19 July 2008

State's Evidence (2006)



"The sun rising above the horizon. What a wonderful day to die"

Filem ini mencoretkan (sekali lagi) permasalahan kontemporari remaja amerika, selepas Kids, Bully, Ken Park (dari sutradara sosial-realisme "horror" remaja Larry Clark) serta Elephant dan yang terbaru Paranoid Park dari tangan Gus Van Sant. Barangkali ianya sangat stereotipikal tetapi filem ini ada nyawanya tersendiri.

Ia tentang gejolak depresi para remaja yang membawa kepada penyelesaian ekstrim – bunuh diri. Masalah suisidalisme ini amat serius, apatah lagi apabila ia merebak menjadi sebuah kumpulan, walaupun bilangannya kecil tetapi amat ditakuti. Maka filem ini membawa kita menyelinap masuk ke dalam jiwa para remaja tersebut, satu persatu.

Secara teknikalnya, struktur naratif filem ini amat menarik dibikin. Agak mengujakan ialah perjalanan plotnya yang mundar-mandir, termasuk teknik double shot kamera yang membawa kita memahami situasi yang berlaku sebelum dan selepas dari beberapa angle (gaya yang sama pernah dipraktikkan Gus Van Sant dalam Elephant tetapi lebih 'ringan' dan simplisiti). Juga beberapa shot imejan (lihat signifikasi babak pembukaan awal serta di akhir) , mainan metafora sinematografinya yang banyak menimbulkan ruang mood depresi, serta beberapa simbolisme yang amat menarik untuk diperbincangkan.

Filem ini juga agak sukses mengupas tentang permasalahan ‘kehendak’ remaja, membawa khalayak membongkar fantasisme (apa hajat ‘gila’ kau sebelum mati? Siapa yang kau mahu bunuh sebelum kau bunuh diri?) walaupun tidak diterangkan secara kompleks akan latarbelakang mereka. Kita cuma difahamkan, ada di antara mereka datang dari keluarga disfungsi malah ada yang tidak. Tetapi, itu tidak penting sebenarnya kerana sifat remaja itu sendiri penuh ‘misterius’. Apa sekalipun, di akhir filem ini seakan menjawab segala persoalan, yang barangkali tidak pernah wujud dalam mana-mana filem yang aku sebutkan awal tadi.


"Sebelum aku bunuh diri, aku tak peduli...aku nak jugak buat 'itu'"

No comments: