05 December 2008
Mag-ingat Ka Sa... Kulam (2008) - Kembali dengan Asean-Horror
Kalau diterjemahkan judul dalam bahasa tagalog itu akan membawa maksud (lebih kurang) “Beware of Curse”. Ya, sebuah filem horror dari negara jiran kita, Filipina. Khabarnya, banyak menerima sambutan positif di sana. Entah, aku tak tahu. Yang aku tahu, filem ini sudah ada depan mata, jadi aku tonton sahaja (oh dan sudah tentu tontonan aku tidak 'cukup' kalau tidak berakhir di sini haha).
Sebetulnya, ada beberapa perkara positif yang boleh aku ceritakan. Tapi adalah lebih molek, kalau aku mulakan dengan negatif. Kita simpan dulu yang elok, bak kata pepatah inggeris save the best for last.
Ok. pertamanya tentang temanya yang, well, sudah agak membusuk lagi hanyir – "dendam roh". Kisah sebegini bukan sahaja boleh ditakrifkan sebagai repetitif, malah... (ok ok aku boleh sabar lagi). Keduanya, ada hantu wanita berambut panjang tuan-tuan dan puan-puan, dan setentunya entiti ini suka sangat ‘mengusik’, yang secara tiba-tiba menjelma (ironinya, hobinya juga jatuhkan barang-barang, tutup pintu kuat-kuat, pandai main tutup bukak lampu) oh sudah pasti dikompos elok dengan runut bunyi, sana-sini. Takut? Ya, aku takut. Takut aku gelak kuat sangat sampai jiran aku bangun tengah-tengah malam serang aku dengan parang.
Ok, aku serius kembali (oleh sebab ini perkara positif). Filem ini adalah satu pengaruh langsung filem Gothika (2003), dan ini kita boleh rujuk dari fragmen awal, apabila kemalangan kereta itu adalah sebuah ‘destini’ dan kita faham signifikasinya kerana di situlah ‘takdir’, sebuah asimilasi plot (twist) yang sangat penting dalam filem-filem sebegini. Bagaimanapun, surprisingly membawa sebuah cerita (yang agak efektif) dari sebuah naskhah skrip yang agak solid. Pendeknya, filem ini tentang ‘Saka’, dan perkara ini sangat ‘rapat’ dan sinonim dengan budaya orang Asia Tenggara.
Aku suka si kecil itu (oh dia seorang kanak-kanak buta, dan ‘buta’ itu simbolisme ‘purity’, malah ada kejernihan dalam wataknya). Dia sangat pandai ambil hati (dialog menyentuhnya apabila dia mengeluh untuk melihat ‘gerhana’). Maka sudah tentu si kecil itu juga menjadi ‘penyelamat’, secara literalnya, bukan sahaja di konklusi malah keseluruhan filem ini. Dari sudut originaliti, barangkali ada (skrip), malah agak mengujakan kerana ia (saka) mengambil referens Necronomicon (Book of The Dead) buat julung kalinya ke dalam Asean-Horror. Malah, ia tampil sebagai sebuah ramuan dari filem Gothika (2003), Evil Dead (1981), Ringu (1998), The Exorcist (1973), A Tale of Two Sisters (2003) dan filem yang juga dari seberang berjudul Alone (2007) yang muncul baru-baru ini. Masalah utamanya, barangkali terlalu condong berkiblatkan Korean & Japanese-Horror.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment