20 November 2008

Mari Belajar ABC... of Horror



Masters of Horror - The Ultimate Shockumentary Collection

Ok, baru selesai tonton. Aku teruja. Tapi yang paling ketara ialah malu. Ya, kerana aku sebelum ini sibuk menjulang modern-horror, bercakap tentang originaliti, itu-ini, tanpa mengambil kira pembikin horror klasik (banyak lagi filem klasik, terutamanya dari garapan mendiang Mario Bava yang belum aku tonton). Aku sibuk memuji para pembikin baru (modern-horror) sedangkan mereka semua itu ibarat cermin imbasan kepada para veteran horror ini.

DVD shokumentari yang diterbitkan pada tahun 2000 ini tidak ada kena mengena dengan kompilasi Masters of Horror (2005) ciptaan Mick Garris. Ia dikeluarkan 5 tahun sebelum. DVD ini adalah satu tribute terhadap 3 pembikin filem iaitu Argento-Bava-Carpenter = ABC of Horror Maestros lalu mendokumentasikan falsafah serta segala temuramah serta memuatkan beberapa klip-klip hebat dari beberapa filem mereka.

Baik, aku akan ceritakan satu-persatu untuk dikongsi.

Dario Argento – An Eye for Horror

Menonton segmen pendek (berdurasi 50 min) seolah-olah menceritakan segala yang kita perlu tahu tentang dirinya. Sangat informatif. Di sini, aku senaraikan beberapa faktor yang aku baru tahu dan kau orang juga patut tahu tentangnya:-

1) Dario Argento memulakan karier sebagai Pengkritik Filem.
2) Filem Suspiria adalah Top 3 pilihan John Carpenter dan George A. Romero, dan menjadi filem paling influential buat filem horror seluruh dunia.
3) Beliau tidak pernah sukakan aktor/aktres. Sehinggakan anaknya Asia Argento (yang juga seorang aktres) tidak pernah diakuinya sebagai seorang aktres.
4) Seorang pembikin yang langsung tidak menitikberatkan lakonan (menyerah bulat-bulat pada pelakonnya), tetapi lebih menumpukan angle atau pergerakan kamera. Baginya, teknik kamera adalah nyawa filem (feel atau atmosferik horror akan terbentuk).
5) Tak suka apabila diberi jolokan "European’s Hithcock". Menegaskan bahawa beliau tidak pernah menjadikan Hitchcock sebagai referens karyanya. Beliau adalah Argento dan ingin dikenali sebagai Argento (tipikal euro huh?).
6) Menjadi pujaan Alice Cooper.
7) Menafikan tuduhan eksploitasi wanita dalam filem-filemnya (apabila majoriti mangsa bunuh ialah wanita). Sentiasa bertegas bahawa ada juga beberapa mangsa lelaki dalam filemnya. Bukan semua wanita.
8) Pernah berkolaborasi bersama George A. Romero dalam beberapa filem.
9) Family-oriented. Lebih suka filemnya diurus dan diterbitkan sendiri oleh kalangan keluarganya.

Sebenarnya, banyak lagi perkara lain yang aku sedar. Antaranya, teknik torture menggunakan dawai yang digarap Takashi Miike dalam Audition adalah referens langsung filem Trauma (1993), menjadi pembikin groundbreaking sinema ekstrim Itali melalui brutalifikasi serta gorifikasi, manakala Suspiria pula dijulang sebagai “The Most Beautiful Horror Film Ever Made” dan diakui beberapa pembikin dan pelakon horror lain yang ditemuramah dalam dokumentari ini.

Selepas menonton segmen ini, aku menjadi lebih berganda cemburu melihat foto Amir Muhammad bersama Dario Argento.

Segmen seterusnya.

Mario Bava – Maestro of The Macabre

Aku percaya, ramai yang tak kenal nama ini. Ya, kerana riwayat pembikin filem ini sudahpun berakhir pada tahun 1980. Beliau adalah pembikin klasik Itali. Penglibatannya dalam sinema Itali tidak hanya terhad dalam genre Horror. Tetapi, nama beliau lebih mesra dikalangan peminat horror.

Sebetulnya, segmen ini agak sedikit membosankan. Agak mendatar (mungkin aku diterujakan terlebih dahulu dengan Argento?). Tetapi masih tetap informatif. Menontonnya buat aku kenal lebih spesifik lagi akan pembikin ini.

Terus-terang, banyak filemnya yang aku belum tonton. Seingat aku barangkali cuma satu atau dua, iaitu Black Sabbath dan Diabolik – itupun waktu aku masih kecil (80an) dan tak kenal apa-apa selain takut melihat imej beberapa lelaki gothik bertutup kepala melakukan ritual seorang wanita yang diikat lalu dibakar.

Filem Planet of The Vampires (1965) adalah satu contoh filem yang menjadi referens langsung filem Alien (1979) karya Ridley Scott (hebat diperkatakan bahawa Ridley Scott sebenarnya menciplak filem ini, istilah ciplak dilabelkan kerana Ridley langsung tidak mengaitkan ataupun memberi homage filem tersebut). Ini buat aku keliru, kerana setahu aku, Alien adalah ciptaan asli Hollywood. Rupanya tidak.

Tim Burton (Sleepy Hollow) dan Joe Dante (Gremlins, The Howling, Screwfly Solutions) iaitu salah seorang pembikin modern-horror adalah peminat sejati Mario Bava. Ada beberapa segmen temuramah beliau turut diselitkan. George A. Romero dan John Carpenter serta beberapa pengkritik filem juga terlibat memberikan pandangan mereka terhadap Mario Bava.

Seperkara lagi ialah, Bava merupakan orang yang bertanggungjawab mencetus erotisme ke dalam horror. Banyak klip yang dipertontonkan menimbulkan keghairahan aku untuk mencari DVDnya (haha).

Akhir kata, pembikin underrated ini adalah referens besar pembikin masakini, cuma tidak banyak diwar-warkan tentangnya.

Okay, habis kisah Bava, kita ke segmen terakhir.

John Carpenter – Fear is Just The Beginning

Kalau nama gigantik ini tak familiar buat kau, tak usah kau mengaku sebagai peminat horror, pathetik dan kau boleh blah. Ini antara nama penting sinema horror dunia. Nama yang bertanggungjawab, yang banyak menguatkan dan menaikkan semula sinema horror Hollywood ke mata dunia (oh selepas Tobe Hooper membawa pembaharuan subgenre pos-moden slasher selepas era Hitchcock).

Untuk John Carpenter, sepertimana Dario Argento, aku juga akan menyenaraikan beberapa faktor yang aku baru tahu dan kau orang juga patut tahu tentang beliau:-

1) Karier asal beliau adalah pemuzik dan komposer, tetapi jangan keliru kerana beliau tidak ada kena-mengena dengan The Carpenters.
2) Filem Halloween sebenarnya merupakan filem bajet keluaran beliau yang cuma bermodalkan USD 300,000, akhirnya mendapat pulangan kasar sebanyak USD 75 juta.
3) Rob Zombie adalah peminat besar John Carpenter. Ironinya, Rob juga asalnya seorang pemuzik yang bertukar karier sebagai pembikin filem.
4) Kata George A. Romero dalam temuramahnya, Halloween ialah sebuah filem horror yang hampir seratus persen sempurna dari segala sudut. Dari struktur plot, sinematografi hinggalah ke watak-wataknya. Paling unik dan menjadi ialah latar muziknya yang juga dikompos sendiri oleh Carpenter. Dan Halloween adalah filem paling influential untuk subgenre ini.
5) The Thing adalah filem yang paling mendapat reaksi negatif audiens asalnya, berikutan keekstriman serta gorifikasi yang tinggi dipaparkan. Akibat terpengaruh dengan emosi, John Carpenter akhirnya membikin filem yang lebih ‘soft’ horrornya, iaitu Christine (1983) (kolaborasi pertama beliau bersama Stephen King) seterusnya filem sci-fi Starman (1984), filem komedi gelap Big Trouble in Little China (1986) (Aku masih ingat poster filem ini menjadi hiasan bilik aku waktu aku kecil dulu, dan aku sangat suka akan watak cool Kurt Russell). Namun, beliau kembali dengan gore melalui filem They live! (sebuah homage Invasion of Body Snatchers yang lebih witty).
6) Orang yang bertanggungjawab membawa Jamie Lee Curtis menjadi terkenal.
7) Ini kata aku : “Albert Einstein of Horror” – kerana beliau ada iras Einstein – tak percaya kau boleh lihat sendiri fotonya.

Ok, itu saja serba-sedikit yang aku boleh kongsi dengan kau orang. Ia sebagai apresiasi terhadap para pembikin horror ini. Rekomendasi tinggi untuk ditonton dan ditelaah bagi mereka (orang tempatan) yang bercita-cita untuk menulis skrip mahupun membikin filem seram.

Dan DVD ini adalah satu introduksi yang efektif dalam method “Mari Belajar Mengenal ABC... of Horror”, semestinya.

No comments: