15 January 2009

Slumdog Millionaire (2008) : Spektakular, ringkasnya.

Daripada sejumlah 1.1 billion populasi penduduk India yang dirangka tahun sudah, tiba-tiba nama "Jamal Malik" menjadi sensasi, terkenal bahkan disanjung tinggi. Segalanya kerana program “Who Wants To Be A Millionaire” versi negara tersebut. Ya, cuma tinggal satu sahaja soalan (terakhir) untuk anak muda yang berlatarbelakangkan 'budak jalanan' itu bakal mengaut 20 juta rupees, justeru melangkah keluar sebagai jutawan. Bagaimanapun, ia tidak menjadi mudah, kerana sebaik sahaja episod finale itu ditunda keesokan harinya, malangnya beliau disoal-siasat oleh pihak polis secara sadistik berikutan kesangsian yang wujud. Malah lebih teruk lagi, beliau dipaksa keras untuk membuat pengakuan 'menipu'. Sedangkan beliau tidak. Lalu cerita ini bermula.

Sepersatu, filem ini mendekonstruk dengan cemerlang, bagaimana soalan demi soalan yang dikemukan dari program tersebut berjukstapos dengan kehidupan getirnya sejak kecil lagi. Lalu kita diimbas semula akan sejarah hidup Malik dan dibawa menjelajahi liku-liku sosial gelap India, mengenal kedaifan sosial masyarakat jalanan ‘Slum’ di kota Mumbai, sepertimana jendela realisme yang dibuka luas Mira Nair suatu ketika dahulu melalui Salaam Bombay! (1988) serta savour kuat dari mainan sinematografi spektakular penuh visualistik ala Cidade De Deus (dir. Fernando Meirelles, 2002). Malah, skripnya yang solid, membawakan kisah tiga generasi secara dekonstruktif, sepertimana pembentukan watak Salvatore (Toto) dalam Cinema Paradiso (1988) yang sangat efektif serta character-driven, dijustifikasikan dengan beberapa subplot yang hebat benar-benar memberikan sebuah ruang tontonan yang edgy. Ya, benar, filem ini dikecam sebilangan besar pro-Bollywood (ia seolah-olah sebuah deja vu akan garapan neo-realis Mira Nair itu). Buktinya, aktor ikonik Hindi Amitabh Bachchan turut mengkritik hebat akan filem ini, dalam terma realisme kotor yang divisualisasikan. Ironinya, watak off-screen (rujuk sekuens Malik full-of-shit yang penuh bersemangat cuba mengambil autograf beliau) turut terselit, serta beberapa klip dari filem-filem klasik homage lakonannya (yang juga turut menjadi salah satu soalan program tersebut). Untungnya, kesemua ini adalah sinonim dengan kehidupan yang dilalui Malik.



Filem ini turut menyelar kebobrokan badan kepolisan, dalam konteks rasuah, method integorasi, gengsterisme, prejudis kaum serta keagamaan. Walaupun di tangan Danny Boyle (28 Days Later, Sunshine), sebenarnya masih tidak lupa akan ramuan estetik Bollywood (buat para penggemar klasik Hindi, melalui skor musik serta pembentukan emosi). Masih ketara, bagaimana emosi itu cuba dibangunkan secara prolifik tanpa perlu ada sebarang unsur exquisite fantasme. Malah, semangat filem Hindi itu masih benar-benar ‘terasa’, lebih-lebih lagi di fragmen konklusi. Penutupan tarian akhir itu jelas merupakan wit sebenar filem ini, yang boleh membuatkan para audiens tersenyum lebar melangkah keluar panggung. Di sini kita sedar bahawa inilah filem Hindustan yang selama ini dunia (neo-realis) mahukan, barangkali sebuah revolusi industri biarpun di tangan bekas penjajah koloni mereka (British) sendiri (mungkin itu juga yang dikhuatirkan Bachchan) yang akhirnya membolot empat anugerah paling berprestij di Golden Globes 2009 beberapa hari sudah. Manakala untuk Oscar 2009, anugerah Filem Terbaik mahupun Pengarah Terbaik sudahpun di’pra-genggam’.

No comments: