31 December 2008
Midnight Movie (2008) - Nuovo Cinema Hell(idiso)
Ini barangkali sebuah hiburan ‘ultimate’ penutup tirai 2008 buat aku. Sebuah filem slasher yang sebetulnya unik, berciri ‘bertih jagung’, namun sangat efektif lagi original, bukan sahaja untuk tahun ini, bahkan tidak salah kalau aku posisikan sepanjang zaman, sepertimana keunikan Behind The Mask : The Rise of Leslie Vernon (2006). Ya, sekali lagi aku kesal, kerana terlalu cepat menyenaraikan Top 10 Horror Terbaik 2008 tempohari. Midnight Movie sudah tentu tidak aku tinggalkan. Namun sudah agak terlambat rasanya. Ditambah pula dengan tahap kemalasan aku kian menggunung berikutan cuaca panas di Perth kebelakangan ini. Asalkan filem ini didokumentasikan di SKRIN, bagi aku sudah cukup memadai.
Diringkaskan, filem ini senang dan seronok. Tentang pembunuh ala ikonik slasher seperti Leatherface (Texas Chainsaw Massacre), Michael Myers (Halloween) ataupun Jason (Friday 13th) dari sebuah filem slasher di sebuah pawagam. Ironinya, si pembunuh itu ‘berupaya’ keluar dari filem tersebut lalu masuk ke realiti, membunuh audien (uniknya segala pembunuhan juga difragmentasikan di dalam filem itu) seterusnya beliau ‘terjun’ kembali ke dalam filem tersebut. Maka secara tak langsung, telah wujud satu killing sequence dalam plot filem tersebut. Falsafahnya mudah – “Kau mahu filem Horror? Nah, aku kasi kau ‘realiti’ horror”. Sepertimana uniknya garapan Wes Craven untuk francais Nightmare satu ketika dahulu. Barangkali, ada pengaruh besar filem itu (apabila elemen supernatural juga menjadi saduran).
Filem ini awalnya membentuk sebuah komedi, sehinggalah ia (komedi) berlarutan menjadi gelap-segelapnya. Itu perkara biasa (untuk subgenre slasher), apabila beberapa karakter yang impraktikal, eskapis diperkenalkan kita (dan kita sedar akan ‘kebodohan’ watak-watak nakal itu yang mana bakal menambah numeral mangsa sang pembunuh, melalui pelbagai kaedah membunuh, ada yang menguja dengan teknik baru malah ada yang biasa) kerana apa yang lebih mengagumkan ialah apabila filem ini menjadi debut sutradara/penulis Jack Messit, yang sebelum ini berkarier sebagai jurukamera/sinematografer. Maka, secara teknikalnya, filem ini tidaklah terasa seperti dibikin sutradara baru (apalagi bajet rendah) oleh kerana mainan sinematografi banyak membantu atmosfera (saspen/cemas) yang dirangkum. Gorifikasi juga hebat malah berskala tinggi, bahkan ia sarat dengan segala macam homage ekstravaganza filem-filem slasher 70an dan awal 80an. Sudah tentu produksi seterusnya dari Jack Messit ini tidak aku lepaskan.
Sekali lagi, ia sebuah ‘cult’ slasher terbaik tahun ini (dalam konteks keaslian dan keseronokan), malah Jack Messit boleh berdiri mendabik dada lalu ‘menyembelih’ segala filem (slasher) lain yang muncul tahun ini sebelumnya.
"SELAMAT TAHUN BARU 2009"
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment