Oleh Malique
Gegaran AF kembali bergegar. Nadi Afundi mula berdenyut kencang menanti siapakah 12 pelajar baru yang akan dipamerkan di kaca TV Astro Ria. Fenomena yang sudah semusim meninggalkan bait memori penuh 'sadis' kini bakal memulakan bahangnya.
Pada 28 April, Rabu lalu, satu sidang akhbar telah diadakan di Hotel Palace Of Golden Horses untuk menjawab persoalan terbuku ini. Kini persoalan tersimpul rapi terungkai sudah:
PENGACARA : AZNIL HJ NAWAWI
Beliau menerima tawaran daripada astro pada 24 April (Sabtu) dengan rasa terharu. Malique tidak terkejut dengan pengumuman 'Kerusi Panas' itu kerana Aznil sememangnya layak. Walaupun khabar angin taufan kencang melanda mengatakan kononnya 'Pak Nil' akan digantikan dengan pengacara yang lain seperti Najib Ali, Raja Azura, Afdlin Shauki dan sebagainya, namun hakikatnya sukar untuk mencari pengacara berkaliber yang pandai menonjolkan emosi spontan seperti Aznil.
Kredibiliti karier yang dilihat pada Aznil ialah beliau pandai membuat kita sebak, kita sedih, haru, sayu, pilu, lalu digeletek pula dengan lawak spontannya menukar wajah rupa kembali gembira dan berdekah-dekah ketawa sampai pecah perut. Saya perhatikan, kewibawaan sebegitulah yang perlu diadun dengan sempurna dalam rancangan realiti TV yang kini rancak dikelolakan olah TV yang lain. (Maka timbul Audition-NTV7 dan Malaysian Idol-8TV.)
Satu pemilihan tepat di lensa saya. Aznil yang masih bugar dengan merangkul Anugerah Pengacara TV Lelaki Popular di ABP-BH 2003 baru-baru ini pastinya menjanjikan pengacaraan yang lebih jitu berbanding persembahan beliau pada musim yang lalu. Itu janji beliau ketika berucap di sidang akhbar dimana kata beliau:
“Sebenarnya saya agak iri hati apabila sebelum ini nama calon lain disebut-sebut. Saya yang memulakan, apa salahnya saya kembali lagi memperbaiki kekurangan terdahulu. Saya menanti penuh debaran dan hanya beberapa hari lalu Astro menyerahkan kontrak,”
Diharapkan, sesayu dan sebaknya perasaan Aznil saat itu, sesayu itu juga kita menanti kekuatan yang bakal diperah untuk mengendalikan AF 2 ini. Syabas, Aznil kerana masih berada didalam carta! Yang penting, duit masyuuukkkk!
Ketika diumumkan di press conference, satu gimik yang bagus dibuat bagi mengimbau tradisi dimana menyaksikan pengacara sensasi itu masuk ke dewan sambil menarik beg besar seperti mana pelajar yang terkeluar dulu.
PENGETUA: RAMLI MS
Orang yang paling senang mendengar pengumuman ini ialah para wartawan dan jurugambar kerana mereka secara tidak langsung dapat mengambil foto Ramli MS tanpa kebenaran beliau. Selama ini, Ramli MS selalu menolak untuk bergambar. Tidak tahu pula kenapa.
Kemungkinan keputusan ini mengejutkan semua pihak. Masih teringat lagi komentar 'laser+nuklear' Ramli MS tatkala mengemudi pasukan komentar di Konsert Kemuncak AF musim pertama yang menimbulkan kontroversi. Walaupun komennya cuma beberapa patah kata, cukup mencucuk hati mengalahkan 'laser' Simon Cowell-American Idol lagaknya. Berbisa dan bernanah dalam hati sehingga menjangkiti emosi penonton sendiri. Ramai yang membangkang. Sekaligus menjadi pemadam bara pada semangat para peserta akhir AF.
Namun, sekiranya ditilik dengan cermin kewarasan, direnung dengan aqli kebenaran, kehadiran Ramli MS sebagai ketua 'famili' AF kali ini bakal memberi impak yang bukan sekelumit. Pengalaman beliau dalam industri seni muzik bukan secangkir. Malah nama beliau yang banyak melahirkan bintang yang tersohor juga memimpin orkestra dan konsert termasuk menjadi konduktor AIM2004 dua tiga hari lalu tidak boleh dipertikaikan. Semua itu pastinya mengentalkan sistem pembelajaran AF dengan lebih efisien, efektif dan berkesan (tiga perkataan yang sama ertinya).
Semoga wajah serius Ramli MS diterima oleh kita sebagaimana kita menerima ketelusan 'ex-principal', Freddie Fernandez yang kini mengepalai Maestro Talent sebagai Ketua Pegawai Operasi. Sama-samalah kita tunggu apakah perubahan impak Pakcik Ramli.
PENASIHAT PELAJAR: FATIMAH ABU BAKAR
Kehidupan ini serba berkemungkinan. Apa-apa boleh terjadi dalam masa 24 jam. Bertepatan dengan itu, karektor keibuan yang tertanam dalam diri Puan Fatty pastinya menjadi kayu pengukur bagi merawat segala penyakit yang bersarang. Terutamanya kejutan 'culture', pengawalan emosi, kekuatan fizikal dan ketahanan mental menghadapi setiap rintangan sepanjang 'berguru' di AF.
AF sememangnya memerlukan nasihat dari setiap aspek kehidupan pelajar. Pengisian rohaniah (spiritual) mahupun jasmaniah penting sekali. Saya lebih menyarankan keutamaan AF 2 kali ini lebih menekankan aspek kerohanian berganda-ganda kerana masyarakat malaysia terlalu sensitif dengan isu sebagini. Tidak hairanlah dulu, kita banyak disogokkan dengan kritikan masyarakat tentang hal kerohanian didalam AF yang memang mengecewakan. Isu pergaulan bebas (memang bebas pun...)berpelukan, mencium pipi bukan muhrim dan sebagainya perlu diambil kira termasuk etika berpakaian.
Bukan untuk mengambil hati masyarakat Islam, tetapi realitinya kita wajib berpegang kepada hakikat situasi angin sekitar. Budaya adat dan sopan, tatasusila rakyat timur melayu kerana kita bukan berkiblatkan barat 100 peratus. Lagi pun, rancangan yang dicedok dari 'La Academia' dari Mexico ini tidak semestinya cacat sekiranya diolah sedikit dengan acuan budaya timur kita sendiri.
BARISAN TENAGA PENGAJAR KEKAL DAN KEBAL:
1. SITI HAJAR ISMAIL-NADA SUARA
2. LINDA JASMINE-TARIAN DAN KAREOGRAFI
3. ADNAN ABU HASSAN-VOKAL
Khidmat ketiga-tiga mereka yang penuh berpengalaman ini masih diperlukan. Tiada galang gantinya. Semoga mereka bertiga lebih berperanan untuk membina karismatik pelajar, pembakar obor semangat waja disamping memperkayakan lenggok seni nyanyian, kekuatan vokal serta tarian yang lebih agresif seiring revolusi dunia seni. Kejayaan pelajar juga bergantung bagaimana ramuan ini dibancuh untuk menghasilkan resepi yang sedap dihidangkan buat penonton astro nanti. Tentunya pelanggan astro akan bertambah sejuta lagi?
BARISAN TENAGA PENGAJAR EXTRA:
1. FAUZIAH NAWI-SENI PERSEMBAHAN
2. CORRIE LEE-TARIAN DAN KAREOGRAFI
Patutlah mereka banyak kali kita saksikan berada di lokasi ujibakat AF musim kedua ini. Kedua-duanya merupakan pelopor atau sifu dalam bidang masing-masing. Siapa yang tidak kenal dengan Fauziah Nawi yang mengarah berpuluh-puluh teater termasuk juga berlakon dalam drama TV dan filem. Cukup berkarektor dan berkualiti. Beliau tentunya akan mencurahkan segala kudrat ilmu yang ada untuk pelajar AF dengan sehabis maksimum yang mungkin. Moga kesan pada pelajar optimum juga. Bertuah pelajar AF 2 ini kerana mempunyai sifu seperti mereka. Semoga yang terpilih tidak mempersiakan peluang yang ada.
Dahulunya, Corrie pernah hadir menjenguk pelajar AF musim pertama. Harapan dengan gabungan tenaga Jasmine dan Corrie ini bakal kita saksikan gerak tarian 'Menuju Puncak yang lebih dinamik!
PAKAR MOTIVASI: DR ABDULLAH SHER KAWI
Tidak cukup dengan tambahan dua tenaga pengajar, diusung masuk lagi pakar 'penaik tepung' motivasi. Mungkin 3 sebab mengapa Astro memandang pakar motivasi penting:
a. Ramai pelajar lemah semangat kerana tidak dapat membawa lagu yang diberikan sebagai tugasan. Contoh terdekat-Nana mencurah tangisan disaat mendapat lagu 'Halaman Cinta'. Rosma ketika sukar ber'Ting-Ting'. Atie disaat hiba mencari inspirasi untuk lagu 'Save The Best For Last'.
b. Perpisahan dengan keluarga tercinta membuahkan bibit kerinduan. Lantas kekadang 'hilang fokus' terhadap matlamat sebenar. Contoh? Anda berikanlah sendiri....
c. Inferiority Complex (perasaan rendah diri) yang sukar dibendung tatkala terlalu memandang kelemahan diri sebagai penghalang kejayaan. Contoh: Azizi dengan kesan parut diwajahnya. Sahri yang tidak senang dengan fizikalnya sendiri.
Semua permasalahan yang melibatkan tekanan perasaan atau penyakit jiwa ini perlu ditangani dengan positif dengan bantuan pakar 'jiwa-jiwa' ini. Dengan itu, tenaga pengajar yang lain mempunyai lebih masa untuk menumpukan kepada vokal dan persembahan.
PENGKRITIK TETAP: KUDSIA KAHAR
Memang beliau tidak pernah keluar carta! Beliau umpamakan Paula Abdul-American Idol. Kritik dalam memuji seakan sinonim dengan Kudsia. Kritik membina perlu juga. Apa-apa pun, syabas dan selamat mem'buli'....Go, Kudsia Go!
TEMPOH PERTAPAAN PELAJAR: 10 MINGGU
Tempoh dilanjutkan lebih satu minggu berbanding tempoh musim pertama yang memakan masa sembilan minggu. Rasanya tidak cukup sesuai untuk bilangan pelajar seramai 12 orang itu difokuskan karektor dan personaliti mereka dikaca TV.
MINGGU PELAJAR DIKELUARKAN: MINGGU KE-3
Rasa saya, ini bertujuan untuk memudahkan pelajar mengenali serta menyesuaikan diri dengan situasi sebenar di Akademi. Mungkin juga untuk penumpuan yang jitu untuk konsert pertama mereka. Cukup untuk mereka merancang strategi atau memancing afundi supaya mengundi mereka. Perlu diingatkan, undian SMS memang penting dalam AF.
PENEMPATAN: SEBUAH KOLEJ DI KAJANG?
Elok atau tidak lokasi penempatan mereka ditukar, itu saya tidak tahu. Tunggu siaran AF bermula pada 29 Mei.
LOKASI KONSERT: DEWAN SIVIK MPPJ, PETALING JAYA
Bertuah orang PJ kerana dapat menyaksikan kemunculan pelajar AF secara live. Tetapi tidak mengapa, walaupun persepsi berbeda, yang penting kita terhibur.
LOKASI KONSERT AKHIR: STADIUM PUTRA BUKIT JALIL
Wow... mesti seronok. Sekurang-kurangnya peristiwa yang 'sadis' di menara PGRM seperti penganjuran Konsert Kemuncak AF dulu mungkin tidak berulang lagi. Dewan yang dapat memuatkan 10,000 penonton sudah pasti keselesaan dititik beratkan. Moga-moga... tersampai hajat.
FAKTA MENARIK AF MUSIM KEDUA
1. Sebanyak 4,000 peserta yang hadir ujibakat berbanding 1,000 peserta pada AF musim pertama.
2. Cuma 100 peserta ditapis dengan teliti oleh panel mewujudkan 12 orang yang bakal menjadi pelajar seterusnya bakal berkelip sebagaibintang. Pengumuman akan dibuat penghujung Mei 2004.
3. Wujudnya 'Group Yahoo' pastinya akan bertambah sejajar dengan pertambahan kesemua pelajar AF.
4. Sana-sini orang bercakap pasal Akademi Fantasia termasuk di pejabat dan di pejabat guru besar?? (itu kata seorang kawan saya. Ada budak darjah 3 kena tangkap sebab bawa cd konsert AF ke sekolah?Kesian...)
5. Terbitnya ulasan serta komentar daripada pemerhati seni tidak terkecuali anda boleh ikuti semuanya di blogger atau homepage
Malique!
Selamat menonton dan mengundi pelajar AF 2.
Semoga terhibur!
p/s: Undilah dengan bijak. Segalanya di tangan ANDA!