Ada perkara yang lebih serius berlaku di luar sana. Untuk itu, pedulikan perselisihan dalaman politik negara kita, kerana isu ini lebih getir. Ia soal (penindasan) Hak Asasi Manusia melalui akta ISA. Ironinya, negara kita juga mengamalkannya. Tetapi, negara kita mempraktikkannya barangkali bertujuan untuk kepentingan politik semata-mata.
Maka isu Hak Asasi Manusia (Human Rights) ini digarap dalam sebuah lagi kisah pos-9/11 ini. Kisah Extraordinary Rendition ini barangkali bukan diambil terus dari kisah individu yang terbabit, tetapi merupakan sebuah kisah daripada 1000 kisah yang berlaku (atau yang sedang berlaku, tatkala aku sedang menulis manakala kau sedang membaca).
Filem ini dibentuk oleh struktur plot imbauan (penyelangan teknik flashback dan flashforward). Awalnya kita dikenalkan dengan protagonisnya - seorang pensyarah kolej (kemungkinan sejarah atau sosial-politik) berbangsa Arab-Muslim (Zaafir Ahmadi lakonan Omar Bernoudi), diculik lalu diterbangkan ke sebuah negara yang tidak diketahui. Seterusnya beliau dikurung dalam suasana penuh atmosferik serta klaustrofobik, lantas diseksa teruk sewaktu menjalani proses integorasi di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA – Internal Security Act) oleh pihak-pihak terbabit (lakonan penuh 'evil' lagi meyakinkan Andy Serkis – yang kau kenal sebelum ini dengan watak Gollum dalam Lord of The Rings). Ini barangkali berikutan ideologi serta falsafah demokrasi (rujuk babak dialog beliau bersama pelajarnya : "how many times did violent struggle, lead to democracy?") yang membayangi beliau kononnya sebagai seorang teroris Islam.
Seperkara yang 'kuat' untuk filem ini ialah imejan 'gelap' khususnya sewaktu brutaliti proses penyiksaan yang divisualkan (ianya tidaklah terlalu 'disturbing' - kecuali teknik ekstrim penyiksaan "waterboarding"), bagaimana istilah undang-undang itu tidak lagi wujud lagi memberi apa-apa pertolongan (rujuk dialog Serkis dengan nada mencemuh : "Kau ingat kau ada Hak?"), selain hanya berserah dan bertawakal.
Pembikin filem ini banyak menggunakan teknik fast-cutting, teknik hand-held 'kasar' serta sering bermain dengan kontras ton warnanya (yang mana ianya sangat cantik), disulami skor muzik yang berjaya membentuk 'ketegangan' dalam tontonan.
Di pengakhiran filem ini tertera tulisan sebuah fakta yang menyatakan bahawa lebih 1,100 orang telah diculik sejak September 2001, dan Mahkamah Eropah telah mengeluarkan sebanyak 39 waran tangkap terhadap ejen-ejen CIA, sejurus selepas visual demonstrasi sekumpulan umat Islam memprotes di depan kedutaan Amerika di London.
No comments:
Post a Comment