19 January 2009

The Curious Case of Benjamin Button (2008)

"Aku tak perlu Botox untuk kelihatan muda"

Filem ini punya ambisi besar dengan mengambil porsi tentang cinta/romantisme, lalu mengadunnya bersama realisme dan (ironinya) fantasme. Hasilnya? “Karutisme”. Ini merupakan masalah utama filem ini kerana ia TIDAK pula bersifat fairy-tales, sebagaimana kisah-kisah fantasi/magikal sentuhan Tim Burton seperti Big Fish (2003), Charlie & The Chocolate Factory (2005) mahupun Sweeney Todd (2007) baru-baru ini. (Barangkali, filem ini lebih meyakinkan di tangan Tim Burton berbanding David Fincher yang aku kenal sebelum ini melalui Se7en (1995), Fight Club (1997), di sini seperti juga gandingan Burton-Depp, ironinya, Fincher-Pitt adalah satu lagi contoh kolaborasi atau sebetulnya keserasian sutradara dengan pelakonnya). Filem ini juga mencuba sedaya upaya mencari kesempurnaan (melalui jukstaposisi acuan itu), dengan membawa kisah advencer seorang lelaki bernama Benjamin Button, yang dilahirkan ‘tua’ seterusnya mengalami proses evolusi songsang yakni semakin muda. Riwayat ini diceritakan melalui narasi (bacaan diari) seorang wanita muda yang sedang menemani ibunya terlantar tenat di hospital. Si ibu tua itu adalah kekasih Benjamin Button (itu boleh kita prediktasikan, kerana ia agak tipikal). Namun filem ini, secara automatis, berjaya memaku kita untuk mengetahui lebih lanjut tentang kisah ‘manusia istimewa’ ini.

Sebenarnya, aku sudah lemparkan jauh akan ketidaksaintifikan kisahnya. Namun, seperti yang aku katakan awal, ia masih terasa semacam tidak kena walaupun aku sedar dan akui bahawa filem ini sangat berkesan dalam membawa pelbagai falsafah manusiawi, anti-perang, lantas menyedarkan kita akan pentingnya apresiasi kehidupan (aku sangat suka akan line kuat ini : “Did I ever tell you I been struck by lightning seven times?”) mahupun membingkai sebuah sisipan moral yang besar tentang erti sebuah kasih dan pengorbanan. Ia sepertimana kisah-kisah manusia istimewa seperti karya David Lynch dalam Elephant Man (1980) serta filem (underrated) Powder (1995) tentang seorang albino yang memiliki akal kebijakan serta psikik. Dalam filem ini, Benjamin Button masih menuruti dwi-tumbesaran tersebut, bezanya pada zahirnya sahaja (pembukaan awal filem ini persis filem animasi Meet The Robinsons (2007) apabila Benjamin menjadi bayi buangan, dengan cara diletakkan di atas tangga). Malahan beliau cuma manusia biasa, lantaran punya sifat kanak-kanak secara batiniah. Di fragmen awal ini, kita juga turut sama merasai dilemma besar yang dihadapinya. Bagaimanapun, kelonggaran struktur kisahnya semakin lama semakin kuat terasa tatkala Benjamin itu meningkat dewasa (walaupun sepatutnya dibaca sebaliknya). Kisah romantika itu hampir sekali tiada impak, apalagi menyentuh ke dalam lubuk hati terutama pengkonklusiannya. Ia masih sempurna, namun tetap kita anggap konvensi. Ia tidak sehangat kisah Jack dan Rose dalam Titanic (1997) sepertimana Rose menyemadikan cintanya (kalung) ke lautan atlantik. Filem ini kekurangan impak emosi sedemikian. Ya, emosi, kerana itu dasar utamanya. Amat sayang sekali, oleh kerana (kekurangan impak) itu, lalu ia mulai goyah, kerana kita akan mula ragu dan ‘merungut’ tentang logikalnya kisah manusia yang belum tentu wujud satu dalam sebillion ini.

No comments: