02 July 2008

Outpost (2008)





Kalau aku diberi peluang untuk jadi pengarah filem ini untuk remake dalam versi Malaysia, aku akan buat "Zombie Askar Jepun". Kenapa tak? Bukankah dulu kita sering didengarkan dengan kisah-kisah mitologi seram askar jepun – Antaranya hantu jepun tak berkepala (ala Hantu Jeruk Purut), berkawad, pancung kepala orang dan sebagainya? Kau gelak? Nanti dulu. Usah terlalu pesimis. Buangkan skeptisme itu. Biar aku ambil filem Outpost ini sebagai contoh dan terangkan kenapa kita juga boleh bikin (biarpun aku tak ada bakat langsung bikin filem).

Tema besar filem produksi UK ini bermesejkan anti-perang (selepas era pos-WWII). Kita mungkin tidak sedar, kerana ia dibikin bukan sekadar apresiasi horror, tetapi infernaliti perang itu sendiri secara komprehensif. Persetankan segala aspek absurditi dalam komposisi plotnya iaitu bagaimana roh askar-askar Nazi itu bangkit secara supernatural menjadi sebuah angkatan zombie, justeru bermatian menjaga kubu kuat mereka, lalu membunuh kesemuanya dan lebih malang lagi mereka tidak boleh di'mati'kan lagi.

Filem ini juga barangkali memupuk kesedaran tentang bahaya akan fahaman fasisme (kerana eksperimentasi "membunuh dan menghidupkan kembali" yang dilakukan oleh tentera Nazi yang digarap dalam plotnya itu ada sensibilitinya), maka sedikit sebanyak memberi kesan bundar terhadap dunia pos-9/11 masakini. Mungkin juga satu satira sosial-politik, mempersenda secara sinikal Amerika mahupun Britain (oleh kerana negara-negara ini lebih 'ke hadapan'status teknologinya tatkala ini) serta atas penaklukan Afghanistan, Iraq justeru memberi mesej halus lagi kritis, agar tiada lagi siri penaklukan bobrok mana-mana negara lain dalam apa jua situasi (rujuk pengakhiran filem).

Outpost mengambil beberapa gaya serta formula (atau barangkali homej) Dog Soldiers serta Deathwatch, ataupun aku boleh katakan menjadi sebuah versi gabungan kedua-duanya. Tetapi plotnya tidak berkait langsung – masih original walaupun keseluruhannya masih di tahap mediocre (walaupun ada beberapa sekuens seram yang asli dan menguja : rujuk babak awal mereka bertemu dengan segerombolan mayat askar-askar Nazi di sebuah bilik itu)

Maka untuk filem versi Malaysia pula, kau mungkin sudahpun dapat bayangkan bagaimana ia sepatutnya dibikin (yang pastinya jauh lebih sederhana), berbeda mengikut cerita-cerita seram hantu jepun yang aku sebut awal tadi. Tetapi yang penting tema mesejnya tetap sama.


"Aku dah cakap. Jangan datang sini. Kau degil"

No comments: