23 January 2009
Repo! The Genetic Opera (2008) : Sebuah Opera Rock
Ini pula tentang gambaran distopian abad ke 21, secara satira, bagaimana organ dalaman manusia dijadikan satu bentuk bisnis, diberi ‘pinjaman’ oleh sebuah syarikat besar yang menjalankan perniagaan itu, namun harus dibayar secara ansuran termasuk faedah. Gagal bermakna ajal. Sang Repo (sepertimana ah long dalam loan shark) akan datang menuntut dan merampas organ itu kembali. Ya, tanpa sebarang belas kasihan. Kalau organ yang disewa itu jantung, maka jantunglah yang dirobek lalu dirampas kembali. Siap tercetak serial number nya sekali, maka tidak timbul soal penipuan di situ. Mereka ada bukti hakmilik. Sedikit sebanyak, ia suatu sindiran terhadap institusi kewangan masakini.
Itu serba sedikit tentangnya.
Struktur naratif filem ini hampir seratus persen melalui musikal (yakni dialog dan juga gaya penceritaannya yang kadangkala dibuat secara lakaran komik). Ya, filem ini adalah filem horror musikal. Sebuah Rock-Opera sebetulnya, sepertimana The Rocky Horror Picture Show (1975) (Ia tidak mungkin setanding filem berstatus cult tersebut kalau hendak dibandingkan, sekurang-kurangnya ia perlu masa yang panjang untuk dijulang kerana filem cult tidak semudah itu untuk dilabelkan). Genre musik banyak membezakan kedua-duanya. Repo! lebih ke arah Heavy Metal Rock, Industrial mahupun Grindcore yang di dekonstruk cantik, serta di sinkronisasi elok dengan irama klasik opera. Bagaimanapun, sebenarnya filem ini punya masalah tempo. Aku cuba mencari momentum tontonan, yang adakalanya turun naik, malah ada sesetengahnya sangatlah membosankan (mungkin filem ini bukan citarasa aku walaupun level komposisi gore & violence tinggi). Bagaimanapun, filem ini bangkit semula di penutupnya, sewaktu persembahan opera akhir di konklusi. Sekaligus, sebagai penyelamat akan keseluruhannya.
Apa sekalipun, percubaan Darren Lynn Bousman (sutradara Saw 2 – 4) melalui skrip yang diadaptasi oleh Darren Smith dan Terrance Zdunich, sekurang-kurangnya membuktikan bahawa dia juga mampu mengemudi akan konsep sebegini malah sewajarnya diberi salutasi tinggi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment