03 February 2009

Changeling (2008) : "The Curious Case of Walter Collins"



Sedikit nota awal.

*Rebiu ini lebih efektif kalau kau sudahpun menonton The Curious Case of Benjamin Button (CCOBB) (sekalipun kau belum tonton lagi Changeling). Tetapi, tak apa, kerana kau tidak perlu susah payah buang masa dua jam setengah menonton CCOBB, semata-mata nak tengok Brad Pitt kembali remaja, serius.
**Angelina Jolie dan Brad Pitt adalah pasangan suami-isteri. Pak Imam kampung kau orang pun tahu pasal ini, aku percaya.

Ada beberapa keironikan tentang Changeling dan CCOBB. Pertamanya, kedua-dua buah filem ini berlatarkan konsep 1920an. Keduanya, berkisahkan tentang ‘anak’. Dan ketiganya, ialah ada babak (kedua-dua) karakter utamanya tertinggal tren. Tetapi, untuk Changeling, babak ketinggalan tren itu merupakan signifikan plotnya. Untuk CCOBB pula, babak itu tidak penting, walaupun si Benjamin terpaksa berhempas pulas berjalan kaki berbatu jauhnya balik ke rumah (gara-gara nak sangat kenal dunia luar).

Ok, itu tentang ironik. Perlu diingat, tidak ada sebarang unsur fantasi dalam Changeling. Angelina Jolie, yang membawa watak ibu tunggal tidak mengalami evolusi songsang. Begitu juga dengan anaknya. Mereka berdua normal. (**Malah, Angelina boleh sahaja mengejek Brad seraya berkata : “Kau jangan mimpi nak jadi muda remaja, realitinya kita ini semakin tua bang”.) Kisah penculikan juga satu perkara normal, baik dalam fiksi mahupun realiti. Yang tidak normalnya ialah badan kepolisan, kakitangan hospital sakit jiwa termasuk doktor psikatri, si budak yang mengaku anaknya, dan termasuklah penculik (Gordon Northcutt) anaknya itu. John Malkovich juga normal (dengan accent ikonik beliau sudah pasti).



Filem ini tentang konspirasi, korupsi dan menyentuh isu hak asasi manusia (di samping intensi pembikin untuk membuka kembali sebuah sejarah gelap Amerika). Tema itu klise, namun digarap sempurna, secara crafty di tangan sutradara auteur Clint Eastwood. Sesungguhnya (sejak Mystic River, Million Dollar Baby) beliau adalah pembikin yang tahu di mana, dan bagaimana emosi (di sini, Eastwood boleh mencipta sebuah atmosfera pilu dan sayu, secara idiosyncratic, membuatkan kita turut sama menangis bersama protagonisnya). Perkara ini dikontras baik dengan ketegangan (provokatif) melalui struktur melodramanya. Bagaimanapun, melodrama itu tidaklah meleret-leret sepertimana sebilangan besar yang ada.



Changeling juga sebenarnya menyimpan satu cita-cita tinggi menjadi sebuah filem archetypical epic (dalam subgenre kriminal) sepertimana Godfather (1972), Once Upon A Time In America (1984) dan yang terbaru American Gangster (2007) . Bagaimanapun, ia tampak tidak kesampaian walaupun segala bentuk elemen thriller masih digarap sempurna, lebih-lebih lagi di tangan Jolie (seperti aku, kau orang harus setuju, bahawa hanya Jolie yang cocok untuk wataknya). Sebelum aku lupa, Eastwood tidak lupa akan homage terhadap filem eksperimental awal dunia oleh adik beradik LumierreArrival of Train at La Ciotat (1895). Ya, ada satu shot persis filem itu, yakni sewaktu Christine dipertemukan semula dengan (kononnya) anaknya, yang sudah lama hilang itu. Keseluruhan, filem ini masih aku anggap baik (malah menggunung tingginya lebih baik berbanding CCOBB yang tidak berimpak) tetapi bukanlah antara yang terbaik bikinan Eastwood.



Sebagai nota akhir, khusus buat ibu kepada adik Sharlinie yang masih hilang (jika puan terbaca tulisan ini), tiada kata lain lagi dari aku selain bersabar dan tidak ada salahnya jika “harapan” itu masih tersimpan di lubuk hati, sepertimana line akhir dalam filem ini.

No comments: