Kembali dengan Asian-Horror. Kali ini Indo-Horror. Seperkara yang menarik perhatian aku ialah kerana nama Jose Poernomo (sutradara bersama filem Jelangkung suatu masa dulu) tercatat di cover DVDnya. Aku sedar, Jelangkung antara filem seram asia yang baik, lalu menontonnya dengan ekspektasi yang agak tinggi (oh tapi tidaklah terlalu).
Dan... aku salah. Naskhah Jose Poernomo kali ini tidak ada apa yang boleh dibanggakan (selepas Jelangkung dan Angkerbatu – aku kata : “apa sialannya sudah jadi dengan anda?” haha). Barangkali tidak keterlaluan kalau aku katakan sebuah “rip-off” filem mainstream hollywood : I Know What You Did Last Summer, cuma bezanya berkonsepkan horror-supernatural, bukan sub-genre slasher.
Maka, segala-galanya bingit, jauh kalau dibandingkan filem Jelangkung yang banyak meminimalkan runut bunyi atau skor muzik yang lebih banyak membentuk kesan psikologi seram. Tetapi aku hairan kenapa untuk filem ini tampak beliau terlalu entusiastik, sangat ambisius, mencuba sesuatu yang sebenarnya boleh disimplisitikan sepenuhnya. Tidakkah beliau belajar dari filem moden Japanese-Horror, yang banyak menggunakan elemen “silence” yang boleh membentuk atmosferik seram secara realisme? Tidakkah “silence” dalam Ju-On itu lebih menyeramkan lagi efektif untuk Asian-Horror? (yang menjadi kekaguman pembikin horror barat?) Jadi, kenapa bising-bising? Lari sana, lari sini, jerit sana, jerit sini?
Seperkara lagi, (oh tidak... tolonglah) tidakkah ada karakter hantu lain yang boleh membuatkan audien terloncat ketakutan? Kenapa harus terlalu obses dengan gaya tipikal hantu wanita berambut panjang, berwajah putih melepak, muncul dari entah mana-mana, merangkak dan yang paling lucu – mencekik? Ini bukan filem Kuntilanak. Ini kisah roh supernatural yang mahu mencari keadilan sosial (haha), lalu membunuh semua manusia yang melewati territorinya. Lucu bangat dong. (Kau boleh rujuk bagaimana prolifik, kreatif lagi penuh halusinasi pengarah Takashi Miike memaparkan roh surrealisme kanak-kanak yang mati dalam filemnya “Box” dengan lebih sederhana, tetapi sangat-sangat ‘berhantu’). Kalau ini filem slasher, mungkin aku boleh maafkan (walaupun tetap akan dianggap rip-off, tetapi satu percubaan baik, kerana tidak menjadi satu kesalahan dalam pinjam-meminjam konsep selagi dibikin dengan gaya asli).
Untuk lebih adil, mungkin penyerapan humor yang diperlawakkan dari beberapa karakter sedikit membantu, tidak lupa juga twisted-ending yang... ya, agak tidak mendukacitakan (kerana ada signifikasi watak hantu itu) tetapi tidak penting, kerana masih tidak berjaya membaikpulih apa-apa di dalamnya.
Diberitakan, sekuelnya sudahpun dikeluarkan. Aku akan tunggu bagaimana pula hasil percubaan kedua beliau.
No comments:
Post a Comment