24 August 2008

The Signal (2007)



Ambil dasar filem Ringu (apabila media elektronik menjadi medium pra-apokalips), gabungkan segala elemen apokaliptik 28 Days Later serta filem-filem Dead Romero, lalu didekonstruk struktur nonlinear dalam naratifnya seperti Amores Perros atau Memento serta seangkatannya, dan kau akan dapat hasil dalam filem ini. Ia sebuah naskhah horror-thriller segar dari tiga debut pengarah baru. Secara serius, aku berani katakan bahawa ini adalah filem (underrated) apokaliptik-horror terbaik tahun lepas, selepas [REC] dan Diary of The Dead. Persetankan sahaja yang lain-lain.

Aku percaya belum pernah lagi dibikin sebuah kisah yang dibahagikan ke tiga segmen, masing-masing dari tiga orang pengarah (David Bruckner, Jacob Gentry dan Dan Bush), ironinya ia berkesinambung secara total akan ketiga-tiganya. Idea ini sangat menarik, segar lagi ‘refreshing’.

Jangan salah anggap, ini bukan sebuah lagi zombie flick atau filem supernatural. Ini kisah apokalips sosial – apabila manusia telah terpengaruh, lalu keluar dari normaliti, menjadi pembunuh dan berbunuhan sesama sendiri, ironinya pembunuhan itu dilakukan secara rasional dan dalam keadaan waras, melalui halusinasi akibat dari suatu signal aneh yang dipancarkan ke telefon, radio dan televisyen khususnya (signal itu secara satira bermetaforakan media kerajaan). Tidak diketahui pula dari mana – tapi rasanya itu tidak terlalu penting.

Filem ini terkandung segala apa yang difikirkan untuk subgenre ini. Dari saspens, keganasan (brutalisme serta gorifikasi di tahap tinggi – ada babak putus kepala, tangan di skrew, leher ditikam, kepala dihentak bertalu-talu menggunakan tong – masih ingat Irreversible?), emosi (ok ada kisah cinta tragis yang terlarang), elemen cemas, twisted plot (yang digambarkan melalui halusinasi watak-wataknya), jukstaposisi imej yang penuh dengan mainan simboisis, teknik fotografi kasar tetapi cukup kemas dan yang paling menarik ialah elemen komedi gelap yang penuh satirikal. Ia sangat gelap dan menggelapkan. Dan itu adalah roh sebenar filem ini disamping kronologi tiga kisah (interconnected stories) yang dibikin hampir seratus persen sempurna.

Barangkali endingnya tidak sekuat yang aku harapkan, tapi itulah, aku sedar, bukankah ini filem apokaliptik? Justeru pengakhiran ‘bahagia’ bagaimana lagi yang boleh aku harapkan bukan? Haha.


No comments: