27 January 2009
Sheitan (2006) : Si Setan Kelakar
Sepatutnya aku tonton filem ini terlebih dahulu sebelum Frontiers (2007) dan Inside (2007) kalau mengikut susunan rilisan. Oleh kerana masalah teknikal (kononnya), terlalu skeptikal dengan judul, apalagi filem ini merupakan debut sutradara baru Kim Chapiron (tanpa mempedulikan nama Vincent Cassel terpampang besar di poster filemnya) aku lantakkannya ke tepi. Ini berlarutan sehingga aku lupa langsung akan filem ini. Akhirnya, setelah melihat senarai 10 terbaik Iqbal (teman horror kita dari NY) terselit judul Sheitan baru-baru ini di group SSFS, aku langsung mencari semula filem ini (sebenarnya aku cover line, aku cakap kononnya dah lama aku cari, padahal aku malas cari – mudah kata, aku ego lah). Untuk itu, aku harus berterima kasih kepada Iqbal kerana highlight beliau akan filem ini secara tak langsung.
Ok, untuk filem ini, mari kita buat sedikit analisa (secara elementari, bersifat bebas, tentang sinema horror Perancis).
Sebenarnya ada sedikit perbezaan nyata antara sinema Perancis dengan Hollywood, tak kiralah genre apa sekalipun. Sinema Perancis lebih memberi kelonggaran dalam aspek seks, khususnya paparan eksplisit/grafik genital. Ini tidak begitu lazim lagi mesra audiens untuk sinema Hollywood (bukan soal mainstream di sini – penonton Perancis juga mainstream). Ironinya, elemen violence lebih tegar dalam sinema Hollywood, sedangkan Perancis tidak. Perancis hampir tidak terlibat dalam kancah sinema ekstrim sewaktu monopoli Itali (sejak 60an – Sergio Leone - Spaghetti Western, barangkali?) sehingga kegemilangan era 70an (di sini, peminat horror dunia telahpun kenal Mario Bava, Lucio Fulci, Dario Argento), melalui sinema eksploitasi, giallo, blaxploitasi, seksploitasi, mondo-cinema, kanibalisme dan sebagainya. Bahkan era 70an, menyaksikan banyak genre drama, erotik, komedi hitam, serta genre thriller-surreal diterbitkan Perancis, buktinya Luis Bunuel masih giat membikin filem walaupun usia filem pertamanya (merupakan filem surreal pertama dunia) berjudul Un Chien Andalou (An Andalusian Dog) yang terbit pada tahun 1929 sudah hampir menjangkau 50 tahun ketika itu. Usah dibayangkan usia beliau. Sinema Perancis lebih bergenre drama, thriller, komedi romantik, erotik baik yang hitam mahupun separa hitam. Nama-nama seperti Francois Ozon, Patrice Chereau, Catherine Breillat hanya timbul sewaktu awal 90an melalui garapan drama yang lazimnya berbentuk thriller serta paparan seks eksplisit oleh para protagonisnya.
Tetapi kini segalanya sudah berubah. Sinema horror Perancis seakan melalui sebuah revolusi besar. Sudahlah mereka tidak ada had ranjang (pendeknya, mereka tak malu berbogel), kini violence pula disuntik padat. Hasilnya, pembikin perancis kini boleh berdiri sebaris di depan, malah barangkali di hadapan sekali. Orang kata dalam filem "sex sells" – itu mereka sudah jual dari dulu, kini, gore & violence sells – itupun sedang rancak kini (baru-baru ini filem Martyrs (2008) dikatakan antara paling meninggalkan kesan disturbing, pernah dibikin). Yang pasti, kita sebagai audiens hanya mahu melihat violence dalam fiksi, bukan realiti. Sudah tentu kita bencikan keganasan di luar. Maka, filem bertindak sebagai sebuah dimensi, pembuka mata dan suara untuk kita menilai skala keganasan itu. Ironinya, ia buat kita 'takut' dan lebih penting buat kita sedar (akan ketidaksignifikan keganasan itu). Itu belum kita bercakap tentang moralnya lagi.
Sheitan, sebuah genre splatter yang disadur elemen komedi gelap secara pra-sedar, sebenarnya hanyalah sebuah filem slasher lazim kalau diukur secara rambang, apalagi bila kita membaca sinopsisnya. Namun, 'semangat' kuat filem ini ialah pada directing serta dinamiknya karakter yang dibawa Vincent Cassel (aku hampir tidak percaya dia boleh membawakan watak penuh gila-gila itu) dan ohh, si watak (penuh manusia – ya, dia mahu seks dan seks sahaja) Bart yang bodoh dan baran (tak kena tempat) itu juga. Strukturnya juga mudah, cuma barangkali masalah pacing yang merudum di fragmen tengah (untungnya kita dihiburkan dengan drama-drama kelakar mereka di rumah itu), akhirnya dibangkitkan seratus persen di kemuncak finale. Sheitan masih boleh kita anggap produksi horror slasher yang segar Perancis, dan secara ringkas (sebab aku dah penat menulis) aku boleh quotekan sebagai "ludicrously enjoyable".
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment