Terma atau syarat utama sebuah filem slasher ialah pertamanya perlu ada sekurang-kurangnya satu pasangan ataupun sekumpulan remaja, kedua, (lazimnya) ada seks dan ranjang (dianggap simbolik ‘dosa’ yang dilakukan), ketiga, sudah tentu ada sebuah lokasi (di sini, boleh jadi di mana sahaja – rumah, hutan, kabin, pantai, tasik – janji ia jauh atau terpencil), keempat yang terpenting - ada pembunuh psiko (karakter ini pula dinilai dari method eksekusi dan juga alat membunuh yang diguna pakai) dan akhir sekali survivor (barangkali satu atau mungkin lebih karakter protagonis) yang akan berusaha sedaya upaya (secara intens) menyelamatkan diri (dengan penuh sesalan di hati) yang akhirnya bakal membuat perhitungan hidup-mati di fragmen konklusi.
Justeru, persoalan samada mereka selamat atau tidak, itulah yang bakal dicari para audiens yang mengikuti sebuah ‘cerita’. Manakala untuk peminat slasher fanatik, perkara klise mahupun repetitif tema serta cerita itu tidak lagi terlalu penting, kerana yang lebih penting ialah sejauh manakah ia seru, keganasan serta kuantiti gore yang bakal disajikan. Golongan peminat ini (termasuklah aku) sentiasa mahu lihat psiko baru muncul di sinema horror. Ikonik atau tidak itu belum tiba masanya lagi untuk dilabelkan. (Aku masih ingat filem Wolf Creek (2005) juga mendapat reaksi negatif awal rilisannya. Kini, ironinya menjadi sebuah filem ikon slasher Australia, walaupun bersifat anti-pelancong kerana berdasarkan kisah benar di outback)
Sinopsis filem ini (sila cari dan baca sendiri di IMDB ataupun sebenarnya ia persis syarat awal di atas, kalau kau malas sangat ke sana), ibarat seratus persen isi serta struktur ceritanya. Walaupun filem ini punya sifat ordinari filem slasher “true-horror” pos-70an, sejak Last House on The Left (1972), Texas Chainsaw Massacre (1974), disusuli era Freddy dan Jason sekitar 80an (filem slasher waktu ini disuntik elemen supernatural) sehinggalah ke era Scream 90an yang lebih mesra mainstream, Kill Theory masih tetap cuba mencari identiti, seiring dengan filem slasher pasca-moden. Francais SAW adalah pengaruh besar skripnya (apabila si psiko mula memberi klu survival terhadap mangsanya, malah beliau mengajak mangsanya ‘bermain’, yakni berbunuhan sesama mereka).
Yang jelas, filem ini cuba tampil smart, dengan sebuah ide yang agak baik, walaupun sebenarnya masih kurang originaliti (kerana itu aku suka keaslian Midnight Movie (2008) baru-baru ini walaupun absurd serta 'keluar' dari realisme “true-horror” slasher) tetapi, oleh kerana ia sebuah filem debut Chris Moore, serta juga debut penulisnya Kelly C. Palmer, maka ia menjadi “tak apalah” untuk aku. Di sini, kita sedar betapa kuatnya pengaruh SAW (2004) terhadap horror pasca-moden (untuk itu kita seharusnya berterima-kasih kepada James Wan dan Leigh Whannell). Sebenarnya kerana audiens tidak lagi mahu sebuah clear-cut skrip. Audiens mahu di‘tipu’ (secara baik) di konklusi, tetapi bukan dipersendakan.
Walaubagaimanapun, di samping segala macam modul twist serta beberapa elemen gorifikasi/violence "anti-hollywood" yang berskala tinggi dalam Kill Theory (serius, ada satu babak homej giallo yang seru – rujuk bagaimana si gemuk itu dibunuh), filem ini tidaklah hebat dan tidak pula jelek, secara keseluruhannya. Ya, ada indikasi di penamatnya seakan filem ini bakal disekuelkan, walaupun tidaklah kompulsori.