26 August 2004

Ulasan Filem : Puteri Gunung Ledang (2004)

Oleh Mahhass

Filem yang paling dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia tahun ini telah tiba. Begitu gah sekali poster-poster di jalan-jalan besar hampir di seluruh negara, kain rentang gergasi di sana-sini, artikel promosi samada di akhbar, televisyen, laman-laman web (termasuk laman ini!) malah di mana sahaja begitu ramai yang memperkatakan tentang filem ini. Ada yang sudahpun membuat penilaian awal sesudah menonton trailernya. Tidak kurang juga yang skeptikal terhadapnya.

Apapun, saya sudahpun menontonnya malam semalam di upacara gilang-gemilang di Royal Premiere bertempat di TGV KLCC, atas jemputan saudara Kamal (www.filemkita.com) bersama-sama rakan sepenulisan saya, Fadz (tontonfilem.com) (dan juga GAIA yang datang bersama Yasmin Ahmad). Ucapan setinggi-tinggi terima kasih untuk beliau kerana sudi menjemput saya (dapatlah juga saya merasai pengalaman memijak 'karpet merah' buat pertama kalinya!).

Tema 'feminisme' di Kancah Perfileman Melayu

Jika disorot kembali, sejak produksi Jalan Ampas di awal 50an, kaum lelaki dilihat lebih mendominasi filem-filem (melayu) tempatan. Bagaimanapun, bermula sejak awal 90an (atau mungkin lewat 80an), pembikin filem kita sebenarnya telah berjaya mencipta arus revolusi perfileman tanahair, iaitu dengan menjadikan 'wanita', cinta dan airmata sebagai 'tema'nya. Justeru kaum wanita mula diangkat dan dijulang selaku protagonis (watak utama) untuk sesebuah filem.

Untuk dekad 90an itu, ia bermula dengan nama Isabella (yang setentunya sudah menjadi nama 'cult'), diikuti Syakila yang penuh misteri lakonan Kuza, Riang Tirana, Selubung arahan Shuhaimi Baba, seterusnya Wanita Bertudung Hitam karya Mahadi J. Murat, 'Legenda' Azizah, 'nasi kangkang' Zaleha dalam Perempuan, Isteri dan... karya provokatif U-Wei menyusul pula kemudian kisah anak luar nikah Mas Ayu dalam Black Widow, Sayang Salmah sekali lagi di tangan Mahadi J. Murat, Maria Mariana arahan 'Raja Polis Malaysia' Datuk Yusof Haslam, Rabiah yang kudus dan akhir sekali (secara kebetulannya) filem Perempuan Melayu Terakhir karya Syed Azidi arahan Erma Fatima menutup tirai segala filem yang bertemakan 'wanita' untuk dekad 90an.

Alaf baru, Wanita dan Provokatif

Sejajar dengan alaf baru, filem kita juga menunjukkan arus perubahan baru, iaitu mula berjinak-jinak dengan kisah realisme masyarakat. Ini direalisasikan oleh Osman Ali, sutradara muda berbakat tanahair mula menghasilkan sebuah karya paling provokatif dalam sejarah perfileman melayu. Ia mencetuskan kontroversi serta perdebatan hangat di kalangan pengkritik dan juga penggemar filem tempatan. Filem dokumentari sub-budaya mak nyah, pelacuran dan AIDS ini juga berjaya membuka mata pihak-pihak tertentu, malah turut berjaya memasuki beberapa festival filem antarabangsa walaupun tidak diiktiraf oleh kerajaan kita sendiri. Malang sekali.

Seterusnya, filem-filem 'indie' mula mendapat perhatian. Ia mula menampakkan elemen 'kemesraan' di kalangan mainstream (mereka sudah mula boleh menerimanya) walaupun tidak dikomersilkan namun berjaya meraih perhatian. Seperti mana filem Dari Jemapoh ke Manchestee, Spinning Gasing juga The Big Durian. Bagaimanapun kita akhirnya disogok juga dengan produksi filem-filem besar yang lebih mendominasi pawagam berikutan 'kuasa' promosinya. Seperti filem PGL, promosi besar-besarannya jelas menampakkan pendominasian meskipun ia masih belum lagi dibuka tayangannya (sepertimana Lord of The Rings, Spiderman 2 atau mana-mana filem gergasi Hollywood).

Promosi Gergasi

Ia suatu yang pada dasarnya patut dibanggakan kerana usaha ini membuktikan kesungguhan serta komitmen mereka (tetapi dalam masa yang sama patut dikritik juga – "ada wang semua boleh"). Maka tidak hairanlah jika filem ini berjaya mengaut kutipan 'ekspress' apabila ia mula ditayangkan pada 31 Ogos nanti. Sedar atau tidak, tema 'wanita' (sepertimana protagonis wanita dalam Embun, Paloh dan yang terbaru sekali Maya Karin dalam Pontianak Harum Sundal Malam) sekali lagi menjadi pertaruhan besar untuk filem berbajet paling besar dalam sejarah produksi filem Malaysia.

Rata-rata, pastinya tahu dengan hikayat legenda Puteri Gunung Ledang ini, atau setidak-tidaknya nama puteri itu sendiripun sudah cukup sinonim dengan masyarakat melayu khususnya. Sebagaimana agungnya nama Mona Lisa di barat, begitu jugalah agungnya nama puteri itu. Kali ini, kisah yang ditulis oleh Mamat Khalid dan disutradarai oleh Saw Teong Hin ini, berteraskan cinta dan pengorbanan.

Kemertabatan Bahasa dan Budaya Melayu

Filem ini sarat dengan puitis. Seni bahasa yang digunakan sungguh tinggi. Ia memertabatkan bahasa serta estetika budaya melayu lama ke persada antarabangsa (PGL telahpun memasuki Venice Film Festival 2004). Ia sebuah gabungan drama, romantik, aksi, hikayat, mistik, fantasi, art, 'surreal' malah apa saja unsur yang diperlukan untuk sebuah epik yang bermutu.



Dari segi teknikal, bajet yang besar diperuntukkan sememangnya tidaklah mengecewakan. Lihat sahaja kostum, senjata, penggunaan kuda, CGI efek, koreografi pertempuran serta silat, skor muzik (oleh M. Nasir), sinematografi, kepelbagaian lokasi penggambaran dan yang paling menarik bagi saya ialah casting (pengambilan pelakon) yang akan membuatkan filem epik ini bakal laris di pawagam. Maka tidak mustahillah jika filem ini akan 'bersarang' beberapa purnama lamanya di pawagam-pawagam, bermula serentak dengan hari ulangtahun ke 47 sambutan kemerdekaan tanahair kita.

Keseluruhan barisan pelakon-pelakon hebat (Christine Hakim, Rahim Razali, Alex Komang, Sofea Jane, M. Nasir) dengan watak-watak yang ditampilkan sudah cukup untuk melonjakkan keterujaan menontonnya. Nama-nama besar itu semua sudah cukup menggegarkan. M. Nasir sebagai Hang Tuah membawa watak laksamana beperwatakan tegas tapi 'soft', handal dan sakti tapi melankolik. Watak Sultan Mahmud pula cukup 'gelap' dan sempurna ditonjolkan dan ia dikontras dengan begitu baik sekali melalui watak Bendahara oleh Rahim Razali. Alex Komang sebagai Gusti Adipati Wira Namtani (pemimpin kerajaan Majapahit) yang baran, penuh kesaktian malah di antara lakonan paling cemerlang dalam filem ini selain dukungan penuh 'natural' Christine Hakim yang memegang watak Mbok. Babak 'bunuh diri' merupakan paling dramatik lagi tragis untuk filem ini. Ekspresi wajahnya sudah cukup membuatkan saya menahan nafas seketika menahan kesebakan.

Namun di sebalik kegemilangan itu semua, PGL saya lihat tidak sempurna. Masih ada kekurangan meskipun dianggap kecil, tetapi ia tetap memberikan kesan yang maksima terhadap penontonnya. Bohonglah saya kiranya jika saya TIDAK katakan yang filem ini terlalu meleret-leret, slow-moving, terlalu 'arty' malah kadang-kadang sampai ke tahap 'rimas'. Seolah-olah filem ini bakal menerima nasib sepertimana filem Paloh tahun sudah – filem yang (khabarnya) ‘bermutu’ tetapi tidak mendapat tempat di hati penonton.

PGL dan Kontroversi

Sebahagian paparan juga boleh menjadi kontroversi. Salah satunya ialah babak keganasan kerajaan Islam Demak terhadap Majapahit dan tanah jawa. Ia satu sinikal terhadap dakwah Islamiyah, seolah-olah ekstrimis Islam itu wujud sejak dari zaman itu lagi.

Demak - simbolisme ekstremisTerus terang saya katakan bahawa sesungguhnya saya amat terkejut dengan babak pertemuan Tuah dengan wakil Pangiran Demak (lakonan Azmil Mustapha) sewaktu mendengarkan tutur bicara mereka. Apakah ini satu sentimen anti-Islamik yang cuba dipergambarkan? Adakah yang berjanggut dan berjubah itu senantiasa dianggap ekstrimis? Apakah akan wujud gelombang protes para ulama berikutan daripada babak ini? Sedang negara barat mula menerapkan nilai-nilai keagamaan ke dalam filem mereka, kenapa kita pula mengutuk atau menyindir agama sendiri?

Inilah yang saya katakan perkara kecil tetapi sebenarnya amat besar kesan serta interpretasinya. Janganlah kita terlalu mengambil mudah. Lihat saja bagaimana Mel Gibson sendiri 'menyembunyikan' kesalahan bangsa Roman dalam Passion of The Christ, walhal sejarah membuktikan orang Yahudi dan Rom lah yang bertanggungjawab atas kematian Jesus.

(Fikirkanlah, dan tidakkah kalian sedar, adalah amat memalukan apabila kita sendiri menggambarkan sebuah kerajaan Islam yang agung di tanah jawa suatu masa dahulu itu menakluk semata-mata kerana hajat yang tidak kesampaian untuk mengahwini seorang wanita. Persoalannya, di mana kalian letakkan maruah Islam yang suci itu? Kenapa cinta itu terlalu 'diagungkan' sehingga kita sanggup 'menutup mata' akan perkara ini?)

PGL sebenarnya memberikan tamparan yang sangat hebat untuk kaum lelaki melalui tema feminisme. Cinta yang tergambar walaupun penuh 'subtle' (lihat saja kelembutan Tuah) sebenarnya agak kabur, yang lebih menonjol ialah egoisme wanita (jadi bolehlah saya katakan bahawa watak yang didukungi Tiara Jacquelina sememangnya amat berkesan). Bayangkanlah pergolakan serta peperangan yang berlaku antara tiga buah kerajaan besar yang 'berpunca' dari seorang wanita. Kesetiaan Tuah terhadap sultan juga menemui jalan akhirnya berikutan cinta seorang wanita. Juga jatuhnya institusi kerajaan Melaka selepas itu adalah berpunca dari seorang wanita (walaupun tidak dilayarkan ke skrin). Seperti yang saya katakan di awal ulasan ini, bahawa tema 'wanita' sememangnya amat berkesan.

Cinta Agung yang Tidak Dirasai

Walaubagaimanapun, Cinta Tuah dan Puteri Gunung Ledang atau nama sebenarnya Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah semacam tidak 'kesampaian' dari sudut jiwa atau rasa. Ia tidaklah seagung cinta Laila/Majnun, Romeo/Juliet, Shah Jehan/Mumtaz, (Jack/Rose untuk Titanic?) atau mana-mana filem cinta agung epik lain. Ia tidak begitu menggetarkan hati, jauh sekali untuk mengalirkan air mata.

Maka amat mudah sekali jika 'tema cinta agung' yang dilaung-laungkan itu dianggap tidak berjaya. Paparan imej-imej yang indah (yang sarat dengan falsafah serta makna puitis) sahaja tidak mencukupi. Dan lebih malang lagi apabila watak-watak yang dibawakan amat cemerlang itu tidak berjaya dijustifikasikan sejajar dengan olahan skripnya yang saya boleh rumuskan sebagai "sebuah epik yang cantik tetapi sayang sekali...ia tidak sempurna". - mahhass@gmail.com

Nota Penulis : Meskipun pandangan aku lebih ke arah negatif terhadap PGL, namun aku TETAP menyarankannya untuk tontonan kalian semua (yg akan bermula esok 31 Ogos).

Apapun, pesanan aku, sebelum kalian melangkah masuk ke panggung, anggaplah filem PGL ini sekadar filem 'kecil' atau sederhana, nescaya kalian akan keluar dengan perasaan yang 'BESAR'. Jangan berbekalkan perasaan yang (terlalu) besar, nescaya kalian akan pulang dgn perasaan 'kecil'.

Selamat Menonton aku ucapkan. - Spiral a.k.a Mahhass


Ulasan-ulasan lain :
Oleh Fadz @ tontonfilem
Oleh Sultan Muzaffar
Oleh Jr @ Enchanted Realm
Oleh Shahnon
Oleh An @ wickiwild.tk
Oleh Aizuddin Danian
Oleh Noor Azam Shairi

24 August 2004

Ulasan Filem : Aku No. 1 (2004)

Aku No. 1Oleh Fadz

"Aku Aznil lah, bukan Azwan!"- Aznil Hj. Nawawi.

Agak menyesal juga bila aku dapat tahu MAKAR dah tak ditayangkan. Tak sempat. Mungkin tu aje filem tempatan yang aku terlepas (aku masih ingat lagi janji aku). Filem ni pula, dengan trailer yang berkumandang O Fortuna!, hmm, nampak boleh tahan. Lebih-lebih lagi, Aznil baru sahaja menghabiskan mengacara AF2. Ini memang filem sulungnya (rakannya Azwan dikatakan ingin membikin komedi TV Lontong ke filem) setelah beberapa filem komedi santapan Hari Raya yang Aznil lakukan (beberapa daripadanya agak baik, aku selalu anggap Aznil sangat keratif orangnya), dan siri semacam Kandid Kamera, WWF versi Malaya, berita hiburan di RTM. Dengan kreativitinya, semangatnya, kerajinannya, ia tidak patut menjadi masalah.

Setelah menonton Aku No. 1, aku berbelah bahagi, ada beberapa gaya yang ada 'ini cop Aznil' yang mencuit hati, tetapi ada yang terlalu-lalu dan 'malas', membuat filem sulungnya ini yang beridea besar nampak terumbang-ambing (mungkin ini disengajakan. Menunjukkan bidang media tempatan sendiri memang begitu, nampak selesa, seronok dan sistematik pada penonton umum, tapi sebenarnya di balik tabir, ia chaos memanjang seperti filem Network).

Filemnya mudah. Plotnya mudah. Malah terlalu mudah, kita senang mengikutinya. Adalah beberapa plot twist, dengan motif dan rahsia membongkar di sana sini. Secara keseluruhannya, ia nampak seakan Aznil benar-benar tengah syok bermain (atau main-main) dengan konsep, dengan apa yang ingin dibawanya. Tetapi seakan ada sesuatu yang kurang, mungkin sebab ia sendiri sebuah filem 'luar kawalan' (ironi pada beberapa elemen 'detail' filem ini yang disengajakan), mengingatkan aku pada konsep kumpulan Monthy Phyton, juga filem-filem arahan Terry Gilliam, absurd, penuh fantasi, surreal (ada beberapa babak mimpi yang tiba-tiba 'berlaku dalam realiti', sangat menarik) dan boleh mengarah ke mana-mana yang ingin dituju, semacam biji atom yang dipisahkan dan mula menghentam antara satu sama lain, tetapi kemudiannya, pecahan atom itu LESAP tiba-tiba.

Itulah Aku No. 1.

Maka adalah beberapa suntikan Aznil yang sangat menjadi. Witty pun boleh, berlipat ganda makna pun boleh. Ini terletak pada dialog-dialog yang diulang-ulang oleh watak filem ini ("yang benar, sebenar-benar, benar", "kita ni kan 'colligans' ", "semua mesti di 'i-mail'").

Kadang-kadang, kepala hotak Aznil memang gila. Dia membuat kita ketawa di tempat-tempat 'the least expected'. Seperti babak waktu Aznil membongkar rahsianya tentang 'saya anak yatim piatu, bukan orang kaya' yang sepatutnya dibuat penuh emosi 'kasihan'. Di latar, kita sedar kereta yang mereka bawa sedang GOSTAN tanpa henti. Kemudian, di satu babak, Aznil yang sedang marah, tiba-tiba menyuruh penolongnya yang sedang memandu "lalulah, aku nak drive" dan terus ambil stering kereta, dan dalam perbualan itu, tiba-tiba keluar sahaja dari kereta kerana merajuk! Sungguh absurd, tapi agak menjadi!

Semua perkara ini berlaku menunjukkan 'ekspresi' watak dalam filem itu. Kadangkala ada beberapa simbol yang 'mengacau' mis-en-scene satu-satu babak. Simbol-simbol ini adalah 'isi hati' watak-watak itu apabila berbicara (seperti jerung, tiba-tiba melihat penonton), yang tak mungkin diluahkan oleh wataknya (kadang-kadang wataknya bermonolog tanpa voice over), tetapi kita sedar, itu yang ingin mereka bahaskan. Elemen GILA paling gila dari Aznil adalah bagaimana tiba-tiba watak itu tiba-tiba menegur seorang watak yang lain apabila mereka 'bercakap belakang orang'. Dalam dunia Aznil, semua boleh jadi...Tapi itu yang agak tidak sedap. Komedi sepatutnya menelanjangkan, menggambarkan, menyindir atau satira (sepertimana Buli, Lips to Lips, Mekanik, filem-filem Scenario).

Filem ini agak dikdaktik, memberitahu 'filem ni ada PENGAJARAN buat personaliti-personaliti yang ingin bekerja dalam bidang media' walaupun sebenarnya ia ada riwayat hidup (atau kononnya kontreversi) persahabatan Aznil dan Azwan. Contoh-contoh yang mengelirukan adalah, kenapa tiba-tiba Salleh Yaakob 'boleh' menang, kenapa Bard masuk wad gila dan lain-lain 'plot terjun'.

Filem ini lebih cacat apabila pelakon-pelakonnya melakonkan watak 'dibuat-buat'. Tidak salah, memang. Tetapi kadang-kala ia sangat menyinggung aku, kerana lakonan OTT yang sangat tidak terkawal (lebih-lebih lagi Azwan, Jeslina Hashim). Adakah Aznil ingin mengatakan, semua orang media begitu, 'over'? Ironinya, hanya Aznil yang memberi lakonan yang terkawal dan agak baik, juga Yassin sebagai 'pak pacak pelbagai', juga si managing director Mami Jun itu.

Mungkin filem ini mempunyai pelbagai mesej yang lebih 'pedas-pedas-pedas' dari Bintang Hati dalam menonjolkan hipokrisi dan realiti media dan hiburan tempatan (antara perkara yang menarik yang aku lihat, Aznil ingin memberitahu, kita tidak boleh lari dari mengumpat. Mengumpat itu media dan media itu mengumpat. Maka masyarakat sendiri memakan 'umpatan' itu, dan mereka juga terpengaruh dengan aktiviti ini lalu membuatnya satu proses yang normal dalam masyarakat. Atau sebaliknya, mana-manalah, macam filem ni) juga bagaimana orang awam sebenarnya tidak ambil peduli pada sesiapa yang dihidang oleh pihak media. Tetapi caranya agak memeranjatkan, meriuhkan, juga 'entah apa-apa'.

foto : filemkita.com

23 August 2004

Tinto Brass, Bertolucci, Seks dan Sinema

Oleh Mahhass

Saya percaya bahawa pembaca blog ini semuanya sudah matang-matang belaka dan majoritinya berada di dalam lingkungan 20an ke atas semuanya. Oleh sebab itu, saya agak 'berani' untuk mengulas atau memaparkan penulisan tentang filem-filem seksual, horror, ganas dan sebagainya. Bagaimanapun, jika anda berasa 'kurang selesa' untuk terus melayari laman ini, terpulang sepenuhnya pada anda kerana filem-filem yang akan saya paparkan berikutnya lebih menjurus tentang seks yang barangkali boleh 'mengganggu'.

Tinto BrassSepanjang minggu lepas, (entah kenapa) saya asyik memborong beberapa keping DVD filem-filem seksual/erotik keluaran pengarah Tinto Brass sebagai koleksi. Nama Tinto Brass mungkin terlalu asing bagi kita namun jika saya sebutkan judul Caligula, barangkali ramai yang sudah tonton atau 'tahu' akan kewujudan filem tersebut. Sebenarnya, begitu banyak sekali filem keluaran Tinto Brass sejak awal 60an sehinggalah ke abad ini. Beliau adalah seorang penulis/pengarah/penerbit berbangsa Itali yang sudahpun menjangkau usia 71 tahun tetapi masih aktif membikin filem sehingga kini.

Filem pertama arahannya yang saya tonton sudah tentulah Caligula (1979)– yang katanya filem epik kontroversi yang sehingga kini masih lagi dianggap kontroversi. Filem ini diklasifikasikan X di USA oleh sebab mengandungi paparan lucah (mungkin apabila saya kategorikan "lucah" agak kurang 'kena', jadi saya gunakan "sexual explicit" berikutan terlalu kerap sekali kamera memfokuskan "genital").

Tinto Brass tidak mahu mengkreditkan namanya sebagai pengarah dalam filem ini, barangkali atas sebab-sebab kontroversi, walaupun sebelum itu, beliau pernah mengarah filem Nazi berjudul Salon Kitty (1976) yang juga bertemakan seks (softcore), cinta, fasisme, perang serta keganasan. Namun paparan keganasannya tidaklah segetir yang ditonjolkan Pasolini dalam Salo : 120 days of Sodom. Ironisnya, filem ini serentak dikeluarkan di tahun yang sama walaupun Salo terlebih dahulu siap pembikinannya. Dan oleh sebab garapan Pasolini lebih mencetuskan kemarahan dan ancaman dunia sehinggalah Pasolini sendiri dibunuh, maka Salo dipasarkan juga pada tahun 1976 selepas kematiannya (itupun diterhadkan tayangannya di negara Perancis dan Itali sahaja waktu itu kemudian ia diharamkan semula). Ini memberi ruang yang lebih selesa untuk Tinto Brass memasarkan Salon Kitty ke serata dunia.

Baca ulasan filem Salo : 120 Days of Sodom

Sedikit fakta menarik tentang Salo : Tahukah anda bahawa DVD Salo sehingga kini merupakan DVD paling dikehendaki diseluruh dunia sehingga ada yang sanggup menghabiskan lebih USD1000 semata-mata untuk memilikinya. Jadi anda tidak perlu risau jika anda TIDAK memilikinya kerana sememangnya ia sangat susah untuk didapati. Saya antara yang bertuah yang sudah menontonnya dan untuk itu, sekali lagi saya harus ucapkan terima kasih buat sahabat saya Fadz.

DVD Caligula dan Salon Kitty agak senang dijumpai (bersepah-sepahan) di pasaran gelap (lanun). Bagi yang belum menonton dan berkeinginan mencarinya (ha ha ber'alasan'kan "koleksi"), sebut sahaja judulnya pasti taukey DVD itu akan tahu. Tidak perlu susah-susah.

Dari tema epik, Tinto Brass beralih sedikit demi sedikit ke arah komedi seksual yang lebih 'soft' dan lebih 'mesra' seawal dekad 80an. Boleh dikatakan inilah 'cubaan sebenar' Tinto Brass membawa seks ke sinema antarabangsa. Seperti juga Bigas Luna, pengarah Sepanyol yang juga seangkatan dengan beliau dalam memperjuangkan erotika ke layar antarabangsa. (filem Bigas Luna yang sempat saya tonton hanyalah The Ages of Lulu). Kedua-dua 'cult directors' ini sememangnya banyak memberi pengaruh yang besar ke atas dunia perfileman seks/erotika khususnya di eropah dan seringkali menjadi idola pengarah-pengarah baru masakini.

Baca ulasan filem The Ages of Lulu

Berbalik kepada Tinto Brass, filem pertamanya di dekad tersebut berjudul The Action (1980). Filem ini dikeluarkan sejurus selepas Caligula diterbitkan oleh Bob Guccione (dengar khabarnya, berlaku sedikit perselisihan di antara kedua-duanya sehingga membuatkan Brass tidak mahu meletakkan namanya sebagai pengarah Caligula). Untuk filem ini, Brass mula menyuntik elemen surreal atau halusinasi seks ke dalam filemnya. Maka disinilah mula menampakkan 'cult' sebenar Brass yang sering menjadikan watak-watak dalam filemnya berimaginasikan seks.

Filem L' Uomo che guarda (1994) (atau judul The Voyuer pada DVD) juga merupakan contoh terbaik – Kisah suami yang 'gila talak' walaupun tahu isterinya curang dengan menjalinkan hubungan dengan bapa mertuanya. Begitu juga dengan filem Trasgredire (2000) (atau berjudul The Cheeky), iaitu kisah seorang kekasih yang terlalu cemburukan teman wanita sehingga seringkali berimaginasikan teman wanitanya menjalinkan hubungan seks dengan lelaki lain. Brass sememangnya suka menjenakakan seks tetapi segala skripnya digarap dalam penuh keseriusan. Bermakna, ada tema yang cukup "gelap" disebalik jenaka serta elemen lucu dalam filem-filemnya. Kebanyakannya berkisarkan tentang kecurangan. Namun apa yang dapat saya lihat, semakin hari semakin hilang 'bisa' Brass khususnya dalam paparan horror atau sadistik atau 'violence' grafik sejak Salon Kitty dan Caligula. Ini membuatkan filemnya semakin kosong dan seolah-olah bertumpukan seks semata-mata. Adakah kerana beliau sudah bosan atau benci dengan keganasan? Seperti juga Irama dan Lagu, bukankah Sex & Horror juga adalah gandingan yang tidak bisa dipisahkan?

Dalam pada mencari-cari DVD filem-filem horror (err.. dan Sex) klasik, saya terjumpa Lucio Fulci's Zombie 2 aka Zombie Flesh-Eaters – salah satu filem 'cult' zombie yang sememangnya sudah dicari berkurun lamanya. Terus saya sambar untuk dijadikan koleksi). Dalam masa yang sama juga, terjumpalah pula dengan Bertolucci's Last Tango In ParisUncut/Uncensored Version. (Seperti yang saya katakan : Sex & Horror mana boleh dipisahkan!). Maka Dari Tinto Brass saya beralih pula ke Bernardo Bertolucci... (Fulci's Zombie 2 akan saya ulas kemudian).

Last Tango In Paris (1972)

Tentu ramai yang masih ingat dengan filem kontroversi (Last Tango In Paris) ini. Filem yang telah menyebabkan Bertolucci, Alberto Grimaldi, Marlon Brando dan Maria Shneider dihadapkan ke mahkamah akibat dituduh dibawah akta "ultalitarian pornography" (saya sendiripun kurang pasti apa yang dimaksudkan dengan "ultalitarian" tersebut). Bagaimanapun, kesemuanya dibebaskan tidak lama kemudian, dan hasilnya, Bertolucci telah hilang hak untuk mengundi untuk tempoh waktu yang pendek.

Apa yang boleh saya katakan ialah filem Last Tango In Paris merupakan filem sub-genre erotik terbaik pernah dihasilkan (barangkali juga yang terbaik pernah saya tonton). Ia mengisahkan Paul (lakonan paling 'memukau' Marlon Brando) yang baru sahaja kehilangan isterinya yang membunuh diri. Beliau bertemu Jeanne (lakonan penuh sensual tetapi jujur Maria Shneider). Watak melankolik Paul begitu cemerlang, paling ketara sewaktu dialognya dihadapan mayat isterinya. Saya hampir menangis tatkala babak ini. Ia sangat-sangat berkesan sekali.

Mungkin ramai yang 'membenci' filem ini oleh kerana paparan ranjangnya yang keterlaluan, yang membuatkan mereka lupa intipati filem ini. Tetapi sebenarnya filem ini sangat cantik, jujur dan tidak terlalu bermelodrama. Kisah pertemuan dua insan yang biasa tetapi melalui proses yang unik. Kisah Paul yang tidak mahu mengenali siapa dan apa latarbelakang perempuan yang dijumpai itu sehinggakan nama Jeanne pun beliau enggan tahu.

Filem ini tidak menyindir sesiapa mahupun organisasi, jauh sekali politikal. Ia sekadar sebuah kisah yang terbit dari fantasi seksual Bertolucci sendiri, yang mengidamkan pertemuan dengan seorang wanita tanpa mengenali siapa perempuan itu. Bermakna, apa yang dibawakan Marlon Brando amat menjadi. Ia adalah sebuah filem eksplorasi dark-art-erotic yang berjaya dinominasikan di Oscar tahun 1974 (untuk Pengarah Terbaik dan Pelakon Lelaki Terbaik) serta memasuki beberapa festival filem seluruh dunia.

Setakat ini hanya dua filem Bertolucci iaitu Last Tango In Paris dan The Dreamers (2003) ada dalam koleksi saya, (The Last Emperor dan Little Buddha juga karya epik Bertolucci belum saya miliki, juga termasuk dalam kategori ‘mesti-ada’) manakala koleksi filem Tinto Brass pula (yang mendapat gelaran Maestro of Eroticism) cuma ada empat, iaitu Salon Kitty, Caligola, L' Uomo che guarda (The Voyeur) dan Trasgredire (The Cheeky). Bagi sesiapa yang ingin bertukar-pinjam suka-sama-suka, sila-silalah hubungi saya.

Baca ulasan filem The Dreamers

22 August 2004

Ulasan Filem : 30 Hari Mencari Cinta

Oleh Cik Awa

"Mengisahkan 3 orang gadis yang bersahabat tinggal dalam satu rumah, Keke, Gwen dan Olin. Hidup mereka selalu diisi dengan keceriaan dan canda tawa. Sampai suatu hari setelah mereka menonton VCD cinta-cintaan yang sangat menyentuh, mereka baru tersadar bahwa sudah berbulan-bulan mereka hidup tanpa "makhluk" yang bernama cowok atau pacar! Cowok yang terdekat dengan mereka selama ini hanya Bono, tetangga mereka yang keren banget tapi 'ancur' dan cara berpikirnya ngak jelas. Akhirnya mereka sepakat untuk berburu makhluk bernama cowok.
Tapi hal itu tak semudah yang mereka bayangkan sebelumnya, banyak sekali tipe cowok yang mereka temukan, dari yang mirip bintang F4, manicac sex hingga anak band metal yang pemabuk dan bau badannya."


-hehehe...malasnya nak membuat sinopsis sendiri..sinopsis filem ini saya copy bulat2 dari belakang cover vcd cetak rompak yang saya beli. Maaf! Saya hanya beli vcd asli filem/ drama keluaran karyawan Malaysia sahaja. Walaupun kadang kala terasa menyesal dan tidak berbaloi mengeluarkan duit untuk membeli vcd original sedangkan filem yang ditonton itu langsung tidak menarik. Tak mengapalah! Demi 'filem kita, wajah kita'.


30HMC merupakan sebuah filem komedi remaja dari Indonesia. Jalan ceritanya ringkas sahaja tetapi diolah dengan baik sehingga menjadi agak menarik dan happening. Menonton filem ini tak ubah seperti kita menonton filem komedi remaja barat kerana kehidupan sosial dalam 30HMC kurang menonjolkan imej Indonesia. Ala-ala tengok filem barat tapi dialih bahasa kepada bahasa Indonesia la.
Setiap plot disusun secara mendatar dan tiada turun naik dalam perjalanan filem tersebut. Saya percaya anda tidak akan ada perasaan berdebar-debar atau tidak sabar menanti penghujung cerita. 30HMC juga lebih bersifat komik. Ianya terlalu mudah.

Menonton filem ini membuat saya terfikir betapa beruntungnya karyawan dan penggiat seni di Indonesia berbanding di Malaysia ini. Di sana, mereka sangat bebas berkarya. Mereka tidak perlu risau akan sekatan dan bantahan daripada badan-badan tertentu, tidak perlu gusar akan pandangan masyarakat dan tidak perlu takut untuk melahirkan idea-idea mereka.

Andai kata 30HMC merupakan sebuah filem keluaran Malaysia, saya yakin ada banyak scene2 yang akan ditapis dan dipotong. Terutamanya pada babak dimana budak2 pompuan tu bercakap mengenai lelaki idaman mereka kepada si Bono. Dalam setiap scene ditunjukkan Bono berada dimana sahaja termasuk di bilik tidur (memakai mask dan baring sebelah si Olin) malah menemani si Gwen berbicara sampai ke dalam tandas! Memang nampak cute dan selamba pada aksi si Bono, tapi kalau difikirkan watak itu memang tak akan dan tak boleh dilakonkan langsung dalam filem melayu Malaysia. Betul kan? Tak percaya, cubalah buat dan tunggu sajalah komen dan bantahan2 dari orang itu, orang ini..

Jika bertanya pendapat saya mengenai filem remaja Indonesia, saya memilih Ada Apa Dengan Cinta sebagai filem terbaik setakat ini. Sampai sekarang saya masih tak pernah jemu menontonnya berulang kali. Apapun, tontonlah sendiri untuk mengetahui kehebatan filem ini.

Rating: 8/10

19 August 2004

Ulasan Filem : Salaam Bombay (1988)

Salaam Bombay!Oleh Fadz

Dua hari lepas, aku pergi cari DVD 'lanun' di tempat biasa aku. Aku pilihlah beberapa DVD. Sebelum tu, aku dah ke sebuah kedai Melayu yang masih menjual VCD filem Melayu lama. Aku beli Anak Sarawak ("Terbitan Kerajaan Negeri Sarawak") arahan Rahim Razali.

Aku punggah-punggah deretan senarai filem-filem DVD tu. Aku jumpa Atame! arahan Almadovar (filem yang menaikkan lagi nama Antonio Banderas sebagai simbol seks di Sepanyol), Underground arahan Emir Kusturica (filem Bosnia yang pertama aku lihat dalam suratkhabar The Sun yang buat aku kata, "Aku kena tonton filem ni") dan Midnight Cowboy (antara filem terbaik yang aku tonton di HBO yang aku tahu, aku kena beli DVDnya kerana ia antara filem 'favourite' aku).

Amoi yang jaga kedai tu tengok filem-filem yang aku beli. Dia tengok plastik VCD yang aku beli sebelum tu.. Dia tertanya, kenapa aku beli 'filem lapuk', aku terus-terang kat dia, aku memang tengah 'mengumpul' filem-filem lama, baik Melayu dan luar.

"Yang ni?" Dia tunjuk filem-filem yang aku nak beli dari dia.
"You suka 'cowboy' ya?" ... Aku ketawa.
Aku terus-terang: "I love depressing movies".
Dia kata aku pelik untuk beli filem-filem 'depressing'.
"Yang ni pula?", dia tunjuk kat Atame!.
Aku kata: "Ni filem seks"
Dia tersengih, terus kata: "Blue pun saya ada mah... mau?"

Well, that's another story... (frasa Neverending Story)

Malam semalam pula, aku ke UM dengan Azwan dan GAIA untuk tonton Salaam Bombay arahan Mira Nair (Monsoon Wedding, 9/11/04 Documentary, The Perez Family, The Kama Sutra). Selepas menontonnya, aku baru sedar, aku sudah menonton sebuah filem paling 'depressing' yang pernah aku tonton.

Aku dah lama teringin nak tonton filem ni, sejak artikel tentangnya keluar dalam The Times Magazine dan bagaimana orang negara India amat marah dan benci filem kontreversi ini hinggakan filem ini terpaksa di'tutup' tayangannya di negara lahirnya. Mereka amat marah hinggakan (kalau aku tak silap) waktu tayangannya di beberapa pawagam kecil di kota Mumbai, penonton membaling kerusi, mengamuk dan memarahi si projektor filem untuk berhenti memusing filem ini.

Kenapa mereka benci sangat filem ni?

Filem ini juga membuat aku ingin sangat menontonnya bila sebuah filem komedi lakonan Bette Midler dan Woody Allen sebagai pasangan suami isteri bergaduh (kerana mendapati masing-masing curang) dalam sebuah pawagam yang sedang menayangkan Salaam Bombay! (nama filem itu ialah Scenes From The Mall).

Kenapa pula orang luar suka sangat mem'parodi'kan filem ini?

Salaam Bombay!Kedua-dua persoalan itu terjawab kerana ini- Realitinya. Apabila filem ini berjaya dalam melayarkan sebuah kehidupan yang real (dengan menggunakan teknik realisme dan dokumentari, seperti mengambil pelakon-pelakon yang tidak profesional, gambaran di lokasi, tangkapan-tangkapan tersembunyi untuk menangkap reaksi penduduk Mumbai) di India, atau lebih tepat, kehidupan bandar di India tentang golongan 'kelas bawahan', ini yang membuat filem ini disayangi penonton luar dan dicerca penonton India. Walaupun secara teknikalnya, filem ini patut memuji Mira Nair kerana ceritanya dan arahannya, kuasa filem ini secara teknikal terletak pada suntingan (seorang Orang Puteh) yang sangat baik dan penggambaran yang sungguh cantik, antara yang terbaik dari sebuah filem realism.

Filem ini adalah sebuah filem anti-bollywood besar-besaran. Malah beberapa babak dalam filem ini sebenarnya, secara menyindir, mengutuk bandar 'pembikinan filem kebangsaan' India itu sendiri - Mumbai. Tidak ada tari menari dari wajah-wajah cantik dan segak. Hanya seorang anak perempuan kecil yang belajar 'Inggeris' dengan paluan radio, ibunya merokok senyum dengan anak lelaki menari bersama anak perempuan kecil tadi. Si budak lelaki yang menyanyi sebuah lagu ad-lib Sri Devi (GAIA beritahu siapa pelakon sangat seksual itu yang ditayangkan) bernyanyi sambil kencing di rel keretapi. Seorang lelaki 20-an mengambil dadah untuk mencari impiannya, melarikan diri dari realiti hidupnya (satu simili kepada penonton majoriti India yang mencari impian mereka menonton Hindustan di pawagam-pawagam). Seorang penjual tiket memberitahu si kecil, "Kau ke Bombay, balik jadi bintang!". Si suami yang juga bapa ayam isterinya mengherdik isterinya (kalau tak salah aku, dalam norma masyarakat India, lelaki selalunya mempunyai kuasa terhadap isterinya, malah arahan suami mesti dipatuh habis-habisan, kalau tidak, nerakalah jawabnya pada si isteri.

Ini ditonjolkan dalam riwayat hidup Rama dan Sita sebagai gambar ideal pasangan suami isteri India yang sepatutnya, di mana filem Fire arahan Deepa Mehta [antara filem India kegemaran aku] cuba melawan norma ini) si pelacur yang cuba meninggalkannya, "Kau mahu jadi wali pelacur? Kau mahu jadi 'Mother India'?" (Mother India adalah sebuah filem agung bollywood tentang simbol seorang wanita India yang benar-benar India).

Dan paling menyeramkan - beberapa budak lelaki bawah umur minum 'arak murah', dengan kaca mata hitam dan baju warna-warni yang lusuh, seakan mengajuk bintang-bintang Bollywood, bernyanyi dan ketawa penuh ghairah (pada saat babak ini, aku sudah tidak boleh menontonnya.. Mata aku tak menangis tapi hati aku sudah cucuh, lebur. Sejak filem itu mula, aku masih boleh ketawa dalam beberapa babak, tetapi sampai saat itu, aku tidak boleh lagi tersenyum dan menonton filem itu secara langsai.. Ingat A Clockwork Orange waktu McDowell diklip matanya luas-luas untuk menonton keganasan dan seks? Begitulah yang aku rasa sewaktu menonton selebihnya filem itu selepas saat ini).

Salaam Bombay!Salaam Bombay! meneruskan perjuangan dalam memberi peluang pada kanak-kanak untuk berlakon dengan sempurna sepertimana Panter Panchali, 100 Blows!, Pixote dan Au revoir les enfants, dan aku sedar filem ini juga yang memberi inspirasi pada ramai pembikin filem untuk meneruskan (malah Mira Nair bagi aku, berjaya mempopularkan kembali Neo-realis) filem-filem realiti tentang golongan bawahan, kanak-kanak tertindas kerana kemiskinan dan isu kemiskinan itu sendiri. Kerana banyaknya elemen dalam filem ini didapati ada dalam filem-filem seperti filem-filem Iran (menggunakan kanak-kanak tidak profesional untuk berlakon, elemen neo-realis), Central Station (persamaan watak seorang 'penulis surat' untuk masyarakat buta huruf dalam Salaam Bombay!), Daun Di Atas Bantal (Azwan mengatakan filem Daun lebih menggetirkan).

Bagi aku filem ini lebih getir, malah banyak sungguh persamaan filem itu dengan filem ini - kanak-kanak terbiar yang terpaksa dewasa dengan cepat dan belajar tentang dunia, kegagalan orang dewasa untuk menjaga anak-anak ini, dadah dan rokok, keretapi laju, pengakhiran yang pesimis.

Sebuah filem Melayu, KAMI lakonan Sudirman mempunyai ton yang sama walaupun lebih meneliti perhubungan kawan kedua pelakonnya), Ali Souza-Prince of Theives (kanak-kanak menciptakan khayalan/mitos yang mengelilingi hidup merempat mereka), City of Joy (hidup miskin masyarakat Culcutta yang agak sama tonnya dengan filem ini, tetapi mempunyai sentuhan 'hollywood'. Bagaimanapun, filem ini juga dibenci oleh rakyat India kerana menonjolkan realiti golongan 'the slum' mereka) dan mungkin juga Bukak Api Osman Ali dan Sepet Yasmin Ahmad.

Shafiq Syed, pelakon kecil yang membawa watak Krishna/Cahipau (budak teh) juga antara 'miracle' filem ini. Lakonannya (simbolsime innocence, harapan ada dalamnya) sungguh berkesan, malah berjaya membawa aku melalui filem getir ini hingga penghujung. Waktu akhir filem ini yang sungguh 'ambiguous', waktu Syed memandang penonton, aku teringat akan wajah gadis Afghanistan di muka depan National Geographic (mereka kata, the 20th Century Mona Lisa) yang mana kita sedar, kita memahami hidupnya, sudah melaluinya bersama, mana, ini realiti, ini realiti yang Mira Nair cuba 'bogel'kan (atau 'on your face') pada kita. Mungkin kita tidak akan membuat apa-apa, sekurang-kuranya kita sedar adanya realiti tiada harapan ini di India.

Maka 'ketiadaan harapan' ini jugalah yang menyebabkan filem ini di'ban' di negaranya. Juga penonjolan kerajaan itu sendiri tidak dapat berbuat apa-apa dalam merubah strata kehidupan masyarakatnya. Ini pula ada kena mengena dengan budaya dan norma yang sudah lama terselam dalam India, yang berkenaan juga dengan pengaruh agama Hindu iaitu pembahagian kasta.

Mungkin ramai para politik India menegahnya tetapi realitinya, ia akan dan sentiasa tetap ada dalam hidup orang India. Ini dipertonjolkan dalam babak 'The Chiller Room' yang mana budak-budak berpeleseran diletakkan dalam sebuah 'penjara anak yatim' (sebuah babak yang sungguh gelap adalah waktu budak-budak itu seakan membaca rukun "kami semua adalah 'satu' " yang seakan satu idealisme komunis. Aku teringat pada satu dokumentari tentang perayaan kemerdekaan Singapura yang mana mereka ramai-ramai memakai merah putih dan menjerit riang slogan kerajaan "One Singapore".. aku teringat akan 1984 George Orwell.. sangat menakutkan..), yang mana Syed berjaya melepaskan diri, menonjolkan bagaimana sistem itu sendiri sangat rapuh dan sangat senang dilanggari (hinggakan si pelacur yang anaknya ditangkap, mengatakan "Adakah kau ingat negara ini boleh menjadi ibunya?").

Malah sebuah lagi simbol separa sedar yang amat menggetar penonton India adalah simbol-simbol keagamaan yang ditonjolkan dalam filem ini. Satu adalah babak budak-budak itu tidur yang mana gambar Ka'abah, Dome of Rock dan Jesus di tabir mereka (agama-agama ini agama minoriti di India..Azwan mengatakan pada aku, mungkin ini menyimbolkan agama hanya satu hiasan dalam hidup-hidup orang ini), dan bagaimana dewa Ganesh dipuja di Chiller Room (Mira Nair melakukan ini dengan amat menyeramkan, membuatkan seakan budak-budak itu di'program'kan untuk memuja!) dan di jalan kota untuk perayaan Ganesh Chaturthi, yang mana si pelacur dan si budak yang berpegang tangan tiba-tiba terlepas dalam ke'chaos'an dan ghairah penyembah Ganesh.

Salaam Bombay!Ini menggetarkan lagi apabila perayaan itu dibuat untuk memuja dewa agung Hindu ini yang disimbolkan sebagai "Lord of success and destroyer of evils and obstacles. He is also worshipped as the god of education, knowledge, wisdom and wealth".. Sindiran ini sungguh halus, memberitahu penduduk India bahawa 'ecstacy' agama mereka juga, dalam ironinya membawa kesusahan dan kesedihan (seperti yang ditunjuk berlaku pada si budak dan si pelacur).. Adakah sebab 'mereka' tidak layak mendapat rahmat dewa Ganesh, itu karma mereka, atau kerana paksaan sosial mereka dan perspektif orang India yang tidak akan memberi mereka peluang langsung untuk bergembira? (selain dari mendapat eskapis dari dadah, arak, menari, menyanyi, merokok dan menonton Hindustan). Gambaran ini lebih getir apabila kita sedar, babak-babak budak-budak itu tidur di sisi gambar simbol agama lain tadi, walaupun sejuk, mereka mempunyai 'rumah' untuk tidur dan melepaskan penat.

Mungkin kerana itu filem ini dibenci sangat.

Azwan memberitahu aku tentang kata-kata Ku Seman "filem tidak mengajar"..Kata-kata itu sungguh benar. Filem hanya memberi 'rasa', tetapi 'rasa' itu sebenarnya tidak benar-benar boleh di'rasai' hinggalah kita sendiri yang melaluinya (ini dipetik dari sedutan buku Imam Ghazali Ayyuhal Walad, yang mana kebanyakan ilmu rohaniah, adab dan ilmu tentang selok-belok dunia hanya dapat dipelajari hanya apabila kita 'melalui'nya)... Dari rasa itulah, kita akan sedar sesuatu, mempengaruhi kita atau membuat kita melakukan sesuatu yang lain.

Mungkin filem ini tidak mungkin menginsafkan kita. Tetapi sekurang-kurangnya ia membuka satu tingkap realiti untuk kita sedar, 'ohhh, ada orang sebegini di dunia'.

Mungkin filem lakonan Woody Allen boleh 'mengutuk' filem ini apabila mereka bertengkar tentang 'realiti' hidup keluarga mereka dalam tayangan filem ini sedang satu pasangan India sedang runsing menontonnya kerana kebisingan mereka (untuk mengatakan hidup mereka lebih 'sengsara' dan 'real' dari kesengsaraan yang berlaku dalam Salaam Bombay!), tetapi ia juga satu homage (kerana dalam filem ini, dengan situasi yang sama, budak-budak ini menonton sebuah filem lakonan Sri Devi, yang mana mereka memekak hingga penonton 'kelas pertengahan' memarahi mereka.

Si budak itu menjawab "kami membayar seperti kamu apa?". Ini adalah 'simbol' filem ini, memberitahu bahawa filem ini juga berhak disamping filem-filem hindustan yang lain), tentang bagaimana, sengsara ini benar, on the face dan amat-amat benar dalam meriwayatkan hidup orang miskin, terbiar dan kehilangan 'innocent'.

Ulasan oleh Fadz
Disusun dan diterbitkan semula oleh Mahhass
Lihat senarai penuh Awards Salaam Bombay!

18 August 2004

Ulasan Filem : The Village (2004)

The VillageOleh Fadz

"Kampung - Keluar Kempompong"

Masalah yang dihadapi oleh Shyamalan ialah, orang inginkan dia keluarkan filem-filem 'twist ending' berformula 'hitchcock' yang sebenarnya sudah jelas, dia sudah mula bosan dengan gaya itu.

The Village adalah filem Shyamalan tentang jawapannya terhadap Amerika dan dunia tentang apa perasaan mereka terhadap pos 11/9, pos perang Afghanistan dan perang Iraq. Maka filem itu sebenarnya cuba dikupaskan ke arah itu. Mungkin ramai sangat yang masih inginkan elemen 'kepelanan dan tiba-tiba sentuhan mengejutkan' Shyamalan, maka Touchstone menyuruh Shyamalan untuk 'stick with your magic' dan keluarkan sebuah lagi klon The Sixth Sense.

Bukan maknanya The Village tidak bagus. Malah, gerak-gerak getirnya ada (lebih-lebih lagi waktu Bryce Howard sedari si'raksaksa' sedang mengejarnya di tengah hutan) walaupun kita sudah boleh agak 'akhir'nya. Mungkin kerana kita terlalu inginkan 'kejutan' itu dari Shyamalan, kita lupa inti filem ini.

The Village sebenarnya sebuah filem pelbagai lapisan. Pertamanya kita sedar mesej filem ini tentang kebobrokan 'membenci dan saling tidak memahami manusia lain' dalam manusia, yang dipertonjolkan dalam peperangan kita, diskriminasi kita terhadap satu-satu kaum kerana mereka di'space goat' oleh kerajaan. Maka filem ini ingin memberitahu (dengan sentuhan romantisme yang sangat terasa) bahawa hanya dengan CINTA sahaja kita boleh dan masih hidup (dan juganya berpecah dan membunuh..ini dipertonjolkan dalam satu simbol halus Cain & Abel antara Jaquin Pheonix dan Adrien Brody).

Malah Ivy (lakonan sangat baik dan penuh kekuatan pelakon baru Bryce Howard) yang buta, kerana hatinya yang tulus, ingin dan ingin mencapai keinginannya yang murni (semangat heroisme), dia berjaya bertemu dengan 'dunia luar' dan mencapai keinginannya, walaupun dia buta!

Kemudian kita sedar lagi, kampung yang dilukiskan ini amat sama dengan sebuah sistem Utopia yang sama bentuk dalam filem The Mosquito Coast, Logan's Run, The Truman Show (maknanya, ia satu ciptaan institusi tertutup)..tapi dalam filem ini, notanya agak optimistik, mengatakan (walaupun kita sedar, betapa rapuh institusi yang dicipta itu, boleh jatuh pada bila-bila waktu) sistem itu terjaga bila mitos/kepercayaan/pegangan/dogma padanya terjaga dan diperturunkan dengan baik.

Ia adalah pembelajaran Fundemental Agama 101. Dalam setiap agama apa pun, atau sistem kerajaan manapun, ia perlukan 'mitos' untuk berjaya dan berjalan. Malah filem ini sangat 'pandai' apabila si bodoh (simbolisme setial yang 'foolish' dalam dunia ini memang perosak dunia dan takkan hidup lama) yang dibunuh menyebabkan mitos yang dicipta telah dicipta kembali, menyelamatkan komuniti itu dari 'terbongkar'. Malah, dari kejadian itu, berlaku sebuah lagi 'ibadah' (sepertimana Hajar berlari dari Safa ke Marwa, perkara itu jadi syarat dalam menunaikan Haji, atau bagaimana umat Nasrani memakan 'roti' dan 'arak' sebagai badan dan darah Christ, atau bagaimana Kuan Yin seorang puteri dahulunya, kerana keramatannya, dia menjadi dewa yang dipuja oleh orang Cina).

Filem ini juga mempunyai mesej sindiran paling pedas, tentang bagaimana orang melihat realiti hidup. Apakah yang kita lihat dan percaya dan hidup dalam itu satu realiti (seperti Matrix), atau sebenarnya fana? Ini lebih menggetarkan, apabila sindiran 'realiti sebenar dan realiti kabur' disamakan dengan pentadbiran dan pelaksanaan agenda-agenda Bush dalam 'memerangi Terrorisme' yang disampaikan dalam filem Farenheit 9/11.



Filem ini agak lembab dalam pembentukan plotnya. Walaupun aku agak suka budaya 'quaker' yang ditonjolkan dalam filem ini, bahasa yang mereka guna, walaupun sungguh cantik dan kuno (seakan zaman pilgrim Amerika), kadang-kala amat mengambil kesabaran kita.

Kalau kita sedar lagi, filem ini antara filem-filem barisan pos 9/11 yang mengusik tema itu yang tidak begitu berjaya dengan penonton Amerika (kecuali Farenheit 9/11 dan Elephant)- The Babarian Invasion, The Day After Tommorow, Mean Girls. Ada sesuatu yang amat realiti dalam pertontonan rakyat Amerika, bahawa sesuatu yang mengibarkan patriotisme, khayalan dan kejayaan melawan 'kuasa asing yang tidak kita kenal dan benci' lebih mendapat tempat dan hati (seperti Lord of The Rings, Spiderman) dari filem-filem yang cuba mengutarakan kebenaran realiti pos 9/11.

Mungkin sebuah filem yang aku pernah tontoni, The Wicker Man sebenarnya lebih berjaya dan lebih menakutkan dari The Village. Sama seperti filem ini, ia menonjolkan satu sub-budaya di negara UK dan bagaimana 'cerdik'nya komuniti itu, dalam pemahaman mereka dalam agama mereka untuk mengembalikan 'kerosakan' dalam sistem mereka dalam mengorbankan seorang Nasrani Suci dari Tanah Besar. Dalam filem itu, realiti dan penipuan makin samar dan menjadi..

17 August 2004

Ulasan Filem : Ken Park (2002)

Oleh Mahhass

Dari pengarah kontroversi (...what controversy? – Michael Moore) Larry Clark yang pernah memaparkan realisme remaja untuk filem KIDS dan Bully, kini beliau muncul sekali lagi, juga masih dengan berkonsepkan sama – iaitu kisah remaja.

Kali ini, sentuhan Larry Clark dilihat lebih berani (sexually explicit dari Bully), malah filem ini begitu hampir untuk dikategorikan sebagai filem adult (pornografi). Apa itu pornografi? Menurut Tinto Brass – (raja segala filem erotika sedunia), "pornography is a trading based on sex". Ia tidak boleh disamakan dengan filem-filem erotikanya. Beliau hanya 'membawa' seks ke sinema antarabangsa, kerana seks adalah sesuatu yang indah dan serius.

Manakala Larry Clark pula menafikan filem ini (Ken Park) sebagai pornografi, kerana apa yang beliau paparkan adalah sebuah realisme – apa yang (sebenarnya) sedang berlaku di luar sana.

Ken Park sebenarnya merupakan watak seorang remaja yang hanya muncul di saat awal dan akhir filem ini. Remaja ini membunuh diri menggunakan sepucuk pistol dengan bertemankan video-cameranya. Apa yang sebenarnya sedang berlaku? Apa yang tak kena?

Seterusnya, filem ini memfokuskan beberapa keluarga tipikal amerika yang seperti berikut: -

Tate : Begitu membencikan datuk dan neneknya. Akhirnya bertindak membunuh mereka. Ia adalah satu sinikal Larry Clark terhadap kesan pengabaian ibu bapa terhadap penjagaan anak sendiri.
Shawn : Menjalinkan hubungan dengan ibu kepada teman wanitanya, Hanna. Dalam erti kata lain, Shawn ialah "toy-boy" wanita tersebut. Apa yang Larry Clark cuba sampaikan ialah mengenai seksploitasi seorang wanita terhadap remaja khususnya dalam seks.
Peaches : Remaja wanita yang berlatarbelakangkan keluarga katolik. Ayahnya begitu kuat berpegang dengan ajaran agama, walaupun tidak menyedari bahawa anak perempuannya seringkali melakukan seks liar.
Claude : Seorang remaja lelaki tipikal amerika berlatarbelakangkan keluarga disfungsi. Bapanya seorang pemabuk. Tidak kurang juga dengan ibunya yang sedang sarat mengandung. Krisis remaja ini dengan bapanya berterusan sehingga beliau melibatkan diri dengan dadah.

Maka kita faham bahawa Larry Clark cuba mencerminkan apa yang telah berlaku ke atas Ken Park sehingga mendorongnya membunuh diri, melalui kisah empat remaja ini. Itu semua adalah paparan sosiobudaya amerika masakini. Paparan yang sebenarnya tidak lagi mengejutkan, cuma perlu di'refresh' setiap masa. Mereka adalah remaja. Jiwa mereka sarat dengan keinginan untuk mencuba, imaginasi, bereksplorasi dan akhirnya melakukan kesilapan. Maka, peranan yang paling penting terletak di bahu ibu bapa. Kes Tate merupakan contoh yang terbaik.

Sentuhan Larry Clark kali ini agak berbeza kerana ia semacam menonton sebuah filem "Art". Sebahagiannya dimuatkan dengan visual grafik yang berkesan dalam menerbitkan suatu 'rasa' serta reaksi penontonnya. Beliau tidak lagi memberi keutamaan terhadap 'cerita' kerana kebanyakan dari plot sebenarnya tergantung – menyerahkan 100% kepada penonton untuk memberikan tafsiran sendiri. Apatah lagi visual di bahagian akhir, yang memaparkan ketiga-tiga remaja tersebut berbicara sesama mereka sambil melakukan seks (threesome). Seks yang menggambarkan suatu usaha ketiga-tiganya untuk menghilangkan kesedihan, kebuntuan, melankolia serta depresi yang terbit akibat dari kepincangan keluarga masing-masing. Seakan seksploitasi tetapi itulah realiti, yang begitu menggegarkan.

(Ken Park telah terpilih ke Toronto, Amsterdam, Sydney serta Venice Film Festival 2003).

16 August 2004

Ulasan Telefilem (VCD) : Keris Lama (2004)

...tajuk yang kurang menarikOleh Mahhass

Keris Lama merupakan sebuah telefilem (VCD) seram yang diinspirasikan dari "Kisah Benar" terbitan majalah Mastika keluaran Oktober 2003 (tajuknya menghiasi kulit majalah). Bagi mereka yang pernah membaca kisah ini, pastinya tahu bahawa kisah ini jelas memberikan iktibar serta pedoman khususnya untuk kita sebagai umat Islam.

Ia menceritakan tentang seorang wanita tua bernama Mak Wok, yang telah jatuh sakit selama berbulan-bulan lamanya. Beliau dijaga oleh anaknya, Rahim. Anehnya, apabila waktu makan, beliau begitu pelahap sekali, seperti orang yang benar-benar kelaparan. Juga, walaupun difahamkan beliau terlantar sakit, namun penduduk kampung sering mengadu melihat beliau berkeliaran lebih-lebih lagi pada waktu malam. Akhirnya, Rahim meminta pertolongan Imam kampung untuk menyelesaikan masalah yang membelengguinya. Lantaran menyaksikan pertarungan getir Imam dengan Mak Wok yang sebenarnya telah dikuasai kejahatan lain (iblis dsb) berpunca daripada perbuatan syiriknya menyekutukan Allah.

...Mak Wok mengganasKeesokan harinya, di kala azan subuh berkumandang, Mak Wok menghembuskan nafas terakhir. Namun, jenazah Mak Wok tidak seperti kebiasaan, kerana dalam masa yang begitu singkat sekali ia membusuk, malah segala macam jenis ulat dilihat mula meratah tubuh arwah tersebut. Bukan itu sahaja, mayatnya tiba-tiba bertukar menjadi hitam legam seolah-olah rentung terbakar. Ini berlaku setelah mayatnya dimandikan dan sejurus sebelum jenazahnya diusung ke perkuburan untuk dikebumikan.

Sungguh tidak saya menjangka sama sekali bahawa telefilem ini begitu hebat sekali. Agak jarang saya memuji filem-filem seram produksi tempatan, tetapi untuk telefilem ini, saya harus tabik hormat dengan pengarahnya, Opie Zami (atau kita lebih kenalinya sebagai Mat Rock dalam Spanar Jaya). Ia hampir sempurna dari segenap aspek. Dari teknik fotografi, sinematografi, olahan skrip dan lakon layar, kesan khas (bunyi & visual), elemen seram, 'gore', cemas serta suspen yang ditonjolkan seolah-olah menafikan bahawa ia dibikin oleh anak muda 'gila-gila' ini. Ada beberapa babak yang sungguh memeranjatkan sehingga terloncat saya dibuatnya!

...M Rajoli sebagai ImamYang lebih melengkapkan lagi kesempurnaan VCD ini ialah dengan adanya sarikata dalam bahasa inggeris. Walaupun perkara ini (sarikata) dianggap kecil bagi sesetengah pengeluar filem (vcd khususnya), tetapi sebenarnya, ia amat besar besar pengaruhnya dalam memberi kesan apresiasi sesebuah tontonan. Saya berharap agar setiap pengeluar filem vcd tempatan tidak bersikap acuh tak acuh mengenai perkara 'subtitle' ini. Ia penting sebenarnya.

Sebagai komedian, Opie tidak lupa menyuntik unsur komedi ke dalamnya. Saya ketawa melihat watak seorang watak pemuda cina bernama Ah Lek, yang cuba menenangkan Tulang (salah satu watak dalam filem ini) agar 'mengucap' kerana terserempak dengan 'hantu' Mak Wok. Saiful Apek juga muncul (undangan khas) sebagai penyeri filem ini. Walaupun sesetengahnya (komedi) agak slapstik, formula komedi yang sama (berulang-ulang contohnya penggunaan dialog oleh Bob Ku2) dan agak lapuk tetapi ia berjaya diseimbangkan dengan baik malah masih mampu menggeletek hati.

...muntah satu kampungSeperkara lagi yang menarik tentang filem ini ialah, ia tidak disudahi dengan mimpi (seramimpi). Seperti yang saya pernah saya mengutarakan untuk filem Kafir suatu ketika dahulu, di pengakhiran filem ini jelas memberikan hukuman terhadap segala kejahatan yang berlaku. Maksudnya, ia mengangkat darjah keIslaman, yang mana memberikan suatu tafsiran bahawa walau sehebat mana sekalipun kuasa sakti atau ilmu hitam yang diamalkan oleh seseorang itu, ia tidak akan mampu melawan kebesaran Tuhan.

Dan apa yang saya lihat, filem ini seperti memberi homage ke atas filem-filem seram melayu 60an, 70an dan 80an dahulu dan termasuk juga filem-filem produksi Indonesia yang seumpamanya. Ini suatu perkara yang harus dibanggakan. Tambahan lagi ia ditamatkan dengan paparan tafsiran surah Al-Nisa' - Ayat 116 dan Surah Al-An'aam Ayat 120.

Corak ending sebegini adalah jauh lebih baik dari mimpi (tiba-tiba di polan itu tersedar dari mimpi) yang jelas tidak memberikan sebarang impak apatah lagi makna ke atas sesebuah filem seram (atau kononnya tahyul dan terlalu 'ganas') itu. Untuk itu, saya tidak ragu-ragu untuk meletakkan telefilem ini antara genre seram yang terbaik tahun ini bagi produksi tempatan.

Syabas Opie aka Mat Rock serta semua krew yang terlibat dalam pembikinan VCD "Keris Lama" ini!

Konsep & Idea asal : KISAH BENAR dari Mastika (Okt. 2003)
Skrip (olahan semula) : Panel Skrip Opy Global Pictures Sdn Bhd
Sutradara : Opie Zami
Barisan Pelakon : Mohd Latiff Zami (sebagai Rahim), M. Rajoli (Imam), Maimunah Ahmad (Mak Wok), Bob Ku2 (Man), Mohd Syawal Hussein (sebagai Tulang), Paramasivam (Param), Tan Choo Yee (Ah Lek), Mohd Idrus Adnin (sebagai Bilal).
Terbitan : Opy Global Pictures Sdn Bhd & Hollymood Sdn Bhd

13 August 2004

Ulasan Filem : Fahrenheit 9/11 (2004)

Fahrenheit 9/11Oleh Mahhass

Kontroversi... Apa (kejadahnya) kontroversi? – Michael Moore

Filem dokumentari ini menyelongkar segala rahsia di sebalik serangan berdarah 9/11 ke atas Amerika beberapa tahun lalu, seterusnya penjajahan amerika terhadap Afghanistan sehinggalah penaklukan ke atas Iraq.

Michael Moore kini sekali lagi mengusung kameranya ke sana ke mari, (selepas Bowling For Columbine) berjuang bersendirian dalam usahanya untuk membuka mata seluruh umat dunia akan pembohongan besar presiden George W. Bush dan kuncu-kuncunya. Doku-filem ini digarap sepenuhnya dengan paparan sebenar (real-footage) serta dinaratorkan (voice-over) dengan penuh sarkastik oleh beliau sendiri sepanjang hampir 2 jam ia berlangsung.

Sebahagian paparan yang terkandung begitu getir sekali. Pembukaannya ialah sewaktu kejadian sebenar 9/11, tetapi yang menariknya, Moore memilih untuk menggelapkan skrinnya. Yang kedengaran hanyalah jeritan tragis, bunyi-bunyian siren kecemasan serta pekikan orang awam dalam suasana yang cukup dramatik sekali. Lantas Moore mempersoalkan di manakah sang presiden tatkala bumi amerika digegarkan waktu itu.

Rupa-rupanya, sang presiden sedang dalam lawatan ke sebuah sekolah (beliau berada di dalam sebuah kelas sambil memegang sebuah buku "My Pet Goat"). Yang menariknya, walaupun sang presiden sudahpun dimaklumkan tentang serangan tersebut, beliau masih lagi dilihat duduk di bangku tersebut hampir 7 minit lamanya membisu tanpa memberikan sepatah haram arahan atau tindakan. Sorotan ini jelas menggambarkan keperibadian sang presiden yang mewakili seluruh rakyat amerika umumnya.

Fahrenheit 9/11Seterusnya, Michael Moore membongkar hubungan perdagangan di antara keluarga Bush dengan keluarga Bin Laden. Peliknya, walaupun sehari selepas serangan 9/11 tersebut sang presiden telah mengistiharkan arahan bahawa segala penerbangan udara amerika dihentikan, kenapa pula 14 anggota keluarga Bin Laden dibenarkan pulang ke Arab Saudi? Bukankah kebiasaannya dalam mana-mana prosedur siasatan, ahli keluarga suspek (Osama yang terang-terangan dituduh bertanggungjawab) akan ditahan untuk disoal-siasat terlebih dahulu? Sebaliknya kenapa mereka dibenarkan pulang? Ini antara persoalan menarik yang diajukan Moore terhadap misteri serta kewibawaan pentadbiran Bush.

Penjajahan Afghanistan rata-rata antara kita pastinya sudah maklum, iaitu agenda amerika untuk merampas serta mendapatkan laluan gas-pipeline merentasi negara tersebut yang sebelum ini pernah cuba dijajah Russia. Kononnya memberi alasan bahawa kerajaan Taliban telah menyembunyikan Osama sedangkan mereka tahu bahawa sudah 2 bulan lamanya Osama tidak lagi berada di negara tersebut. Yang menghairankan lagi, beberapa bulan sebelum 9/11, wakil Taliban ada melakukan lawatan diplomatik ke Amerika. Persoalan menarik : Kenapa mesti berperang dengan musuh yang sebenarnya tiada?

Kemudian Moore menyorot peperangan ke atas Iraq yang mana mereka melabelkan Saddam Hussein sebagai alasan/ancaman mereka. Kononnya untuk membebaskan rakyat Iraq dari cengkaman diktatorship. Apa ke jadahnya "pembebasan" yang dimaksudkan, jika yang sebenarnya menjadi mangsa ialah orang awam di sana? Di segmen ini terdapat beberapa paparan sebenar yang begitu menyayat hati, lebih-lebih lagi tangisan seorang balu yang meratapi pemergian saudara maranya berlatar belakangkan sebuah petempatan yang musnah dibom tentera amerika. Adakalanya diselitkan dengan rakaman bantahan tunjuk perasaan rakyat Iraq terhadap serangan amerika, serta visual mayat-mayat pejuang Iraq dan juga tentera amerika yang terbunuh. Ada mayat yang dipijak, dihentak-hentak, malah ada yang dibakar sehingga rentung. Ia jelas menunjukkan kebencian amat sangat penduduk Iraq terhadap penjajahan tidak berperikemanusiaan tersebut.

Fahrenheit 9/11Moore juga tidak ketinggalan untuk menayangkan beberapa rakaman sebenar temuramah ke atas beberapa askar amerika. Kebanyakannya menyatakan pendirian yang positif terhadap pentadbiran Bush walaupun ada juga antara mereka yang sedar bahawa usaha (penaklukan) tersebut seakan sia-sia akibat tentangan hebat orang awam serta risiko yang mereka sedang hadapi.

Doku-filem ini juga membongkar agenda Bush dalam usaha mendapatkan penguasaan minyak di Iraq. Kontroversi sebuah syarikat gergasi amerika yang sudahpun berpengkalan di Iraq memulakan operasi mereka walaupun kononnya mereka seringkali melaungkan bahawa rakyat Iraq lah yang berhak ke atas harta mereka. Ini merupakan sebuah lagi pembohongan Bush.

Akhirnya, Moore memilih pendekatan jiwa ke dalam satira politikal ini. Beliau menemuramah salah seorang ibu (Lila Lipscomb) kepada mangsa (askar amerika) yang terbunuh sewaktu penaklukan di Iraq. Menurut ibu tersebut, anaknya menjadi mangsa kerakusan serta ketamakan pentadbiran Bush, malah beliau menyeru kepada setiap ibu bapa kepada askar yang terlibat, agar tidak lagi melibatkan diri dalam segala kancah peperangan ini. Apa yang terjadi ke atas anaknya dapat dijadikan contoh yang baik untuk seluruh warga amerika dan dunia khususnya.

Secara keseluruhannya, dokumentasi provokatif hasil garapan satiris politikal baru amerika ini, saya kira berjaya mendedahkan segala bentuk agenda/konspirasi yang barangkali belum pernah diperdedahkan sebegini berani oleh mana-mana jurnalis atau filmmaker sebelum ini. Samada benar atau tidak, ia sudah jelas memberikan tamparan hebat terhadap Bush dan kepimpinannya. Kebebasan bermedia dan bersuara sebeginilah dilihat sebagai method yang begitu berkesan untuk sesuatu institusi dalam menyampaikan ketidakpuasanhati.

Tetapi itulah Amerika. Ia bukan lagi suatu perkara baru. Kalau di Malaysia, sudah pastinya Michael Moore akan disumbatkan ke dalam ISA. Tetapi itu tidak penting kerana ada benda yang lebih penting, iaitu persoalan bilakah pula doku-filem yang menggegarkan dunia ini akan ditayangkan di negara kita, Malaysia.

Yang menghairankan saya ialah walaupun sudah hampir dua bulan filem ini ditayangkan seluruh dunia, masih belum lagi ada tanda-tanda yang ianya akan ditayangkan di pawagam tempatan. Apa sudah jadi? Bukankah dokumentari ini amat sesuai dipertontonkan rakyat kita yang sememangnya prihatin malah menentang tindakan Bush ke atas Afghanistan, Iraq serta apa jua peperangan yang berlaku di muka bumi ini?

Barangkali doku-filem ini tidaklah sehebat Spider-Man 2 yang begitu senang meraih RM6 juta dalam masa kurang dari seminggu tayangannya. Kasihan filem ini walaupun telah menempa sejarah dengan menggondol anugerah Filem Terbaik di Cannes Film Festival 2004 baru-baru ini. Atau adakah Malaysia memilih untuk mengharamkan tayangan dokumentari ini? Atau ada 'pihak' lain yang campur tangan dalam urusan tayangannya di sini? Kini saya, barangkali mewakili Michael Moore untuk mengajukan soalan hangat ini kepada 'mereka-mereka yang berkenaan' di luar sana.

Nota : Terima kasih Cik Adzleen a.k.a setokin

11 August 2004

Ulasan Filem : Frailty (2002)

Oleh Mahhass

Kembali menonton horror. Kali ini bukan sebarang horror yang saya tonton, tetapi antara genre yang terbaik pernah dihasilkan lebih-lebih lagi untuk alaf baru ini. Saya berani katakan demikian kerana belum ada lagi 'formula' horror sebegini rupa pernah dihasilkan sebelum ini.

Maka, Bill Paxton boleh sahaja berdiri megah apatah lagi filem ini merupakan filem sulung arahannya, ditambah pula 'keaslian' skrip hasil penulisan (juga kali pertama) Brent Hanley yang di bawa ke layar besar.

Kalian usah tersilap, kerana Frailty bukanlah filem blockbuster baru sebagaimana The Village yang sedang menggegarkan panggung wayang kita tatkala ini, kerana filem ini terlalu di'underrated' suatu masa dahulu. Tidak ramai yang mengetahui kewujudan filem ini. Saya sendiripun harus mengaku yang saya terlalu pesimis terhadap filem ini pada mulanya.

Sehinggalah saya diyakinkan oleh Fadz, yang meletakkan filem ini sebaris dengan filem-filem cult pilihannya untuk tahun 2003.

Bukannya apa, tapi lihatlah saja dengan tajuknya... (sungguh tak meyakinkan tambah lagi rupa cover dvd/posternya). Lagipun, tajuknya memang tak berapa sesuai dengan intipati yang terkandung di dalamnya. Banyak tajuk lain yang lebih sesuai, lebih 'kena' atau lebih menarik perhatian untuk filem ini pada hemat saya. Mungkin ini salah satu faktor kenapa filem hebat ini 'diabaikan' peminat horror khususnya.

Premisnya mudah. Kisah pembunuh bersiri yang diberi gelaran "God’s Hand" yang sudah sekian lama diburu pihak FBI. Kisah ini bermula dengan abang kepada pembunuh bersiri itu tampil di pejabat FBI lalu membuat pengakuan dan menceritakan segalanya secara terperinci tentang sejarah adiknya itu, yakni dari saat mereka berdua masih lagi kecil. Beliau mengimbau kronologi bagaimana, di mana dan yang paling pentingnya ialah persoalan "MENGAPA" perkara itu semua berlaku.

Lalu kita ketahui yang ayahnya telah diturunkan suatu 'rahmat' kuasa/sakti, yang menjadikan beliau (diamanatkan) sebagai penghapus 'syaitan yang bertopengkan manusia' di muka bumi ini. Maka bermula saat itulah (setelah nama-nama syaitan itu 'diutuskan') lalu seorang demi seorang mangsa tersebut diculik dan dibunuh.

Walaupun temanya berbunyi seakan sebuah lagi kisah 'gore-slasher-horror', apatah lagi terdapat alatan membunuh seperti 'kapak', sarung tangan, tempat persembunyian rahsia bawah tanah (sebagai 'medan' pembunuhan dilakukan) namun kesemua material ini bukan sebenarnya dijadikan elemen asas yang menguatkan genre ini. Apa yang nyata, 'kisah keluarga' itu sendiri (yang dianggap disfungsi) merupakan "keseraman sebenar" filem ini. Jika filem Se7en 'gah' dengan psycho-thrillernya, Frailty ada ramuannya tersendiri lebih-lebih lagi twist di bahagian akhirnya.

Walaupun filem ini begitu menggegarkan tetapi sebenarnya cukup 'mudah'. Ia terlalu mudah untuk disukai (dari sudut apresiasi horror), juga amat mudah dibenci - khususnya bagi mereka yang terlalu 'melihat' filem ini ke arah konteks keagamaan.

Seperti biasa, saya tidak mahu membicarakannya (tentang keagamaan) kerana saya tahu pendirian saya. Kerana setiap apa jua filem yang berkisarkan keTuhanan, keMalaikatan, syaitan (kejahatan) serta benda-benda ghaib yang dimanipulasikan Hollywood, pastinya ada di antaranya yang boleh membuatkan kita untuk "melihat dari sudut Islam" (yang mana kita boleh hubungkaitkan dan yang mana tidak). Harus tidak akan wujud istilah "filem yang menyesatkan" selagi kita berpegang teguh pada Iman kita.

Dari filem-filem sebegini, sebenarnya lebih menguatkan lagi pegangan kita terhadap agama kita. Ia seolah-olah melihat melalui 'pantulan cermin'... yang pastinya kita sendiri tahu membezakan mana yang realistik dan yang mana simbolistik.



Memetik kata Fadz: "..adalah antara filem yang berani 'menarik' kita masuk ke dalam lubangnya, dan bukan sahaja kita 'dipaksa' duduk dalam lubang itu, kita tidak dibenarkan keluar langsung dari lubang itu."

Saya pula akan katakannya dengan lebih mudah dan ringkas : "Getir dan sungguh original"

Sutradara : Bill Paxton
Skrip & lakon layar : Brent Hanley
Barisan Pelakon : Bill Paxton, Matthew McConaughey, Jeremy Sumpter, Matt O'Leary
Genre : Drama/Thriller/Horror/Misteri/Seram/Slasher/Psycho dll.
Tahun : 2002
SKRIN Rating : A- (4/5)

09 August 2004

Ulasan Filem : Malaikat Di Jendela

Oleh Mahhass

Sebuah filem pendek karya serta arahan sutradara muda, Osman Ali. Walaupun durasinya begitu singkat (sekitar 30 minit) namun filem ini merupakan sebuah karya puitis yang hebat berbekalkan tema 'gelap', falsafah serta mesejnya yang cukup berat lagi mendalam.

Ia adalah kisah seorang isteri (lakonan Ning Baizura) yang menjalani hidup dengan menjaga suaminya yang terlantar sakit di sebuah rumah yang agak jauh terpinggir dari masyarakat. Kisah menyayat hati ini digarap melalui voice-over narration oleh anaknya iaitu sebagai (metafora) 'malaikat' yang sedang memerhati dan berbicara dari suatu sudut metafizikal jendela. Suara si kecil itulah yang menceritakan segalanya dengan penuh 'subtle' dan begitu menyentuh perasaan.

Mendengar keluhannya sahaja cukup membuatkan saya merasa sebak. Suara kerinduan si kecil itu untuk berada di pelukan ibunya dan kerapkali menyatakan hasrat dan berdoa agar ibunya sentiasa bersabar menempuh segala dugaan. Prosa 'literal' si kecil inilah yang sebenarnya menjadi aset utama kekuatan bagi keseluruhan filem ini.

Si ibu merupakan seorang bidan di kampung. Oleh kerana penyakit yang dihidapi suaminya, maka beliau dipandang serong, dan seolah-olah disisih masyarakat kampung itu. Sehinggalah suaminya pergi buat selama-lamanya. Saat itu beliau hanya mampu melihat jenazah arwah itu diusung pergi.

Si isteri yang kini tidak lagi membidan, meneruskan hidup sebagai nelayan. Namun, atas kegersangan kasih sayang, lalu sebuah dosa terpahat. Dan dosa itu merupakan entiti yang menggambarkan erti sebuah harapan yang kian musnah atau lenyap. Tambahan lagi suara 'resah' si kecil itu, 'menantikan' ibunya yang masih belum pulang-pulang lagi.

Kekuatan filem 'indie' (yang diterbitkan oleh Nuansa Films dengan kerjasama FINAS sebagai sebuah filem dana) ini selain dari kehebatan skrip dan arahan Osman Ali, ia juga terletak di bahu Teoh Gay Hian, iaitu pengarah seni fotografi yang telah menayangkan kita rangkuman sinematografi yang begitu indah lagi memukau. Paling menarik ialah sewaktu babak 'pensucian-dosa' di dalam air, berjaya memperlihatkan seni sebuah visual fotografi yang cukup membanggakan.

Begitu juga dengan alunan muzik latarbelakang oleh Nurzaidi Abd Rahman yang membentuk suasana kehibaan. Penggunaan dialog yang minimalis serta penghayatan watak-wataknya yang penuh kemanusiaan, walaupun pada mulanya saya agak skeptikal terhadap pemilihan Ning Baizura sebagai protagonisnya. Menariknya, pembawakan watak Ning sangat 'menjadi' malah menggegarkan.



Saya amat tertarik dengan jukstaposisi kampung (suasana yang tenang), perahu, sungai, laut dan AIDS (sebagai simbolisme hukuman ke atas dosa manusiawi). Ia memberikan kita pelbagai interpretasi yang mana saya percaya ianya agak 'samar' di kalangan audien mainstream. Walaubagaimanapun, saya kira Osman Ali telah berjaya menjadikannya sebagai sebuah karya yang cukup provokatif, landasan kedua selepas Bukak Api ke persada antarabangsa.

Kredit : Laman Web Nuansa Films, Malaysia

04 August 2004

Ulasan Filem : The Manchurian Candidate (1962)

The Manchurian Candidate (1962)Oleh Mahhass

Kalau diikutkan, filem-filem yang berkisarkan tentang konspirasi politikal bukanlah antara genre kegemaran saya. Tetapi agak lain ceritanya untuk filem klasik The Manchurian Candidate. Filem yang diarahkan oleh John Frankenheimer pada tahun 1962 ini jelas mempunyai segalanya. Ia dikategorikan di antara filem yang paling 'sempurna' pernah dihasilkan.

Dari elemen konspirasi, horror (paranoia), sains fiksyen, cemas, suspen, perang dingin, cinta (romantis), pembunuhan, surrealistic, politikal melodrama, 'noirish' malah juga diselitkan dengan unsur black-comedy. Kesemua elemen ini digabungkan dalam filem ini. Ia digarap cemerlang oleh penulis lakon layarnya, George Axelrod (1922-2003) setelah diadaptasi dari novel hasil penulisan Richard Condon.

Ia mengisahkan tentang sekumpulan askar amerika yang baru sahaja pulang dari perang di Korea (Cold War). Mereka disambut, dijulang dan dianugerahkan pingat di atas jasa-jasa mereka oleh kerana kepahlawanan, kesetiaan mereka berkhidmat untuk negara. Sebelum itu kita akan 'faham' bahawa mereka terlebih dahulu telah di brain-washed oleh agen Soviet/Chinese (atau mungkin penentang kerajaan) untuk membunuh calon presiden ketika itu berdasarkan mimpi ngeri (pelik) yang dialami oleh semua askar yang terlibat. Walaubagaimanapun, filem ini hanya memberi tumpuan kepada dua watak utamanya, iaitu Captain Bennett Marco (lakonan cemerlang Frank Sinatra) dan Sgt. Raymond Shaw (lakonan Laurence Harvey).

Dari seawal minit pertama lagi, filem ini tidak henti-henti berdialog. (Jadi bagi sesiapa yang mengharapkan sebarang paparan aksi, filem ini bukan untuk anda!). Dari dialog-dialognya jika diamati betul-betul, ia begitu sarat dengan simbolisme dan membuatkan kita tertanya-tanya "Apa yang sedang berlaku, Siapa sebenarnya dan Mengapa?".

Filem ini memaparkan beberapa teknik yang begitu berkesan sekali terutamanya sewaktu babak brainwashing di Garden Club Party. Teknik (brain-washing) ini begitu sofistikated, sungguh original, sangat brilliant dan cukup istimewa, memandangkan filem ini dibuat hampir 42 tahun yang lalu. Tidak hairanlah filem ini diharamkan tayangannya di negara-negara 'Tirai Besi' (Soviet dan sekutu komunisnya termasuk China) sehinggalah tahun 1993 (setelah Soviet Union tumbang).

Menyentuh tentang lakonan, kesemua watak-wataknya begitu bernyawa sekali menggerakkan segala elemen yang saya sebutkan di atas. Frank Sinatra dengan gaya seorang hero moden Amerika. Adegan beliau di keretapi bersama Janet Leigh merupakan salah satu adegan yang paling bermakna untuk filem ini. Kedua-duanya jatuh cinta antara satu sama lain dengan penuh 'subtle' dan 'frankness'. Laurence Harvey pula dengan gaya tenangnya sebagai pembunuh. Manakala Angela Lansbury pula sebagai satira 'kejahatan' era politikal Amerika tatkala itu.

Kesan dan pengaruh filem ini bukan setakat itu sahaja, malah ada segelintir pihak yang mengaitkan filem ini dengan peristiwa pembunuhan Presiden J.F.Kennedy setahun kemudian. Samada benar atau tidak Lee Harvey Oswald telah diinspirasikan oleh filem ini masih menjadi tanda tanya sehingga kini. Berikutan itu, Frank Sinatra (yang difahamkan mempunyai hak ke atas filem ini) menghentikan tayangannya ke serata dunia sebagai tanda penghormatan di atas pembunuhan JFK sehinggalah ia di'release' semula dalam format Home Video itupun setelah hampir 25 tahun, iaitu pada tahun 1987.

The Manchurian Candidate (2004)Dan kini, buat pertama kalinya setelah hampir 4 dekad, filem ini telah di’remake’, dan kini sedang ditayangkan di serata Amerika. Ia dipertanggungjawabkan sepenuhnya di bahu Jonathan Demme, sutradara yang pernah menggegarkan serata dunia dengan filem The Silence of The Lambs . Adakah ini sekali lagi satu petanda bahawa Hollywood sudah ketandusan idea?

Dibarisi bintang handalan seperti Denzel Washington sebagai Capt Ben Marco (menggantikan Sinatra), Meryl Streep (sebagai Eleanor Shaw, mengambil alih tugas Angela Lansbury - saya harapkan Meryl Streep boleh 'meletup' di Oscar untuk filem ini sebagaimana Lansbury) dan Liev Shreiber yang memegang watak Sgt. Raymond Shaw.

Mungkin saya agak skeptikal (apatah lagi selepas menonton trailernya), apapun saya mengharapkan sebuah garapan baru yang lebih memikat di samping elemen-elemen penting filem ini dikekalkan... - yang mana telah menjadikan ia tersenarai dalam political-thriller terbaik pernah dihasilkan ini.

Nota : Terima kasih Fadz untuk VCD.

03 August 2004

Ulasan Filem : Confusion of Genders (2003)

Oleh Mahhass

"Sebelum aku dihujani pelbagai 'tomahan', harus aku katakan, bahawa faktor yang telah mempengaruhi aku untuk menonton filem ini adalah kerana terpampangnya beberapa 'label' di poster filem ini, iaitu kejayaannya memasuki festival filem antarabangsa seperti Sundance, Palm Springs, New York serta Cesar Awards, France – bukan sebab 'jenis' atau apa-apa sahajalah tentang filem ini."

Confusion of Genders adalah sebuah lagi filem Perancis. (ya, filem mereka lagi...). Sudah cukup bosan rasanya untuk saya menonton filem keluaran Perancis yang tak sudah-sudah dengan kisah paparan seks explicit dan segala macam permasalahannya. (Tentu sahaja kita boleh meneka kisahnya dengan hanya berpandukan pada tajuknya). Saya cuba untuk tidak mempedulikan paparan itu semua kerana apa yang saya cari ialah 'cerita' yang ada dalam sesebuah filem itu.

Filem ini mengisahkan Alain Bauman (lakonan Pascal Greggory), seorang lelaki berusia 40an (dalam midlife crisis), yang masih lagi tidak berpijak di alam nyata. Beliau masih keliru dalam 'mencari' dirinya sendiri. Mencari jawapan samada adakah beliau merupakan seorang gay, biseksual mahupun heteroseksual.

Alain merupakan seorang peguam. Mempunyai teman wanita yang juga sepejabatnya iaitu Laurence (yang juga terbelenggu dalam midlife crisis). Mereka seringkali tidur bersama. Pada masa yang sama, (seperti yang saya katakan tadi bahawa beliau 'keliru'), Alain menjalinkan hubungan dengan Christophe, (gay yang begitu mencintainya). Kebingungan Alain kian bertambah apabila Laurence disahkan mengandung, lalu mereka terpaksa merancang untuk mendirikan rumahtangga. Maka di sinilah konflik yang dialami Alain berikutan hubungan songsangnya ini menjadikannya bertambah rumit dan membingungkannya.

Dalam masa yang sama juga, kliennya, Marc yang berada dalam tahanan penjara sanggup menyerahkan 'dirinya' untuk dijamah Alain semata-mata untuk meminta Alain memujuk teman wanitanya Babette, berjumpa dengannya. Bagaimanapun, Babette tiba-tiba pula menaruh hati terhadap Alain (setelah berkali-kali beliau berjumpa dengannya). Di sini, kita sebagai penonton, mungkin dapat melihat kekeliruan demi kekeliruan Alain dalam usaha mencari 'cinta' sebenarnya apatah lagi beliau akhirnya berkahwin dengan Laurence. Sehinggakan sewaktu upacara perkahwinannya, Alain mengaku yang beliau lebih mencintai Cristophe, iaitu pasangan homoseksnya.

Apa yang boleh saya katakan ialah perjalanan plot filem ini ternyata lemah dan cukup membosankan. Begitu banyak sekali paparan ranjang yang terkandung di dalamnya yang jelas tidak 'asli', artistik apatah lagi untuk ditakrifkan sebagai 'seksi'. Sekali lagi saya tidak mengerti kenapa filem explicit yang bertemakan seks sebegini berjaya memenangi hati para juri sehingga disanjung, diangkat dan dipuji di festival filem antarabangsa. Adakah juri-juri lebih mengutamakan filem yang bertemakan seks sebagai kriteria penting dalam pemilihan filem-filem bermutu? Atau adakah mereka-mereka itu juga terdiri dalam golongan (biseksual) itu? Kalau filem ini berjaya di peringkat Lesbian & Gay International Film Festival barangkali tidaklah menghairankan.

Kalau dinilai dari segi teknikal juga tiada apa yang boleh dibanggakan. Tidak seperti Humanite dan mana-mana filem Perancis yang banyak menekankan aspek sinematografi, filem ini tidak wujud itu semua malah watak-wataknya langsung tidak berjaya menimbulkan sebarang respons di hati, kecuali saya lihat watak Marc yang bolehlah dikatakan paling berkesan (dilakonkan oleh Vincent Fernandez).

Walaupun filem ini pada dasarnya adalah sebuah genre komedi namun, keseluruhan watak-wataknya tiada menunjukkan sebarang simbolik komedi (ekspresi wajah terlalu serius) yang sekurang-kurangnya boleh membuatkan kita senyum (kalau tidak ketawa sekalipun). Mungkin juga elemen komedi ini boleh dirasai bagi penonton Perancis saya kira.

Barangkali juga kerana sarikata DVD yang rasa saya, tidak berapa seiring dengan dialog (komedi), ditambah lagi dengan kebosanan lakonan dan skripnya, memaksa saya untuk melabelkan filem ini "entah apa-apa entah".

SKRIN Rating : C- (1.5/5)
Keseluruhan DVD kualiti : 4.5/5
Mengandungi galeri imej, beberapa buah teaser/trailer DVD filem-filem asing dari Tales of Orphanage seperti Abandoned, Class Trip, Killer Kid, dan lain-lain.