29 July 2008

I Am Omega (2007)

Pertamanya, seperkara penting yang kau perlu tahu ialah filem (versi direct-to-video) ini sebenarnya telahpun dikeluarkan awal sebelum Will Smith meledak di pawagam dalam I Am Legend (2007). Maka berita baiknya ialah isu "rip-off" (siapa cedok siapa) tidak perlu timbul, kerana produksi kedua-duanya dijalankan serentak.

Filem ini diinspirasi dari filem The Omega Man tahun 1971 - yang juga sebenarnya berdasarkan novel Richard Matheson – I Am Legend. Justeru, aku percaya kau sudahpun boleh membayangkan apa isi filem ini, itupun kalau kau ada menonton filem I Am Legend, lewat tahun sudah.

Terus terang, aku suka filem ini. (Maka rebiu ini akan lebih ke arah positif). Walaupun kau boleh “kecam” lalu menyenaraikan pada aku segala ratusan kebodohan serta kenjengkelan yang ada (mungkin kau akan kata filem ini adalah segalanya tentang B-Movie, cheapskate, pelakon entah siapa-siapa, make-up serta special effects zombie-zombie termasuk sound editing yang oh sungguh kelakar – oh tapi filem ini punya sinematografi yang baik), tapi aku tetap suka.

Barangkali kerana ekspektasi kecil yang aku letakkan. Walaupun aku harus akui, rasa skeptikal yang tidak lagi dapat dibendung, kerana aku sedar, masa aku akan terbuang lagi, tetapi agak mengejutkan kerana sepanjang tontonan, aku nyata terhibur dengan gaya survival apokaliptik dari protagonis penuh depresi ini (dalam segala macam perasaan yang bercampur-baur).




Filem ini ada semangatnya tersendiri. Punya roh, jiwa serta emosi yang sebenarnya aku tidak ketemu dalam I Am Legend (2007). Sebenarnya aku lebih ‘senang’ dengan versi ini berbanding versi mainstream Will Smith walaupun kau anggap solid. Mungkin tidak wajar kalau dibuat perbandingan, dari sisi teknikal, kerana aku sedar, itu filem blockbuster dengan US200 juta besar bajetnya. Aku percaya filem ini akan menjadi jauh lebih baik kalau diperuntukkan bajet sebegitu rupa.

Beberapa homage atau reference filem-filem “Dead” juga tidak ketinggalan (rujuk halusinasi ‘radio’ - itu reference filem Night of The Living Dead; gaya zombie/mutant mengejar kereta – Bad Taste; teknik gore dari beberapa filem splatter; gaya Zombie 2 Lucio Fulci yang mucul keluar dari tanah serta beberapa lagi ciri-ciri dark-humour termasuk satira-sosial dari filem-filem “notable” zombie). Aku suka pembawakan watak Mark Dacascos yang mula-mula aku kenal dalam filem Only The Strong, Double Dragon (masih ingat?) dahulu, kerana dari sisi lakonan, karakternya penuh humanisme. Cuma sayangnya mungkin pembikinan skripnya (terutamanya dari pertengahan hingga ke fragmen akhirnya) yang aku rasakan dibuat agak tergesa-gesa.

No comments: