaffar, Fadz, Fairulnizam, Mensh, Ted, Nazim Masnawi, Vovin sejak 2003 (malah ada yang awal sebelum itu) giat menulis ulasan filem di blog masing-masing. Sepengetahuan aku, mereka ini adalah perintis penulis blog yang mengabdikan diri (terutamanya masa) mereka menulis apa jua ulasan filem sejurus selesai ditonton mereka.

Aku masih ingat, kita orang dijemput Yasmin Ahmad (melalui Nizam Zakaria seingat aku) untuk menonton Sepet (2003), yang waktu itu masih dalam bentuk “rough-cut” malah belum diwar-warkan lagi pada umum (Ajami – ambil nota ini kerana Red Kebaya bukan filem pertama bloggers dijemput). Hasilnya, reaksi positif dari sebahagian besar mereka, bertindak seakan promosi tak rasmi terhadap filem ini, walaupun aku masih ingat reaksi yang agak negatif dari Vovin dan Nazim Masnawi, tetapi itulah ‘warna’ sebenar yang terbentuk dalam rebiu (di sini, aku maksudkan pengkritik filem) iaini bercampur-campur, pasti ada yang suka dan tidak (rottentomatoes takkan wujud kalau semuanya positif). Itu lumrah sejak dulu lagi dan kini seolah dejavu apabila perkara persis ini hangat diperbidas dalam blog Ajami.

Waktu itu, segala penggelintaran “Sepet” mahupun “Yasmin Ahmad” di google mahupun yahoo membawa kita terus ke blog tontonfilem, skrin dan Ted serta beberapa blog lain yang menulis tentangnya. Suatu promosi tanpa intensi, murah dan agak berkesan. Perkara ini disedari sendiri oleh Yasmin, lalu bertindak membuka lembaran pertama blognya – Yasmin, The Storyteller. Aku masih ingat, Kak Min buta blogging, lalu aku mencadangkan ruangan komen diletakkan di blognya. Hasilnya sangat atraktif, apabila batas jurang antara pembikin filem dan penonton seakan tiada lagi, menjadi lebih dekat malah Yasmin lebih dikenali lebih dalam lagi di kalangan pengikutnya.



Ok, berbalik kepada topik asal, Pakistan’s First Gore Film (itu tagline yang diberikan), sememangnya sebuah filem yang mengejutkan aku. Apatah lagi apabila negara kecil (ditambah lagi dengan budaya praktikal Islam yang lebih kuat dari Malaysia) seperti itu boleh membikin filem bloody disgusting, fantastik seperti ini. Ya, barangkali ada cedukan barat sana-sini, tetapi feel yang terbentuk masih kuat ke’Asia’annya. Musik latar retro 60an menguatkan lagi pacing serta kegilaan filem ini.

Seperkara yang mengejutkan lagi aku ialah istilah dialog “Fuck” dipertuturkan menjadikan filem ini keluar dari terma filem horror Asia, dan aku tidak pernah memandang perkara ini sebagai pro-barat. Itu realisme malah relatif masyarakat dunia masakini. Soalnya, filem kita sampai bila lagi mahu hipokrit, kononnya malu untuk menyebut “fuck”, walhal realitinya menjadi sebutan harian. (Kau tak sebut? Fuck you laa brader.)

Perkara kedua yang seronok lagi tentang skrip filem ini ialah elemen splaterstik yang diserapkan, yang sangat penting dalam filem gore sebegini. Tanpa pretensi, mengada-ngada, malah Omar Khan tahu di mana, bila komedi itu patut diserapkan (rujuk: parodi Maknyah yang datang menggoda mereka secara tiba-tiba sewaktu Van mereka terhenti – oh aku gelak gila-gila kerana belum ada lagi filem horror menjukstapos elemen maknyah seingat aku). Dan runut alunan tabla seakan memberikan debaran sekaligus lawak gelap yang menjadi-jadi.

Pun begitu, di sini jelas, Omar Khan adalah peminat Horror sejati (khususnya subgenre Zombie, Supernatural dan Slasher), apabila salah seorang watak dalam filem ini merupakan peminat filem horror (lakonannya menggegarkan). Malah, filem ini dilihat sebagai komentar sosial, secara sinikal, menyindir kebobrokan institusi pemerintahan serta satira terhadap prejudis radikal keagamaan (watak villain “burkaman” itu adalah sindiran – oh dia sangat brutal). Juga menyingkap krisis pencemaran air Pakistan yang kritikal, termasuk isu konsumerisme (oh itu pokok utama point filem zombie bukan?). Itu yang aku sedar.

Tahap gorifikasi, juga violence, serius membuatkan aku cemburu, meskipun aku bukan pembikin filem tempatan, tetapi mengenangkan nasib filem horror Malaysia di arena antarabangsa, selagi had pengklasifikasian kita belum mencapai standard dunia. Apa jadahnya rating 18SG, kalau itu ini begitu begini tidak boleh? Adakah 18 tahun kita belum lagi mencapai standard maturiti ‘penuh’ untuk membezakan fiksi dengan realiti? (ok ini dah berbuih mulut aku cakap sejak awal dulu, malas lagi dah).

Apapun, Zibahkhana adalah sebuah filem yang agak bermutu (dalam idiom horror-splatter, lagi-lagi ia dibikin sepenuhnya di Pakistan), irespektif pengulangan tema serta cedukan (anggapkan sahaja referens), malah Pakistan sudahpun memasukkan nama mereka ke dalam “United Nation of Zombiehood”. Disyorkan sepenuhnya kepada kau orang yang ingin melihat filem zombie-slasher luar dari Hollywood dibikin. Bawa bersama keseronokan itu dan jangan ambil serius dengan plotnya.



*jahat & kotor - apabila di"haram"kan dari dilayari di pejabat Fadz. Sampaikan salam "Fuck You" untuk IT administrator kau, dengan ucapan "Tok amereka la ban2 nih". Haha.

No comments: